Sabtu, 28 Ogos 2010

Malaysia Corak Amerika

Syed Qutb menulis dalam bukunya bertajuk: Ke Arah Masyarakat Islam (Nahwa Mujtama' Islami) pada muka surat 8:

Tetapi aku tahu bagaimana kehidupan di Amerika, negara pengeluar yang besar, kemewahan melampau dan keseronokan tanpa sempadan.. Aku saksikan rakyatnya, di mana kegelisahan mental memakan hidup mereka meskipun kelihatan amat mewah, penuh nikmat dan segala alat kesenangan. Keseronokan mereka adalah mengobarkan nafsu dan kehaiwanan. Engkau boleh bayangkan bahawa mereka sentiasa lari dari hantu yang mengejar mereka. Mereka adalah alat-alat yang bergerak secara gila, cepat dan berkobar, yang tidak pernah berhenti. Seringkali engkau boleh bayangkan bahawa rakyatnya berada dalam satu mesin yang berpusing tidak henti-henti siang malam, pagi petang. Mesin itu mengisar mereka dan mereka juga mengisar, tidak berhenti sesaat pun. Mereka tidak merasa tenang kepada diri mereka dan kepada kehidupan di sekeliling mereka, itu pun jika mereka merasa kewujudan sekeliling mereka. Tidak ada di sana sesaat pun untuk merenung, hinggakan untuk merasai kehidupan itu sendiri yang sedang berjalan. Hingga semasa mereka melalui waktu-waktu berehat, bersukan, di tempat makan angin, di taman, di tepi pantai, tasik.. kau lihat mereka masih juga berada dalam SIBUK, seperti kesibukan semasa waktu kerja. Yang berbeza cuma mereka berpindah tempat dan berpindah kerja. Tapi tiada kerehatan, kedamaian, renungan dan ketenangan.

Mereka banyak mengeluarkan. Tidak dinafikan. Mereka dapat banyak keuntungan. Ini pun tidak dinafikan. Tapi kepada siapa mereka mengeluarkan dan mereka menguntungkan siapa? Semata-mata kepada keuntungan itu sendiri dan semata-mata kepada pengeluaran itu sendiri. Unsur kemanusiaan tiada wujud di situ. Perhatikan keuntungan itu dan pengeluaran itu. Perhatikan perasaan yang mendorongnya, dan kesannya pada pemikiran yang hidup dan hati yang hidup. Dapatkah engkau bezakan di sana antara perasaan manusia dengan fungsi mesin?... Semua ini tidak engkau lihat pada kerut muka mereka dan tidak dibayangkan oleh percakapan mereka!

Yang ada ialah satu mesin yang bergerak siang malam: mengisar dan menyelerakkan objek yang dikisar. Dan kemudian sekali lagi ia mengumpulkannya untuk dikisar semula! Manakala manusia, objek, masa dan tempat.. semuanya berpusing dalam mesin bergerak itu yang tidak pernah rasa letih dan jemu, dan tidak berhenti sesaatpun dari berpusing..

Ia adalah pemutaran!!!

Selasa, 24 Ogos 2010

Zikir tanpa Lafaz

Mengingat Allah sentiasa.. Ma'iyyatullah.. Kebersamaan dengan Allah...
Jika hambaKu mengingatiku di dalam dirinya, maka Aku mengingatinya di dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu di dalam satu kelompok manusia, Aku akan menyebut namanya di dalam satu kelompok yang lebih baik.
Setengah kaum sufi menganggap mengingat Allah dengan mengingat namaNya masih dikira ingatan (zikir) yang masih rendah. Mereka mengatakan: Nama "Allah" masih di peringkat ketiga. Peringkat kedua ialah HU. Dan peringkat pertama (zikir first class) ialah tanpa nama apa-apa.
Bagi orang awam, ajaran sebegini dianggap satu fitnah.
Untuk itu, ilmu ini perlu hati-hati sebelum disebarkan.

Rabu, 11 Ogos 2010

Batu Bersurat Terengganu

Bertarikh 702 Hijrah bersamaan 1303 Masehi. Dijumpai di Sungai Teresat, Kuala Berang, Terengganu. Sekarang diabadikan di Muzium Terengganu, di Bukit Losong, Kuala Terengganu. Saya tergerak nak tulis tentang Batu Bersurat Terengganu ini setelah menonton program Syahadah 1 Lafaz Berbeza Resam di TV1 semalam.

Muka pertama

1-Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka
(Rasulullah bersama dengan roh-roh para sahabat)

2-Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam
(Mereka mentauhidkan Allah. Allah memberi kepada saya amanah untuk meneguhkan Agama Islam)

3-Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
(Dengan ajaran mereka yang benar yang diajarkan kepada semua hamba Allah)

4-Di Benuaku ini penentu agama Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama Raja
(di negeriku ini yang menjadi pusat kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.)

5-Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
(Raja Mandalika mengajar ajaran yang benar di sisi Allah)

6-Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda
(di negeri pusat Islam ini yang mesti dituruti oleh sekalian rakyat baginda)

7-Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
(kerana baginda mengajar ajaran yang benar menurut perintah Allah)

8-Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka
(Ajaran yang memberi kebajikan kepada negeri pusat Islam ini)

9-Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada
(Seri Paduka Tuhan yang mewakilkan Raja Mandalika sebagai pemerintah di negeri ini memerintahkan agar Batu Bersurat ini diletakkan di negeri Terengganu pada hari bertarikh)

10-Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
(hari Jumaat, 1 Rejab, tahun buruj Ketam, pada zaman)

11-Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua.
(setelah Rasulullah wafat 702 tahun)

Ulang semula:

(Rasulullah bersama dengan roh-roh para sahabat)
(Mereka mentauhidkan Allah. Allah memberi kepada saya amanah untuk meneguhkan Agama Islam)
(Dengan ajaran mereka yang benar yang diajarkan kepada semua hamba Allah)
(di negeri saya ini yang menjadi pusat kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.)
(Raja Mandalika mengajar ajaran yang benar di sisi Allah)
(di negeri pusat Islam ini yang mesti dituruti oleh sekalian rakyat baginda)
(kerana baginda mengajar ajaran yang benar menurut perintah Allah)
(Ajaran yang memberi kebajikan kepada negeri pusat Islam ini)
(Seri Paduka Tuhan yang mewakilkan Raja Mandalika sebagai pemerintah di negeri ini memerintahkan agar Batu Bersurat ini diletakkan di negeri Terengganu pada hari bertarikh)
(hari Jumaat, 1 Rejab, tahun buruj Ketam, pada zaman)
(setelah Rasulullah wafat 702 tahun)

Siapakah Seri Paduka Tuhan?
Beliau adalah seorang pembesar kepada Sultan Kerajaan Islam yang berpusat di Aceh. Sultan Aceh telah berperanan menyebarkan agama Islam di zaman itu. Lalu pembesarnya itu melantik Raja Mandalika sebagai wakilnya di negeri Terengganu untuk mendaulatkan Islam.

Kenapa dinamakan Tuhan?
Mengikut istilah Melayu Lama, Tuhan bermakna Tuan. Namun istilah ini telah berubah mengikut perkembangan zaman. Contohnya: Percahaya menjadi percaya. Dalam bahasa Arab pun, Rabb asalnya bermakna Tuan. Tapi telah digunakan untuk makna Tuhan.

Muka kedua

Keluarga di Benua jauh kan
Datang berikan.keempat orang berpiutang.
Jangan mengambil....(a)mbilhilangkanemas.
Kelima derma barang orang....(mar)dika.
Jangan mengmbil tugas buat temasnya.
Jika ia ambil hilangkan emas.Keenam derma barang.
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah.
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.
Seratus ratun jika merdeka beristeri.
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan.
Pinggang dihambalang dengan batu matikan.
Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak mandalika.....




Muka ketiga
Bujang dandanya sepuluh tengan tiga jika ia.........
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil....
Tujuh tahil sepaha masuk bandara, jika O (rang).....
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuaan hendaak..........
Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara..............

Muka keempat
..........tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.
..........Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya.
..........Ke sepuluh derma jika anakku, atawa pemaainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.
..........tamra ini segala isi tamra barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia raya.
...........di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Komentar saya:
Hukum zina kepada penzina belum kahwin adalah 100 kali rotan merupakan hukum hudud dalam Islam.

Ini hukum hudud itu:

Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan setitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus ratun

Maknanya:
Hukum keenam: Barangsiapa yang melakukan jenayah zina, mengikut hukum Allah, jika mereka masih bujang, maka hendaklah dipukul sebanyak 100 kali rotan.

Selasa, 10 Ogos 2010

Kembara Seorang Hamba

Tajuk buku terakhir Shahnon Ahmad, cetakan 1 tahun 2010. Harga RM15.00. Setebal 320 muka surat.

Saya petik dari buku itu:

(dari muka surat 47)

BUKAN! Bukan begitu cara memperindah dan mencantikkan aku (Al-Quran). Aku bukan gadis pingitan yang boleh dibedaki dan disoleki mengikut seleramu. Indah memang indah. Cantik memang cantik. Malah, DIA (Allah) menciptakan aku pun memang indah dan cantik. DIA pun sukakan pada kecantikan dan keindahan.

Tetapi, keindahan dan kecantikan yang ada padaku bukan sekadar pada cara hidangan, bukan juga pada kaedah pembentangan khazanah yang seluas lebih tujuh lautan itu. Memang cara 'menghidang' khazanah-NYA adalah unik dan paling kaya dengan estetika. Ini kerana aku datang bukan sekali gus begitu saja, tapi kedatanganku secara beransur dan sedikit-sedikit supaya manusia yang lemah dan tidak berupaya itu sedia menerima kedatanganku. Selama 23 tahun proses hidangan secara sedikit-sedikit itu berjalan dengan penuh kesabaran dan menempuh pelbagai halangan.

Ada yang tiba sewaktu perutusan terakhir-NYA sedang berada di atas unta di padang pasir yang serba tandus. Ada yang tiba ketika baginda bersama para sahabat. Ada yang datang melalui mimpi. Yang indahnya ialah banyak yang tersirat, namun siratannya amat mudah ditanggapi maksudnya. Tidak kurang pula tersirat di sebalik pelbagai personifikasi, peribahasa, kiasan, perbandingan, alegori, metafora serta gaya bahasa yang figuratif yang indah.

Khamis, 5 Ogos 2010

Pemuda-pemudi dan Puasa

Artikel oleh Umar At-Tilmisani

Wahai pemuda-pemudi Islam.. Jalan kamu sukar, laut kamu bergelombang, puasa bagi kamu adalah perisai dan bekalan. Tidak mampu melalui jalan itu selain orang yang kuat dan beramanah, berhati-hati dan waspada, bersungguh-sungguh, tetap teguh, sanggup berkorban, yang hatinya cair kerana ketakutan sekiranya Allah melihat dalam dirinya sesuatu yang Dia tidak suka dan tidak redha, bagi hambaNya yang didekati, pemilik ruh dan raihan (wangian) dan ahli syurga yang penuh nikmat. Jagalah lidah kami kerana kebanyakan manusia tersungkur ke dalam neraka hasil dari lidah mereka. Jangan mengumpat dan jaga pandangan kamu dari memandang secara mengikut bisikan syaitan.

Tidakkah kamu ketahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa berpuasa, maka hendaklah berpuasa pendengaran dan penglihatannya."

Maka hendaklah kata-kata kamu merupakan dakwah kepada Allah, hendaklah pendengaran kamu merupakan memasukkan zikrullah, nescaya akan berhimpun kepada kamu kemegahan dunia bersama kebahagiaan Akhirat.

Kadang-kala setengah para pemuda-pemudi mengejek kamu.. Itu adalah hasad kepada sifat keberanian kamu dan itu adalah marah kepada kesucian kamu, dan satu perasaan terhadap sifat mereka yang tiada nilai dan kehinaan mereka. Mereka berharap sekiranya mereka berada di tempat kamu. Juga kerana mereka lemah tidak berdaya. Semua milik mereka yang menyembunyikan kelakuan tidak bermoral mereka adalah satu topeng yang menipu, kata-kata yang berbelit-belit, kebanggaan yang kosong tiada makna, mereka tidak mampu bersabar sekalipun dari siulan burung.. Kamulah kamulah sebenar-benarnya lelaki.. kamulah kamulah orang yang bersih.. Lakukan ujian angkatan lelaki.. tidakkah kamu suka untuk menyertai mereka di sana?

Puasa zahir berakhir dengan berlalunya siang, dengan terbenam matahari, lalu orang yang berpuasa kembali kepada kedudukannya dalam hidup dengan kegembiraannya semasa berbuka puasa, dan ini sama-rata di dalam majoriti jumlah orang yang berpuasa. Adapun puasa orang yang ikhlas dan bertakwa, maka puasa tidak pernah berhenti, tidak berakhir dengan terbenam matahari, dan tidak bermula dengan terbit matahari. Puasa mereka tidak dikira masanya dengan jam demi jam dan tidak dibataskan dengan beberapa waktu sahaja. Kamu adalah pemegang amanah terhadap dirimu dan saudara-saudarimu yang lain. Ini adalah satu amanah!! Bagaimana keadaan kamu apabila kamu lalai terhadap amanah ini, lalu ia terlepas keluar dari hati kamu di tengah-tengah segala godaan dan pemesongan?? Adakah kamu benarkan ia pergi, secara bersembunyi dari milikmu?? Tidakkah kamu risau kepentingan janji yang kamu lakukan kepada Allah agar Dia memberi ganjaran yang besar kepada kamu?? Itulah amanah puasa yang sebenar kepada Tuhan Semesta Alam.

Wahai pemuda-pemudi yang beramal untuk Islam! Kita berpuasa apabila kita melihat awal bulan. Tapi saya ingin kamu wahai pemuda-pemudi untuk meningkat dari tahap ini sedikit atau banyak jika kamu mampu, dan tentunya kamu mampu apabila kamu memohon bantuan dari Tuhan yang memberi segala kemampuan, Dia yang memberi apa saja kepada siapa saja.. saya mahu daripada kamu sebelum kamu melihat anak bulan Ramadhan, supaya terlebih dahulu kamu melihat Tuhan kepada anak bulan dan Pencipta anak bulan itu. Alangkah tingginya tahap ini. Ramai yang cuba mendaki ke tahap ini dengan susah payah. Namun akhirnya mereka sampai jua ke sana dengan kurnia dari Allah. Saya kira kamu tidaklah lebih rendah dari mereka dari segi keberanian, sekiranya kamu berazam dan bertawakal.

"Daripada golongan orang yang beriman, ada beberapa lelaki".

Kamu wahai pemuda-pemudi, apabila kamu berpuasa kerana melihat anak bulan Ramadhan, bermakna kamu sudah mendapat pahala. Keadaan kamu di dalam hal ini, sama seperti keadaan setiap orang yang berpuasa. Tetapi.. apakah yang kamu telah sediakan diri kamu untuk beramal pada jalan Allah, pada menyebarkan risalahNya, pada memikul dakwahNya, pada jihad yang tinggi dan mulia, maka saya suka untuk menemani kamu naik ke atas lebih tinggi dari tahap ini, sehinggalah menjadi mudah kepada kamu semua perkara pada jalan Allah, dan sehingga kamu merasa amat senang berhadapan dengan setiap kesusahan kerananya, dan sehingga Allah melihat kamu pada safNya seperti bata-bata tersusun yang membentuk satu bangunan, sebagai seorang pemuda-pemudi bergandingan dengan seorang pemuda-pemudi yang lain, tidak kira usia, status perkahwinan dan lain-lain.

Artikel Ramadhan (Ramadhaniyyat)

Saya petik artikel-artikel Ramadhan dari sebuah Majalah Islam di Mesir bertajuk: Liwa' Al-Islam (Bendera Islam) yang menjadi suara rasmi Ikhwan Muslimin.

1-Marhaban bi syahrillah - Selamat datang Bulan Allah - oleh Abu 'Abid
2-Min Khowathir Syahri Ramadhan - Dari lintasan bulan Ramadhan - oleh Hasan Al-Banna
3-Ramadhan wa bina' al-afrad wal mujtama'at - Ramadhan dan pembinaan peribadi dan masyarakat - oleh Mustafa Masyhur
4-Ruh Ramadhan wat taghallubu 'alal 'azmah al-iqtisodiyah - Ruh Ramadhan dan mengatasi krisis ekonomi - oleh Muhammad Abdul Quddus
5-Al-Bahs Al-'Ilmi yu'akkidu Fawa'idas Shiyami 'alal jismi - Kajian Sains membuktikan faedah-faedah puasa kepada tubuh - oleh Ahmad 'Izzuddin
6-Iqtisodiyyatus Shiyami min manzhurin islami - Keekonomian Puasa dari kaca mata Islam - oleh Dr. Husain Syahatah
7-Al-Mu'amarah 'ala Ramadhan mustamirrah - Rancangan jahat ke atas Ramadhan berterusan - oleh Solah Abdul Maqsud

(Bilangan 1 - Ramadhan 1407 / Mei 1987)

8-Fiqhus Shaum - Fiqh Puasa - oleh Solah Syadi
9-Adhwa' 'ala Ahkamis Shaum - Penerangan ke atas hukum-hakam Puasa - oleh Hasan Al-Hudhoibi
10-Hal nash-hu qobla an yudhi'a Ramadhan? - Adakah kita sedar sebelum disia-siakan Ramadhan? - oleh Muhammad Abdullah Al-Khothib
11-As-Syababu was Shiyam - Pemuda-pemudi dan Puasa - oleh Umar At-Tilmisani
12-As-Shaum wa mas'uliyyah al-muslimin - Puasa dan tanggungjawab umat Islam - oleh Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili
13-Al-Bait Al-Muslim fi Ramadhan - Rumahtangga Islam dalam Ramadhan - oleh Hana' Muhammad
14-Iqtisodiyyat Al-Usrah Al-Muslimah fi Ramadhan - Keekonomian Keluarga Islam di bulan Ramadhan - oleh Asma' Al-Husaini Al-Ghobbasyi
15-Syakwa ila Ramadhan - Rintihan kepada Ramadhan - oleh Penyair Yaman, Hasan Az-Zari
16-Marhaban Ramadhan - Selamat datang Ramadhan - oleh Penyair Izzuddin Farhat

(Bilangan 1 - Ramadhan 1408, 17 April 1988)