Rabu, 10 Oktober 2018

Taufan dan Bahtera Nuh bahagian 3

Carilah untuk dirimu, hai anakku, kata-kata kalimat yang jujur, di tengah taufan masyarakat yang mabuk dan slogan-slogan yang palsu, serta ideologi yang kosong. Carilah kata-kata yang sebegini dan peganglah ia dengan erat. Hendaklah kau iltizam dengan keyakinanmu dan kepercayaanmu itu. Jangan beralih tempat darinya walaupun sedikit. Jangan ragu-ragu untuk mempertahankannya walaupun dengan harga nyawamu sendiri, dan segala harta milikmu untuk menterjemahkan kata-kata yang jujur itu ke dalam bentuk tindakan yang positif. Ketahuilah bahawa penghuni langit dan bumi sekiranya mereka berpakat untuk memberi mudharat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukan demikian melainkan keburukan yang telah ditetapkan oleh Allah kepadamu. Begitu juga sekiranya mereka berpakat untuk memberi manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukan demikian melainkan kebaikan yang telah ditetapkan oleh Allah. Tinta yang menulis takdirmu telah kering dan suratan takdirmu telah tutup fail. Tidak ada sebarang ubah suai lagi untuk penambahan suratan takdir itu. Artikel yang kau tulis dalam majalah ini pada hari ini, hai anakku.. ia mempunyai deringan yang memukau..namun isinya kosong. Kelihatan seperti cahaya yang mempersonakan, tetapi cahayanya cepat malap. Lalu kau akan dapati jalan di depanmu sangat gelap. Tiada sebarang penunjuk jalan padanya. Jalan itu hanya membawamu ke padang kesesatan dan sia-sia.. Sekiranya kata-kata kosong mampu untuk menang dalam sesuatu pertarungan, dan menyelesaikan masalah, nescaya perkara ini menjadi senang sekali. Tentu jalan jihad menjadi rebutan kepada setiap orang. Namun alangkah malangnya! Anak-anak umat islam merasa cukup dengan berkata-kata tanpa adanya tindakan. Kata-kata sebegini tidak mampu menahan serangan pihak musuh yang menyerang umat islam, atau mematahkan senjata musuh, atau mematikan kesan senjata pemusnah dan kebencian yang musuh hadapkan kepada kita. Bukankah hanya dengan besi dapat mengalahkan besi?? Belajarlah, hai anakku, dari sejarah silam dan sejarah moden. Kau akan dapati kata-kata yang jujur telah memusnahkan takhta orang yang zalim, dan menghancurkan kerajaan yang jahat, serta telah menukar rupa sejarah.. Kata-kata sebegitu terus kekal menjadi cahaya yang hidup walaupun telah berlalu beberapa kurun yang panjang, dan berganti-ganti era sejarah.. Ketahuilah, hai anakku, bahawa patung-patung berhala yang dimusnahkan oleh para Nabi dan orang-orang beriman, sentiasa mencari-cari kemunculan semula dari satu generasi ke generasi yang baru dengan menggunakan nama-nama yang baru, dan pada pakaian dan bentuk yang berubah-ubah. Berhala-berhala ini dapat menukar warna seperti binatang biawak Chameleon. Dan dia bergerak secara sembunyi seperti jin dan syaitan. Dunia ini masih penuh dengan iblis-iblis, dunia sekarang masih bergelumang dengan pelajar-pelajar syaitan. Mereka muncul pada setiap zaman di belakang tabir falsafah dan ideologi yang bermacam jenis. Dalam bentuk kesenian dan kesusasteraan yang mempersonakan, yang dapat menarik hati-hati yang lemah, dan memenuhi naluri keduniaan. Ia dapat menawarkan kehidupan yang tiada hukum hakam agama dan kebebasan seks dan kelazatan yang berdosa... Ramai perempuan yang tergoda ke jalan yang salah, hai anakku, kerana terjebak ke dalam kata-kata yang dibisikkan oleh lelaki ke telinga mereka, tentang kebebasan..dan persamaan antara lelaki dan perempuan, dan hak-hak perempuan. Fenomena melepaskan diri dari nilai-nilai dan prinsip yang sudah lama bertunjang dalam masyarakat islam, adalah dengan hasutan para pemikir yang menyeru kepada melepaskan diri dari kejumudan dan kemunduran, dengan menggunakan slogan kemajuan dan tamadun baru. Hinggakan kerosakan akhlak, hidup tanpa hukum hakam agama dan perniagaan pelacuran sudah menjadi kebahagiaan dan kenikmatan yang dicari-cari..." Kata-kata sheikhku ini sangat mengejutkanku. Aku dapati rupa-rupanya hal ini sangat besar. Yang asalnya aku ingatkan ia hanya satu tugas yang ringan. Aku pun melihat artikel yang aku tulis dalam majalah itu. Aku merasa sangat kecil dan malu. Sedangkan orang selainku menulis kata-kata mereka dengan dakwat darah, atau dengan titisan peluh, atau menyerahkan nyawa, atau mata yang bersengkang mata. AKu pula menulis dengan pena yang kering, yang menulis di atas kertas dengan penuh gaya dan mempersendakan. Astaghfirullah.. Aku menganggukkan kepalaku dengan khusyuk. Lalu aku berkata: Benar, wahai sheikh yang mulia.. Wahai pendakwah kepada cinta, jujur dan pemberian.. Aku mesti mencari untuk diriku dengan merentasi taufan yang mengganas ini untuk mendapatkan sebuah bahtera yang akan menyelamatkanku dari tenggelam dan tersesat.. sebuah bahtera seperti BAHTERA NUH." Sheikhku pun meletakkan tangannya di atas rak kayu di sampingnya, kemudian memberiku sejilid buku lalu berkata: Ambillah buku ini.. dan bacalah.. ALIF LAM MIM.. Itulah kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan