Selasa, 25 Disember 2018

Kebohongan hidup - Tafsir Hamka

Semasa menafsirkan surah al-Baqarah, ayat 204, juzuk 2, tafsir azhar ms 197. Hamka menulis: "Dan setengah dari manusia ada yang menarik hati engkau kata-katanya dari hidup di dunia." Kata-katanya amat menarik, pandai dia membawakan diri, seakan-akan dia mengerti atau menaruh perhatian akan segala soal-soal yang penting. Seakan-akan dia turut memikirkan keselamatan manusia. Seakan-akan dia mempunyai maksud-maksud dan cita-cita yang baik. "Dan dia menjadikan Allah saksi atas apa yang dalam hatinya." Bahawa dia bermaksud jujur dan untuk itu dia berani bersumpah membawa nama Allah. 'Padahal dia adalah sejahat-jahat musuh." Orang yang munafik kiranya orang ini. Manis mulutnya berkata-kata. Kerana manisnya, orang dapat tertarik. Kalau perlu, nama Allah boleh dijadikan saksi bahawa dia seorang jujur.

Isnin, 24 Disember 2018

KITAB NABI ALIAS

Nabi Alias (Eliyah) menulis ajaran ini untuk setiap orang yang mencari Keredhaan Allah. 1-Siapa yang hendak belajar banyak, maka takwanya akan sedikit. Kerana orang yang bertaqwa akan merasa cukup dengan ilmu yang diberi oleh Allah. 2-Siapa yang belajar kata-kata yang indah, maka dia akan jauh dari Allah. Kerana Allah mencela dosa dengan kata-kata yang keras. 3-Hendaklah tutup segala pintu rumah, supaya tidak melihat perkara maksiat yang banyak di luar rumah. 4-Tutuplah hatimu dengan rapat, supaya perkara luar tidak masuk ke dalamnya. Hanya Allah saja yang bersemadi dalam hati itu. 5-Perhatikan dirimu sendiri. Jangan hanya untung di dunia, tapi dirimu rugi di Akhirat. 6-Jika hendak mengajar orang lain, pastikan dirimu terlebih dahulu telah pun baik. Tiada faedah jika kehidupan orang yang mengajar lebih teruk dari yang diajar. Orang yang berdosa pasti tidak dapat bertaubat jika dia belajar dengan orang yang lebih jahat daripadanya. 7-Larilah dari manusia. Jangan bercakap dengan mereka. Apabila Nabi Musa duduk berseorangan di atas Bukit Sinai, maka Tuhan telah bercakap dengannya, seperti seorang kekasih. Keluarlah sehari dari 30 hari, untuk berjumpa manusia. Sehari itu dapat kamu penuhi dengan amalan 2 tahun bersama manusia. 8-Bila kau berjalan, lihatlah kakimu. 9-Bila kau bercakap, cakap yang perlu saja. 10-Bila kau makan, berhenti makan sebelum kenyang. 11-Janganlah berangan bahawa kau akan hidup lagi esok. 12-Setiap nafas penuhilah dengan amalan berfaedah. 13-Pakaianmu sehelai baju dari bulu binatang sudah memadai. 14-Tempat tidurmu di atas tanah sudah memadai. 15-Tidurmu 2 jam semalaman sudah memadai. 16-Jangan benci orang lain. Bencilah dirimu sendiri. 17-Semasa solat, takutlah seolah-olah berada di Padang Mahsyar. Amalkan segala ajaran ini untuk beribadat kepada Allah, di samping berpegang kepada syariat yang dibawa oleh Nabi Musa. Pasti nanti kau akan mendapat Keredhaan Allah. Semoga kamu sentiasa bersama Allah, dan Allah bersamamu. (Barnaba- Bab 145)

Khamis, 20 Disember 2018

ilmu syahadat tokku paloh bhg 2

Dan wajib atas tiap2 mukallaf itu mengenal akan segala sifat yang wajib bagi Tuhannya. Dan akan segala sifat yang mustahil dan yang harus baginya. Dan demikian lagi wajib atasnya mengenal akan empat yang tersebut itu pada hak segala rasulNya. Ini menyebutkan setengah daripada sifat yang wajib bagi Allah dan iaitu 20 sifat dimulai dengan sifat nafsiah iaitu WUJUD. Maka setengah daripada yang wajib bagi Allah itu 20 sifat. Pertama Wujud maknanya Ada. Maka wajib bagi Allah itu adaNya. Dan mustahil atasNya itu tiadaNya. Bermula tanda adaNya itu, sekalian makhlukNya. Dan iaitu diri manusia dan sifatnya dan segala perbuatannya. Kedua bumi dan barang yang tetap ia atasnya daripada segala bukitnya dan batunya dan segala tumbuhan2nya dan segala lautnya dan sungainya dan segala binatangnya. Ketiga, langit dan barang yang ada padanya daripada mataharinya dan bulannya dan segala bintangnya. Keempat, barang yang ada pada antara keduanya daripada awannya dan bergiliran segala anginnya dan segala kilatnya dan guruhnya dan bersaf segala burungnya dab segala hujannya dan barang yang bergantian2 daripada segala malam dan siangnya. Maka apbila dipandang kepada segala yang tersebut itu dengan matanya dan difikirkan pula dengan hatinya, nescaya didapatilah akan yang indah2 daripada beberapa perbuatan padanya, yang menunjukkan ia atas wujud dan atas sempurna Qudrat dan Iradat dan Ilmu Tuhannya yang menunjukkan pula atas wajib WahdaniyahNya. Inilah menyebutkan sifat Salbiah yang lima.

Selasa, 18 Disember 2018

Makna 2 Kalimah Syahadah

Kitab kedua yang diterjemahkan oleh Tokku Tuan Besar, ayah Tokku Paloh ialah Dhiya' Uqudur durratian fi tarjamah Kalimataisy Syahadatain. Bismillahir Rahmanir Rahim. Asyhadu an la ilaha illa Allah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Asyhadu An La ilaha Illa Allah. Ertinya aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sungguhnya tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua, yang kaya ia daripada tiap2 yang lain daripadanya, dan berkehendak oleh tiap2 yang lain itu kepadaNya. Lagi yang bersifat ia dengan tiap2 sifat kesempurnaan. Dan maha suci ia daripada segala kekurangan. Dan daripada barang yang terlintas ia di dalam segala hati daripada barang yang tiada patut ia bagiNya. Lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang memperanakkan bagiNya dan tiada menyamai ia pada zatNya dan sifatNya dan af'alNya akan seseorang. Maka ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk yang Alawinya dan Suflinya lagi ketunggalan ia pada mengadakan dan meniadakan dengan kekerasan takluk Qudrat dan IradatNya. Maka terserahlah segala Kainat ini semuanya pada bawah perintahanNya dan tiadalah jenis i'tirad bagi seseorang jua pun akan kehendakNya.

Ilmu Syahadat Tokku Paloh

Kitab tauhid ini diajar oleh Tokku Paloh. Asalnya ia adalah hasil tulisan ayahnya, Tokku Tuan Besar. Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim. Dengan nama Allah yang mengurniakan dengan beberapa nikmat yang kasar2 lagi yang mengurniakan dengan beberapa nikmat yang halus2 jua. Aku mulai Alhamdulillah segala puji itu Allah yang diketahui akan adanya itu dengan beberapa dalil dan burhan dan dengan kasyaf dan iman. Dan selawat dan salamNya itu atas RasulNya, penghulu kita, Muhammad, yang dikuatkan dengan beberapa mukjizat dan Quran. Dan atas segala keluarganya dan sahabatnya yang menyatakan bagi kita akan beberapa jalan iman dan ihsan, dengan yang terlebih hampir dan terlebih mudah dari segala jalan. Maka bahagialah barangsiapa yang mengikut akan jalan mereka itu dengan lepas daripada azab dan niran dan dengan masuk ke dalam syurga yang dalamnya itu beberapa nikmat yang sentiasa lagi berkekalan. Wa ba'du. Maka inilah kitab Targhib As-Sibyan fi Hifzi Aqaidil Iman. Dan atas Allah jua berpegang dan berserahku, dan kepadaNya jua bersandarku. La haula wa la quwwata illa billahil 'Aliyyil Azhim. Syahdan bermula hukum Aqli itu tersimpan ia pada 3 bahagi. Pertama wajib, kedua mustahil dan ketiga harus. Maka yang wajib itu, barang yang tiada terupa pada akal tiadanya. Dan yang mustahil itu barang yang tiada terupa pada akal adanya. Dan yang harus itu barang yang sah pada akal adanya dan tiadanya.

Rabu, 12 Disember 2018

DOA PEMUSNAH RIHUL AHMAR

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Allah yang Maha besar, Tuhan bagi malaikat, Tuhan bagi Arasy yang Agung, Tuhan bagi nabi-nabi dan rasul-rasul, Tuhan bagi Pencipta sekelian alam. Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah). Maha suci Engkau (Ya Allah) sesungguhnya aku berada di kalangan orang-orang yang zalim. Ku serahkan segala urusanku kepada Allah, sesungguhnya Ya Allah yang Maha melihat hamba-hambaMu. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Penyembuh segala kemudharatan dan Engkau yang merahmati kami semua. Aku berlindung dengan mu Ya Allah dengan ketetapan mu dari kejahatan bala angin ahmar. Allah yang Maha pencipta, Yang kehendakNya tidak dapat diingkari, mempunyai kekuasaan, Allah yang Maha memiliki kebebasan dan kemuliaan. Maha suci Allah segala puji yang sebanyaknya, yang masuk dalam badan, nafas, demam, lemak, roh dan jasad. Tiada kekuatan melainkan Mu Ya Allah, Tuhan yang Agung, yang Maha Agung. Dibaca 3 kali tiap2 lepas solat Subuh, dan 2 kali lepas solat Maghrib.

Rabu, 24 Oktober 2018

Gelanggang Tarian bahagian 2

Dan di sana ada beberapa lelaki yang aku benci melihat penyelewengan mereka dan kezaliman mereka. Tapi aku dalam kebanyakan acara yang bahagia, aku pergi dan aku menggenggam tangan mereka untuk mengucapkan tahniah yang murni yang mengheretku untuk memuji mereka dan menyifatkan mereka dengan kelebihan yang tiada pada mereka, dan aku menamakannya sebagai perbuatan bermanis muka. Selepas menyelidiknya dengan teliti, aku mendapati bahawa perbuatan bermanis muka itu hanyalah sifat munafik yang bertopeng. Banyak kali aku memejamkan mata daripada melihat kejadian yang penuh kebodohan atau tindakan yang berdosa dan aku katakan kepada diriku: "Apa urusanmu dengan perbuatan orang lain.. setiap orang ada kebebasan masing-masing." Dengan demikian, aku mengira aku telah menjadi seorang lelaki yang bertamadun dan moden. Yang terlepas dari sifat jumud, fanatik dan tertutup. Kemudian aku kembali berfikir. AKu dapati diriku seperti syaitan bisu. Aku mereka-reka beberapa istilah dan nama-nama untuk aku bersembunyi di belakangnya. Hingga aku menolak daripada diriku tuduhan bersifat riyak dan munafik. Secara ringkasnya, wahai Sheikhku yang mulia, aku dapati diriku menari bersama orang-orang yang menari. Aku menari mengikut rentak setiap lagu. Aku berpindah-pindah dari tarian Timur ke tarian Barat. Alangkah bodohnya dan tertipunya aku. Lalu aku namakan tarian itu dengan nama tarian Ballet. Aku melihat di sekelilingku, lalu aku dapati orang ramai menari, menyanyi dan memukul gendang. Negara-negara yang kecil menari mengikut petikan gitar yang dilakukan oleh negara-negara yang lebih kuat. Pekerja-pekerja yang berada di pejabat syarikat dan yayasan di serata dunia berlenggang-lenggok kesukaan kepada ketua Majlis Pejabat. Para penulis dan pemikir memperjuangkan berbagai ideologi, kefanatikan dan berpuak-puakan. Orang yang berhajat melakukan perkara yang sama di atas meja orang-orang yang mampu.. Oleh itu, aku katakan kepadamu, wahai Sheikhku yang mulia, aku telah membuka matamu seluasnya, lalu aku dapati kebanyakan manusia sedang menari. Aku juga dapati diriku juga sedang menari tanpa aku sedari. Ini satu bala yang amat dahsyat sekali! Aku tidak tahu, wahai tuan Sheikh, bagaimana aku boleh keluar dari gelanggang tarian itu? Aku masuk ke dalam gelanggang itu tanpa aku sedari. Lalu aku terus menari dan menari hingga aku pengsan." Sheikhku menggerutkan mukanya yang jarang sekali dia lakukan. Kedua bibirnya menandakan hatinya yang sempit dan merungut. Menyebabkan aku berfikir untuk beredar dari situ. Namun dia cepat-cepat memejam matanya, lalu menggerakkan dua bibirnya dengan kata-kata yang samar-samar. Kemudian dia membuka kedua-dua matanya, dan berkata: "Wahai anakku! Kehidupan ini tidaklah berada dalam gambar yang seburuk dan segelap ini." Dia pun menunjukkan tangannya ke langit dengan berkata: "Lihatlah ke arah ufuk yang luas di sana.. Lihatlah itu langit yang biru dan cantik. Sedangkan kelmarin langit itu diselubungi dengan awan hitam. Tapi siapa yang kata bahawa awan hitam itu hodoh dan murung. Bukankah ia melimpahkan kepada kita dengan air hujan.. Kehidupan dan kesuburan. Sistem hidup yang tersusun indah bergerak antara dua kutub negatif dan positif. Dan antara dua kutub itu sebagaimana yang awak pelajari di sekolah ada beberapa pergerakan tarikan dan tolakan. Medan elektrik dan magnet. Kadang-kala manusia sebagaimana yang kau bayangkan sedang menari.. Semoga Allah merahmati penyair falsafah Muhammad Iqbal apabila dia bersajak: Tinggalkan kepada penduduk Barat menari dengan tubuh-tubuh mereka. Sesungguhnya tarian roh dari pukulan Nabi Musa. Maksud pukulan Nabi Musa ialah orang yang bercakap dengan Allah yang memukul dengan tongkatnya akan batu yang keras. Kerana Nabi Musa apabila dia lakukan demikian, maka memancut dari batu itu sebanyak 12 mata air, lalu dapat memberi minum kepada kaumnya. Manakala apabila Nabi Muasa memukul dengan tongkatnya akan laut, jadilah laut itu terbelah dua. Setiap belahan amat tinggi setinggi gunung, lalu dia dapat membuka bagi dirinya dan orang yang bersamanya satu jalan di tengah-tengah laut itu.

Rabu, 17 Oktober 2018

BAB 2 : Gelanggang Tarian

Kadang-kala tergambar di dalam khayalanku bahawa pentas kehidupan telah bertukar kepada satu gelanggang yang besar untuk acara tarian. Mungkin ia satu khayalan yang pelik. Namun ia adalah mimpi di siang hari yang bertolak dari tabiat alam. Lalu manusia yang lemah yang terpaksa ini pergi dengan mimpinya ke alam yang jauh dan menjelajah setiap pelusuk alam. Dia melukiskan kepada dirinya satu alam yang menyerupai alam orang-orang gila. Tarian yang aku maksudkan di sini bukanlah satu seni yang murah yang mempertontonkan bahagian tubuh yang menggiurkan, dan membangkitkan syahwat yang hina pada manusia. Sebaliknya tarian yang aku maksudkan ialah satu langkah menzahirkan sesuatu makna, yang berupa sifat munafik.. sifat yang paling hina.. Kerana manusia tertarik kepada sumber kekuatan dan pemberian pada kebanyakan munasabah.. mereka mengejar sesuatu yang dihajatinya.. Aku berkata kepada diriku: "Dan awak, tidakkah awak pun akan melakukan hal yang sama yang dilakukan oleh orang lain?" Ia adalah satu soalan yang sukar diberi jawapan. Pepatah berkata: Manusia kadang-kala boleh menipu orang lain, tetapi amat sukar baginya untuk menipu dirinya sendiri.. Adakah ini benar? Maka apabila tiba waktu yang aku berasa berani, aku berlari kepada sheikhku untuk berkata: "Wahai sheikh yang mulia.. Aku datang untuk membuat satu pengakuan kepadamu." Sheikhku sebagaimana yang kamu tahu ialah seorang lelaki yang merendah diri dan berterus terang. Dia tersenyum kepadaku dan berkata: "Siapakah aku hingga kau perlu buat pengakuan bagai? Aku hanyalah seorang hamba Allah sepertimu juga. Tidak akan hijab antaramu dengan Tuhanmu. Ketuklah pintuNya. Nescaya pintu itu akan dibuka buatmu. Katakanlah kepadaNya semua perkara." Aku menggeleng-gelengkan kepalaku dengan rasa hanyut dan aku berkata: "Aku tahu perkara itu wahai sheikh yang mulia.. Tapi aku tidak mampu untuk naik ke atas.. Kedua kakiku sudah terlalu berat bagiku.. Rasa maluku mengikatku ke bumi. Bagaimana aku dapat mengetuk pintuNya sedangkan aku masih bergelumang dengan berbagai dosa? Kau akan kata kepadaku: PintuNya terbuka kepada setiap orang yang ingin kembali bertaubat.. Ya.. Tapi aku ingin melemparkan penderitaanku ke hadapanmu.. Aku mahu kau mendengariku dan menunjuk jalan kepadaku.. Kau adalah doktorku.. Manakala akulah pesakit yang menderita sakit jasad dan rohku diserang berbagai penyakit.. Aku mengira dirku sebagai seorang yang berani, tidak melakukan dosa. Aku berkata benar, aku tidak berpura-pura dan menyembunyikan kebenaran.. Namun malangnya aku dapati pada saat-saat yang hening, terdapat beberapa tindakanku keluar dari diriku.. Tindakan itu amat pelik sekali.. Contohnya: AKu mendengar seseorang terjatuh ke dalam kesalahan.. Maka aku merasa untuk menarik perhatiannya atau aku menegahnya.. tapi aku dapati dia lebih kuat dan lebih gagah daripadaku. Dia mampu membuatku menderita mudarat yang amat teruk. Lalu aku menipu diriku dan berkata: " Jadilah orang bijak wahai diriku." Dengan automatik, dengan nama kebijakan, aku pun tersenyum pada mukanya. Dan aku ketawa berdekah-dekah. Atau aku melarikan diri dengan komentar yang menyeronokkan. Atau aku berkata ungkapan yang tiada makna apa-apa. Aku berkata apa saja. Dan aku lakukan apa saja dengan menolak hakikat yang amat jelas.. Lalu aku dapati kebijakan tadi adalah sifat munafik yang bertopeng pada kebanyakan keadaan.

Rabu, 10 Oktober 2018

Taufan dan Bahtera Nuh bahagian 3

Carilah untuk dirimu, hai anakku, kata-kata kalimat yang jujur, di tengah taufan masyarakat yang mabuk dan slogan-slogan yang palsu, serta ideologi yang kosong. Carilah kata-kata yang sebegini dan peganglah ia dengan erat. Hendaklah kau iltizam dengan keyakinanmu dan kepercayaanmu itu. Jangan beralih tempat darinya walaupun sedikit. Jangan ragu-ragu untuk mempertahankannya walaupun dengan harga nyawamu sendiri, dan segala harta milikmu untuk menterjemahkan kata-kata yang jujur itu ke dalam bentuk tindakan yang positif. Ketahuilah bahawa penghuni langit dan bumi sekiranya mereka berpakat untuk memberi mudharat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukan demikian melainkan keburukan yang telah ditetapkan oleh Allah kepadamu. Begitu juga sekiranya mereka berpakat untuk memberi manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukan demikian melainkan kebaikan yang telah ditetapkan oleh Allah. Tinta yang menulis takdirmu telah kering dan suratan takdirmu telah tutup fail. Tidak ada sebarang ubah suai lagi untuk penambahan suratan takdir itu. Artikel yang kau tulis dalam majalah ini pada hari ini, hai anakku.. ia mempunyai deringan yang memukau..namun isinya kosong. Kelihatan seperti cahaya yang mempersonakan, tetapi cahayanya cepat malap. Lalu kau akan dapati jalan di depanmu sangat gelap. Tiada sebarang penunjuk jalan padanya. Jalan itu hanya membawamu ke padang kesesatan dan sia-sia.. Sekiranya kata-kata kosong mampu untuk menang dalam sesuatu pertarungan, dan menyelesaikan masalah, nescaya perkara ini menjadi senang sekali. Tentu jalan jihad menjadi rebutan kepada setiap orang. Namun alangkah malangnya! Anak-anak umat islam merasa cukup dengan berkata-kata tanpa adanya tindakan. Kata-kata sebegini tidak mampu menahan serangan pihak musuh yang menyerang umat islam, atau mematahkan senjata musuh, atau mematikan kesan senjata pemusnah dan kebencian yang musuh hadapkan kepada kita. Bukankah hanya dengan besi dapat mengalahkan besi?? Belajarlah, hai anakku, dari sejarah silam dan sejarah moden. Kau akan dapati kata-kata yang jujur telah memusnahkan takhta orang yang zalim, dan menghancurkan kerajaan yang jahat, serta telah menukar rupa sejarah.. Kata-kata sebegitu terus kekal menjadi cahaya yang hidup walaupun telah berlalu beberapa kurun yang panjang, dan berganti-ganti era sejarah.. Ketahuilah, hai anakku, bahawa patung-patung berhala yang dimusnahkan oleh para Nabi dan orang-orang beriman, sentiasa mencari-cari kemunculan semula dari satu generasi ke generasi yang baru dengan menggunakan nama-nama yang baru, dan pada pakaian dan bentuk yang berubah-ubah. Berhala-berhala ini dapat menukar warna seperti binatang biawak Chameleon. Dan dia bergerak secara sembunyi seperti jin dan syaitan. Dunia ini masih penuh dengan iblis-iblis, dunia sekarang masih bergelumang dengan pelajar-pelajar syaitan. Mereka muncul pada setiap zaman di belakang tabir falsafah dan ideologi yang bermacam jenis. Dalam bentuk kesenian dan kesusasteraan yang mempersonakan, yang dapat menarik hati-hati yang lemah, dan memenuhi naluri keduniaan. Ia dapat menawarkan kehidupan yang tiada hukum hakam agama dan kebebasan seks dan kelazatan yang berdosa... Ramai perempuan yang tergoda ke jalan yang salah, hai anakku, kerana terjebak ke dalam kata-kata yang dibisikkan oleh lelaki ke telinga mereka, tentang kebebasan..dan persamaan antara lelaki dan perempuan, dan hak-hak perempuan. Fenomena melepaskan diri dari nilai-nilai dan prinsip yang sudah lama bertunjang dalam masyarakat islam, adalah dengan hasutan para pemikir yang menyeru kepada melepaskan diri dari kejumudan dan kemunduran, dengan menggunakan slogan kemajuan dan tamadun baru. Hinggakan kerosakan akhlak, hidup tanpa hukum hakam agama dan perniagaan pelacuran sudah menjadi kebahagiaan dan kenikmatan yang dicari-cari..." Kata-kata sheikhku ini sangat mengejutkanku. Aku dapati rupa-rupanya hal ini sangat besar. Yang asalnya aku ingatkan ia hanya satu tugas yang ringan. Aku pun melihat artikel yang aku tulis dalam majalah itu. Aku merasa sangat kecil dan malu. Sedangkan orang selainku menulis kata-kata mereka dengan dakwat darah, atau dengan titisan peluh, atau menyerahkan nyawa, atau mata yang bersengkang mata. AKu pula menulis dengan pena yang kering, yang menulis di atas kertas dengan penuh gaya dan mempersendakan. Astaghfirullah.. Aku menganggukkan kepalaku dengan khusyuk. Lalu aku berkata: Benar, wahai sheikh yang mulia.. Wahai pendakwah kepada cinta, jujur dan pemberian.. Aku mesti mencari untuk diriku dengan merentasi taufan yang mengganas ini untuk mendapatkan sebuah bahtera yang akan menyelamatkanku dari tenggelam dan tersesat.. sebuah bahtera seperti BAHTERA NUH." Sheikhku pun meletakkan tangannya di atas rak kayu di sampingnya, kemudian memberiku sejilid buku lalu berkata: Ambillah buku ini.. dan bacalah.. ALIF LAM MIM.. Itulah kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa."

Sabtu, 6 Oktober 2018

Taufan dan Bahtera Nuh bahagian 2

Adakah kau ingat, hai anakku, kisah Khidir a.s. semasa dia dalam perjalanan yang menakjubkan bersama Saidina Musa. Dia melihat seekor burung mencelupkan paruhnya ke dalam air laut yang luas. Maka melekat pada paruhnya setitik air. Adakah kau tahu apa yang dikata oleh Khidir?? Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu jika dibandingkan dengan ilmu Allah melainkan seperti setitik air itu dibandingkan dengan laut yang luas dan besar itu.. begitulah dikatakan. Lihatlah hari ini kepada golongan yang menulis.. hasil tulisan mereka hanyalah terpedaya dan kesombongan.. mereka sangka bahawa mereka menghasilkan ilmu dan idea yang tidak ada saingan selepasnya.. seolah-olah mereka adalah puncak gunung dalam bidang yang mereka tulis.. Alangkah celakanya nasib bagi orang yang menuduh mereka atau mengkritik hasil tulisan mereka.. sedangkan hakikatnya yang sempurna tidak diberi kepada seorangpun di dalam alam wujud ini.. Segala ilmu dunia sejak alam diciptakan hingga hari ini hanyalah sejuzuk kecil dari hakikat yang sempurna dan terbesar yang merupakan milik Allah semata-mata yang maha mendengar, mengetahui dan melihat. Hai anakku, kita bukanlah para nabi, yang diwahyukan kepada mereka. Sebaliknya kita hanyalah hamba Allah yang kerdil.. Maka hendaklah kau cari untuk dirimu satu tapak asas untuk menjadi permulaan kau bertolak.. Carilah satu sumber yang dapat kau ceduk ilmu pengetahuan makrifat darinya. Waspadalah supaya sumbermu itu dikotori dengan hawa nafsumu, rasa tamak yang meragukan dan bersifat perniagaan. Ya, perniagaan. Sebab arena kalimat kata-kata pada hari ini sudah menjadi barang jual beli yang tersebar dengan luas. Ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan. Para penulis dan pihak penerbit mengaut untung besar dari perniagaan ini. Pihak berkuasa dan berkepentingan melariskan jualan bidang ini. Banyak negara dalam dunia ini menjadikan surat khabar dan syarikat penerbit buku dimiliki oleh para hartawan dan pemilik kilang, syarikat dan peniaga senjata. Bidang kalimat kata-kata telah menjadi tawanan kepada undang-undang "Kerahan Tentera". Ia menjadi tahanan kepada tawar menawar. Betapa ramai di kalangan ahli penulis yang berjuang demi satu ideologi, atau pemikiran fikrah atau aliran politik.. tiba-tiba tidak sampai berlalu masa malam dan siang, mereka telah bertukar menjadi peniup semboyan yang memerangi ideologi yang dikempen dan diseru sebelumnya. Topeng sifat malu telah terbuka, kejujuran telah musnah dan sifat tamak sudah menguasainya. Dalam dunia yang sakit ini, segala kalimat kata-kata telah hilang dalilnya dan isi maknanya. Kalimat kata-kata telah mempunyai berbagai rupa. Kadang-kala kau melihatnya seperti seekor monyet yang menari, atau seekor singa yang mengaum, atau seekor helang yang terbang tinggi, atau seekor gagak yang bising.. Kalimat kata-kata yang sama telah menukar bajunya dan mekapnya, menukar caranya berhias. Ia terus bertahan selama beberapa generasi dengan sifatnya yang palsu, menipu dan memperdayakan. Adakah kau rasa, hai anakku, bahawa kalimat kata-kata yang seperti itu keluar dari hati?? Para pemikir telah bertukar seperti seorang tukang yang mahir dalam pertukangannya selama bertahun-tahun yang panjang. Dari sana, dia mampu menghasilkan barang pertukangannya dengan kepandaian yang cukup sempurna. Tidak.. Bahkan pemikir itu menjadi seperti alat mesin moden yang mengeluarkan beratus-ratus ribu barang pengeluarannya dengan amat cepat sekali.. dalam masa yang pendek. Inilah TAUFAN yang sebenar, hai anakku. Sungguh aku sangat takut jika semua manusia akan tenggelam ke dalam taufan ini.. Maka hendaklah kau cari untuk dirimu BAHTERA NUH. Dan selamatkan dirimu dari taufan yang ganas ini. Hadapkan dirimu kepada hakikat sebenar. Bacalah Al-Quran, bukan sekadar untuk belajar ilmu bahasa (Balaghah) dan kefasihan (Fasohah) semata-mata. Bahkan supaya kau dapat menyelam ke dalamnya untuk mencari hakikat sebenar. Tentang kejujuran dalam menunaikan dan kecantikan dalam pemberian.. Hai anakku yang dicintai. Kalimat kata-kata adalah satu tanggungjawab yang besar.. Sejak dulu lagi, manusia berani mati dengan sukarela ketika pemerintah yang thagut memberi pilihan antara mengucapkan kalimat yang batil ataupun mati.. Socrates hai anakku telah minum segelas cawan yang mematikan, tanpa bergerak dari pendapat yang diyakininya benar. Penganut ilmu tauhid telah mati syahid dengan melaungkan kalimat Tauhid. Begitu juga beratus-ratus ribu telah menyerahkan nyawa mereka di Andalusia, Rusia dan di China dan Filipina, dan di India dan Afghanistan. Mereka menyambut kematian sejak dulu hingga zaman sekarang demi kalimat La ilaha illa Allah (Tiada tuhan selain Allah).

Rabu, 12 September 2018

Umatku berpecah 73 firqah

Hamka menulis: Memang ada Hadis Sahih, Nabi saw bersabda bahawa umatku akan terpecah belah menjadi 73 pecahan. Yang benar hanya satu. Di hujung Hadis itu tersebut: "Ma ana 'alaihi wa ashabi" Yang benar ialah yang aku pegang bersama sahabat-sahabatku. Ulama-ulama lama, seperti Syahrastani dalam "Al-Milal wan Nihal", demikian juga yang lain, mengatakan bahawa Muktazilah terdiri dari sekian banyak firqah, Syiah sekian pula, Khawarij sekian pula dan seterusnya, sehingga kemudian dijumlahkan, cukup jadi 73 firqah. Padahal kemudian ada firqah itu yang bertambah dan ada pula yang telah habis musnah. Maka penyelidikan terakhir atas hadis itu bukan lagi demikian. Memakai angka 73 bukanlah menunjuk persis sekian jumlahnya. Menurut pemakaian bahasa Arab, kalau puluhan dipakai tujuh puluh. Jadi dapatlah dikatakan bahawa fikiran-fikiran umat Nabi Muhammad itu akan beraneka-warna macamnya, sampai berpuluh. Dan tidaklah layak ditentukan bahawa yang dimaksud ialah kaum yang sesat itu jalan Muktazilah, kaum Syiah dan sebagainya dengan segala cabang-cabangnya itu. Kerana terbukti bahawa di setiap golongan itu ada juga yang benar dan ada juga yang salah. Misalnya dalam soal kenegaraan. Kaum Khawarij berpendapat bahawa Kepala Negara hendaklah dipilih oleh orang ramai. Sedang kaum Ahli Sunnah pada zaman lampau berpendirian hendaklah Kepala Negara (Khalifah) dari Quraisy. Dan pada zaman sekarang yang disebut Ahli Sunnah di mana-mana telah condong kepada kaum Khawarij itu. Kalau kita turuti pembahagian-pembahagian yang klasik dari As-Syahrastani itu, akan timbullah suatu bahaya besar sesama Islam. Iaitu tiap-tiap mazhab atau firqah mendakwakan bahawa golongan merekalah yang benar, dan golongan yang lain salah semuanya. Bahkan sampai sekarang terbawa-bawalah cara yang demikian. Sehingga ada golongan dalam Islam yang mendabik dada mengatakan bahawa hanya merekalah yang Ahlus Sunnah wal Jamaah, sedang yang lain adalah Khawarij, Muktazilah, Wahabi dan lain-lain. Dan ada pula yang membela diri mengatakan bahawa golongan kamilah yang sejati penganut Mazhab Salaf, yang lain tukang bidaah semuanya. Lantaran mengemukakan fahaman dan erti yang salah dari hadis ini, kita umat Islam sendirilah yang menimbulkan Sektarisme dalam Islam. Padahal kita adalah Ummatan Wahidatan umat yang satu. Maka yang lebih tepat erti hadis ini ialah, bahawasanya buah fikiran dan pendapat Umat Muhammad itu akan berbagai ragam. Akan terdapat pembagian ragam itu baik pada orang seorang, ataupun pada satu kelompok, dipengaruhi oleh ruang dan waktunya. Dalam hadis itu sendiri, Rasulullah saw mengakui juga bahawa sekalian golongan itu adalah Ummati: semuanya Umatku. Dari hujung hadis, "yang benar ialah apa yang aku pegang dan sahabat-sahabatku"- dapatlah difahamkan bahawa Rasulullah saw tidaklah menyuruh teruskan perpecahan, melainkan kembali ke pangkalan. Jika buah fikiran berbagai ragam bukanlah itu satu kesalahan. Umat Muhammad disuruh berfikir dan berijtihad. Dan segala hasil ijtihad tidaklah ada yang mutlak benar. Hasil ijtihad adalah zhanni atau kemungkinan atau kecenderungan. Maka dalam fikiran yang sebanyak itu, bersimpang siur, hanya satu yang benar, iaitu yang sesuai dengan pedoman yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw dan sebab itu sahabat beliau yang melanjutkan perjuangan itu. Oleh sebab itu maka sekalian Umat Muhammad saw yang mempunyai jalan fikiran yang bersimpang siur sampai 73 atau lebih itu hendaklah berusaha membawa fikirannya kepada batu-ujian asli, iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Moga-moga tercapailah kebenaran.

Selasa, 11 September 2018

Tali Allah dan Tali Insan

Hamka menulis dalam Tafsir Al-Azhar juzuk 4 ms 75 Surah Ali Imran ayat 112: "Mereka itu ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali (jika mereka berpegang) kepada tali Allah dan tali manusia." Dengan demikian, jalan untuk memperbaiki masih tetap terbuka untuk mereka. Pegang dua tali, tali kepada Allah ke langit, dengan iman yang teguh; tali kepada manusia, ke bumi, dengan menghapuskan perasaan bahawa awak tinggi sebenang dari orang lain, bahawa orang lain hina semua. Memasuki pergaulan Mukmin dan menjadi Muslim sejati. Kalau kedua tali ini tidak dipegang teguh, tentu mereka akan bertambah tenggelam dalam kufur. Dari ayat ini, kita mendapat ilmu falsafah sejarah tentang kenaikan dan keruntuhan suatu kaum atau golongan atau bangsa. Allah menjamin umat Muhammad menjadi khaira ummatin, sebaik-baik umat, ialah tersebab adanya amar makruf nahi mungkar. Sebab itu, walaupun bagaimana mereka diganggu oleh lawan-lawannya, gangguan itu tidak akan membahayakan. Sebab, lawan mengganggu amat lemah, tidak sepadan kekuatannya dengan khaira ummatin tadi. Sebab, yang melawan itu telah jatuh ke dalam kehinaan. Mereka mengakui bertuhan dan mempunyai kitab suci, tetapi tali hubungannya dengan Allah telah putus. Allah hanya tinggal dalam sebutan bibir, tetapi tidak mendaulati hati. Dalam ayat kaedah sekarang disebut bahawa moral mereka telah rosak sehingga ayat Allah itu telah mereka permainkan dengan mudah. Dan tali dengan sesama manusia, hormat-menghormati, meneguhi janji, tidak sebuah juga lagi yang mereka pegang dengan setia, mereka telah berkhianat.