Selasa, 25 Disember 2018

Kebohongan hidup - Tafsir Hamka

Semasa menafsirkan surah al-Baqarah, ayat 204, juzuk 2, tafsir azhar ms 197. Hamka menulis: "Dan setengah dari manusia ada yang menarik hati engkau kata-katanya dari hidup di dunia." Kata-katanya amat menarik, pandai dia membawakan diri, seakan-akan dia mengerti atau menaruh perhatian akan segala soal-soal yang penting. Seakan-akan dia turut memikirkan keselamatan manusia. Seakan-akan dia mempunyai maksud-maksud dan cita-cita yang baik. "Dan dia menjadikan Allah saksi atas apa yang dalam hatinya." Bahawa dia bermaksud jujur dan untuk itu dia berani bersumpah membawa nama Allah. 'Padahal dia adalah sejahat-jahat musuh." Orang yang munafik kiranya orang ini. Manis mulutnya berkata-kata. Kerana manisnya, orang dapat tertarik. Kalau perlu, nama Allah boleh dijadikan saksi bahawa dia seorang jujur.

Isnin, 24 Disember 2018

KITAB NABI ALIAS

Nabi Alias (Eliyah) menulis ajaran ini untuk setiap orang yang mencari Keredhaan Allah. 1-Siapa yang hendak belajar banyak, maka takwanya akan sedikit. Kerana orang yang bertaqwa akan merasa cukup dengan ilmu yang diberi oleh Allah. 2-Siapa yang belajar kata-kata yang indah, maka dia akan jauh dari Allah. Kerana Allah mencela dosa dengan kata-kata yang keras. 3-Hendaklah tutup segala pintu rumah, supaya tidak melihat perkara maksiat yang banyak di luar rumah. 4-Tutuplah hatimu dengan rapat, supaya perkara luar tidak masuk ke dalamnya. Hanya Allah saja yang bersemadi dalam hati itu. 5-Perhatikan dirimu sendiri. Jangan hanya untung di dunia, tapi dirimu rugi di Akhirat. 6-Jika hendak mengajar orang lain, pastikan dirimu terlebih dahulu telah pun baik. Tiada faedah jika kehidupan orang yang mengajar lebih teruk dari yang diajar. Orang yang berdosa pasti tidak dapat bertaubat jika dia belajar dengan orang yang lebih jahat daripadanya. 7-Larilah dari manusia. Jangan bercakap dengan mereka. Apabila Nabi Musa duduk berseorangan di atas Bukit Sinai, maka Tuhan telah bercakap dengannya, seperti seorang kekasih. Keluarlah sehari dari 30 hari, untuk berjumpa manusia. Sehari itu dapat kamu penuhi dengan amalan 2 tahun bersama manusia. 8-Bila kau berjalan, lihatlah kakimu. 9-Bila kau bercakap, cakap yang perlu saja. 10-Bila kau makan, berhenti makan sebelum kenyang. 11-Janganlah berangan bahawa kau akan hidup lagi esok. 12-Setiap nafas penuhilah dengan amalan berfaedah. 13-Pakaianmu sehelai baju dari bulu binatang sudah memadai. 14-Tempat tidurmu di atas tanah sudah memadai. 15-Tidurmu 2 jam semalaman sudah memadai. 16-Jangan benci orang lain. Bencilah dirimu sendiri. 17-Semasa solat, takutlah seolah-olah berada di Padang Mahsyar. Amalkan segala ajaran ini untuk beribadat kepada Allah, di samping berpegang kepada syariat yang dibawa oleh Nabi Musa. Pasti nanti kau akan mendapat Keredhaan Allah. Semoga kamu sentiasa bersama Allah, dan Allah bersamamu. (Barnaba- Bab 145)

Khamis, 20 Disember 2018

ilmu syahadat tokku paloh bhg 2

Dan wajib atas tiap2 mukallaf itu mengenal akan segala sifat yang wajib bagi Tuhannya. Dan akan segala sifat yang mustahil dan yang harus baginya. Dan demikian lagi wajib atasnya mengenal akan empat yang tersebut itu pada hak segala rasulNya. Ini menyebutkan setengah daripada sifat yang wajib bagi Allah dan iaitu 20 sifat dimulai dengan sifat nafsiah iaitu WUJUD. Maka setengah daripada yang wajib bagi Allah itu 20 sifat. Pertama Wujud maknanya Ada. Maka wajib bagi Allah itu adaNya. Dan mustahil atasNya itu tiadaNya. Bermula tanda adaNya itu, sekalian makhlukNya. Dan iaitu diri manusia dan sifatnya dan segala perbuatannya. Kedua bumi dan barang yang tetap ia atasnya daripada segala bukitnya dan batunya dan segala tumbuhan2nya dan segala lautnya dan sungainya dan segala binatangnya. Ketiga, langit dan barang yang ada padanya daripada mataharinya dan bulannya dan segala bintangnya. Keempat, barang yang ada pada antara keduanya daripada awannya dan bergiliran segala anginnya dan segala kilatnya dan guruhnya dan bersaf segala burungnya dab segala hujannya dan barang yang bergantian2 daripada segala malam dan siangnya. Maka apbila dipandang kepada segala yang tersebut itu dengan matanya dan difikirkan pula dengan hatinya, nescaya didapatilah akan yang indah2 daripada beberapa perbuatan padanya, yang menunjukkan ia atas wujud dan atas sempurna Qudrat dan Iradat dan Ilmu Tuhannya yang menunjukkan pula atas wajib WahdaniyahNya. Inilah menyebutkan sifat Salbiah yang lima.

Selasa, 18 Disember 2018

Makna 2 Kalimah Syahadah

Kitab kedua yang diterjemahkan oleh Tokku Tuan Besar, ayah Tokku Paloh ialah Dhiya' Uqudur durratian fi tarjamah Kalimataisy Syahadatain. Bismillahir Rahmanir Rahim. Asyhadu an la ilaha illa Allah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Asyhadu An La ilaha Illa Allah. Ertinya aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sungguhnya tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua, yang kaya ia daripada tiap2 yang lain daripadanya, dan berkehendak oleh tiap2 yang lain itu kepadaNya. Lagi yang bersifat ia dengan tiap2 sifat kesempurnaan. Dan maha suci ia daripada segala kekurangan. Dan daripada barang yang terlintas ia di dalam segala hati daripada barang yang tiada patut ia bagiNya. Lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang memperanakkan bagiNya dan tiada menyamai ia pada zatNya dan sifatNya dan af'alNya akan seseorang. Maka ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk yang Alawinya dan Suflinya lagi ketunggalan ia pada mengadakan dan meniadakan dengan kekerasan takluk Qudrat dan IradatNya. Maka terserahlah segala Kainat ini semuanya pada bawah perintahanNya dan tiadalah jenis i'tirad bagi seseorang jua pun akan kehendakNya.

Ilmu Syahadat Tokku Paloh

Kitab tauhid ini diajar oleh Tokku Paloh. Asalnya ia adalah hasil tulisan ayahnya, Tokku Tuan Besar. Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim. Dengan nama Allah yang mengurniakan dengan beberapa nikmat yang kasar2 lagi yang mengurniakan dengan beberapa nikmat yang halus2 jua. Aku mulai Alhamdulillah segala puji itu Allah yang diketahui akan adanya itu dengan beberapa dalil dan burhan dan dengan kasyaf dan iman. Dan selawat dan salamNya itu atas RasulNya, penghulu kita, Muhammad, yang dikuatkan dengan beberapa mukjizat dan Quran. Dan atas segala keluarganya dan sahabatnya yang menyatakan bagi kita akan beberapa jalan iman dan ihsan, dengan yang terlebih hampir dan terlebih mudah dari segala jalan. Maka bahagialah barangsiapa yang mengikut akan jalan mereka itu dengan lepas daripada azab dan niran dan dengan masuk ke dalam syurga yang dalamnya itu beberapa nikmat yang sentiasa lagi berkekalan. Wa ba'du. Maka inilah kitab Targhib As-Sibyan fi Hifzi Aqaidil Iman. Dan atas Allah jua berpegang dan berserahku, dan kepadaNya jua bersandarku. La haula wa la quwwata illa billahil 'Aliyyil Azhim. Syahdan bermula hukum Aqli itu tersimpan ia pada 3 bahagi. Pertama wajib, kedua mustahil dan ketiga harus. Maka yang wajib itu, barang yang tiada terupa pada akal tiadanya. Dan yang mustahil itu barang yang tiada terupa pada akal adanya. Dan yang harus itu barang yang sah pada akal adanya dan tiadanya.

Rabu, 12 Disember 2018

DOA PEMUSNAH RIHUL AHMAR

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Allah yang Maha besar, Tuhan bagi malaikat, Tuhan bagi Arasy yang Agung, Tuhan bagi nabi-nabi dan rasul-rasul, Tuhan bagi Pencipta sekelian alam. Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah). Maha suci Engkau (Ya Allah) sesungguhnya aku berada di kalangan orang-orang yang zalim. Ku serahkan segala urusanku kepada Allah, sesungguhnya Ya Allah yang Maha melihat hamba-hambaMu. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Penyembuh segala kemudharatan dan Engkau yang merahmati kami semua. Aku berlindung dengan mu Ya Allah dengan ketetapan mu dari kejahatan bala angin ahmar. Allah yang Maha pencipta, Yang kehendakNya tidak dapat diingkari, mempunyai kekuasaan, Allah yang Maha memiliki kebebasan dan kemuliaan. Maha suci Allah segala puji yang sebanyaknya, yang masuk dalam badan, nafas, demam, lemak, roh dan jasad. Tiada kekuatan melainkan Mu Ya Allah, Tuhan yang Agung, yang Maha Agung. Dibaca 3 kali tiap2 lepas solat Subuh, dan 2 kali lepas solat Maghrib.