Sabtu, 6 Februari 2010

Tembok Pemisah

Kita ditakdir hidup di dunia yang menganut berbagai agama dan ideologi. Kepelbagaian ini merupakan Tembok Pemisah yang menghalang kita menjadi satu Ummah. Sebagai umat Islam bermazhab Shafie, saya dapati ada Tembok Pemisah yang menyekat saya dari membaca kitab-kitab mazhab lain. Saya tidak tahu apakah yang dipelajari dalam mazhab-mazhab itu. Saya tidak tahu nama kitab-kitab mereka. Itulah yang dialami oleh saya pada permulaan belajar ilmu agama.

Sekarang saya tahu beberapa kitab (amat kecil jumlahnya) dari mazhab-mazhab tadi. Antaranya kitab Ghunyah karangan ulama Tasauf, Sheikh Abdul Qadir Jailani dalam mazhab Hambali. Kitab Muwatta' Imam Malik yang menjadi paksi kepada mazhab Maliki.
Di samping itu, saya tahu kitab Muhalla karangan Ibnu Hazm, ulamak mazhab Zohiri.

Kemudian Tembok Pemisah baru saya dapati. Namanya ialah Salafi. Mereka bukan dari 4 mazhab. Mereka ingin kembali kepada zaman Nabi yang belum muncul mazhab. Mereka meneliti hadis sebagai sumber utama fikrah mereka. Antaranya kitab Fiqh Sunnah karangan Sayid Sabiq. Dan lagi kitab besar Abdul Karim Zaidan bertajuk Mufassol fi Ahkamil Mar'ah.

Kemudian Tembok Pemisah yang lain yang membahagikan ummah itu kepada 2 puak besar. Fiqh Umar dan Fiqh Ali (sebagaimana kata Jalaluddin Rahmat dalam bukunya Utamakan Akhlak di atas Fiqh).

Kemudian Tembok Pemisah yang lama membahagikan agama samawi kepada 3 puak. Puak Yahudi, Puak Kristian dan Umat Islam. Kita tidak membaca kitab agama mereka dan mereka tidak membaca kitab agama kita. Melainkan melalui kacamata penulis mereka sendiri.

Kemudian Tembok Pemisah dengan penganut agama bukan samawi seperti Buddha, Hindu, Shinto, Confucius dan Taoisme. Kita tidak tahu apa-apa tentang mereka.

Era Ledakan Maklumat memberi laluan kepada kita untuk memasuki kota Ilmu. Masuklah melalui pintu gerbangnya. Tembok itu tak perlu diruntuhkan seperti Tembok Berlin. Biarlah ia menjadi seteguh Tembok Besar China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan