Sabtu, 6 Oktober 2018

Taufan dan Bahtera Nuh bahagian 2

Adakah kau ingat, hai anakku, kisah Khidir a.s. semasa dia dalam perjalanan yang menakjubkan bersama Saidina Musa. Dia melihat seekor burung mencelupkan paruhnya ke dalam air laut yang luas. Maka melekat pada paruhnya setitik air. Adakah kau tahu apa yang dikata oleh Khidir?? Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu jika dibandingkan dengan ilmu Allah melainkan seperti setitik air itu dibandingkan dengan laut yang luas dan besar itu.. begitulah dikatakan. Lihatlah hari ini kepada golongan yang menulis.. hasil tulisan mereka hanyalah terpedaya dan kesombongan.. mereka sangka bahawa mereka menghasilkan ilmu dan idea yang tidak ada saingan selepasnya.. seolah-olah mereka adalah puncak gunung dalam bidang yang mereka tulis.. Alangkah celakanya nasib bagi orang yang menuduh mereka atau mengkritik hasil tulisan mereka.. sedangkan hakikatnya yang sempurna tidak diberi kepada seorangpun di dalam alam wujud ini.. Segala ilmu dunia sejak alam diciptakan hingga hari ini hanyalah sejuzuk kecil dari hakikat yang sempurna dan terbesar yang merupakan milik Allah semata-mata yang maha mendengar, mengetahui dan melihat. Hai anakku, kita bukanlah para nabi, yang diwahyukan kepada mereka. Sebaliknya kita hanyalah hamba Allah yang kerdil.. Maka hendaklah kau cari untuk dirimu satu tapak asas untuk menjadi permulaan kau bertolak.. Carilah satu sumber yang dapat kau ceduk ilmu pengetahuan makrifat darinya. Waspadalah supaya sumbermu itu dikotori dengan hawa nafsumu, rasa tamak yang meragukan dan bersifat perniagaan. Ya, perniagaan. Sebab arena kalimat kata-kata pada hari ini sudah menjadi barang jual beli yang tersebar dengan luas. Ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan. Para penulis dan pihak penerbit mengaut untung besar dari perniagaan ini. Pihak berkuasa dan berkepentingan melariskan jualan bidang ini. Banyak negara dalam dunia ini menjadikan surat khabar dan syarikat penerbit buku dimiliki oleh para hartawan dan pemilik kilang, syarikat dan peniaga senjata. Bidang kalimat kata-kata telah menjadi tawanan kepada undang-undang "Kerahan Tentera". Ia menjadi tahanan kepada tawar menawar. Betapa ramai di kalangan ahli penulis yang berjuang demi satu ideologi, atau pemikiran fikrah atau aliran politik.. tiba-tiba tidak sampai berlalu masa malam dan siang, mereka telah bertukar menjadi peniup semboyan yang memerangi ideologi yang dikempen dan diseru sebelumnya. Topeng sifat malu telah terbuka, kejujuran telah musnah dan sifat tamak sudah menguasainya. Dalam dunia yang sakit ini, segala kalimat kata-kata telah hilang dalilnya dan isi maknanya. Kalimat kata-kata telah mempunyai berbagai rupa. Kadang-kala kau melihatnya seperti seekor monyet yang menari, atau seekor singa yang mengaum, atau seekor helang yang terbang tinggi, atau seekor gagak yang bising.. Kalimat kata-kata yang sama telah menukar bajunya dan mekapnya, menukar caranya berhias. Ia terus bertahan selama beberapa generasi dengan sifatnya yang palsu, menipu dan memperdayakan. Adakah kau rasa, hai anakku, bahawa kalimat kata-kata yang seperti itu keluar dari hati?? Para pemikir telah bertukar seperti seorang tukang yang mahir dalam pertukangannya selama bertahun-tahun yang panjang. Dari sana, dia mampu menghasilkan barang pertukangannya dengan kepandaian yang cukup sempurna. Tidak.. Bahkan pemikir itu menjadi seperti alat mesin moden yang mengeluarkan beratus-ratus ribu barang pengeluarannya dengan amat cepat sekali.. dalam masa yang pendek. Inilah TAUFAN yang sebenar, hai anakku. Sungguh aku sangat takut jika semua manusia akan tenggelam ke dalam taufan ini.. Maka hendaklah kau cari untuk dirimu BAHTERA NUH. Dan selamatkan dirimu dari taufan yang ganas ini. Hadapkan dirimu kepada hakikat sebenar. Bacalah Al-Quran, bukan sekadar untuk belajar ilmu bahasa (Balaghah) dan kefasihan (Fasohah) semata-mata. Bahkan supaya kau dapat menyelam ke dalamnya untuk mencari hakikat sebenar. Tentang kejujuran dalam menunaikan dan kecantikan dalam pemberian.. Hai anakku yang dicintai. Kalimat kata-kata adalah satu tanggungjawab yang besar.. Sejak dulu lagi, manusia berani mati dengan sukarela ketika pemerintah yang thagut memberi pilihan antara mengucapkan kalimat yang batil ataupun mati.. Socrates hai anakku telah minum segelas cawan yang mematikan, tanpa bergerak dari pendapat yang diyakininya benar. Penganut ilmu tauhid telah mati syahid dengan melaungkan kalimat Tauhid. Begitu juga beratus-ratus ribu telah menyerahkan nyawa mereka di Andalusia, Rusia dan di China dan Filipina, dan di India dan Afghanistan. Mereka menyambut kematian sejak dulu hingga zaman sekarang demi kalimat La ilaha illa Allah (Tiada tuhan selain Allah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan