Ahad, 30 Mei 2010

Syariat dan Hakikat

Syariat Musa dan Hakikat Khidir.. dua dunia yang berbeza seumpama air dan minyak. atau seumpama air dan api. Kebenaran itu ada DUA, bukan satu. Berdamailah wahai pemilik ilmu Syariat dan pemilik ilmu Hakikat. Jangan berbalah. Ilmu kamu nampak ilmu pihak satu lagi seolah-olah kesesatan. Tidak. Mereka tidak sesat. Kamu hidup dalam air seumpama ikan, manakala pihak satu lagi hidup di atas daratan seumpama kancil.
Damaikan perasaan, lupakan segala kenangan..
Usah biarkan dirimu mengulangi kesilapan silam..
Ku tahu dirimu rindukan kedamaian dan keharmonian..

Sabtu, 29 Mei 2010

Skop Ibadat Sempit

Ibadat adalah cara, bukan matlamat. Kita solat bukan untuk solat. Kita solat adalah untuk isi minyak dalam perjalanan kita menuju ke matlamat. Begitu juga dengan baca al-quran, berzikir, puasa, umrah dan lain-lain. Matlamat kita ialah untuk naik. Naik dan terus naik. Dari muslim, naik ke mukmin. Dari mukmin naik ke muhsin. Dari muhsin naik ke muttaqi. Dari muttaqi naik lagi ke maqam siddiqin, syuhada' dan solehin. Itulah tujuan ibadat. Sekadar bekalan dalam perjalanan yang panjang.

Apabila sudah tiba ke maqam siddiqin, maka terhentilah perjalanan kita. Setakat itu saja yang mampu kita pergi. Maqam Nabiyyin sudah dikhatam oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w.

Apa itu maqam Siddiqin? Maqam ini ialah maqam membenarkan segala perkhabaran dari Nabi. Kadangkala, banyak rahsia yang didapatinya dari Nabi. Jika diberitahu kepada bukan ahlinya, maka mereka tidak akan membenarkannya.

Tinta ulamak adalah lebih berat timbangannya di neraca dari darah syuhada'. Hayunan pedang di medan jihad lebih berat timbangannya di neraca dari ibadat yang panjang.

Banyak kitab ulamak yang menerangkan perjalanan rohani ini. Di antaranya:
1-Madarij As-Salikin (Anak-anak tangga Para Salik) oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Salik ialah orang yang berjalan dalam jalan rohani ini.
2-Minhajul 'Abidin (Jalan orang yang 'Abid) oleh Imam Al-Ghazali. 'Abid ialah orang yang beribadat.
3-Minhajul Qoshidin (Jalan Orang yang menuju Matlamat) oleh Al-Maqdisi.

Selasa, 25 Mei 2010

Jumud

Jumud adalah antara salah faham terhadap ajaran Islam. Antara ciri tasawur Islam ialah Tsabat. Tsabat bererti nilai-nilai tetap yang tidak akan berubah. Nilai-nilai ini adalah fitrah. Namun antara nilai tetap yang menjadi fitrah manusia ialah berkembang untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Kongkongan dan sekatan terhadap perkembangan inilah yang dinamakan jumud.

Saidina Umar berpesan: Didiklah anak kamu untuk menghadapi hidup di zaman mereka, bukan zaman kamu.

Dunia berkembang. Jadi persiapan untuk menghadapi proses perkembangan perlu disediakan oleh orang tua.

Pertembungan antara Aliran Muda dan Aliran Tua sudah lama berlaku di Malaysia. Biasanya Muda menuduh Tua sebagai Jumud. Manakala Tua akan menuduh Muda sebagai fanatik. Panjang senarai amalan Tua yang dipertikaikan oleh Muda. Antaranya: Solat Terawih 20 rakaat, Tahlil, Baca Yasin, Maulid, Bermazhab Shafie dan lain-lain. Perbahasannya panjang. Kitab-kitab ulamak yang jarang kedengaran oleh Tua dijadikan hujah.

Jumaat, 14 Mei 2010

Hikmah Solat Sunat

Ibnu Arabi menulis: (Futuhat Makkiyah jilid 2 ms 173)
Sunat Sunat, adakah 2, 4 atau 3 rakaat? Atau lebih lagi.
Pendapat yang kata: 2 rakaat, hendaklah diberi salam pada setiap 2 rakaat, waktu siang atau malam.
Pendapat yang kata, diberi pilihan. Jika mahu, dia boleh buat 2, 3, 4, 6, 8 dan berapa saja dia mahu.
Pendapat yang lain kata: Dibezakan antara solat di waktu siang. Katanya: 4 rakaat jika dia mahu. Dan solat di waktu malam, 2 rakaat 2 rakaat.
Pilihan yang aku cenderong ialah selain solat witir, maka dia diberi pilihan antara beri salam pada 2 rakaat, inilah yang lebih utama, terutama pada solat malam, atau pun dia beri salam pada 4 rakaat pada solat siang, jika dia mahu, terutama pada 4 rakaat sebelum fardhu zohor. Jika dia mahu, dia solat 6 rakaat, 8 rakaat dan berapa saja yang dia mahu.
Adapun solat 3,5 dan 7 rakaat, maka itu adalah solat witir. Tiada disyarakkan rakaat ganjil selain solat witir. Tapi diberi pilihan, jika dia mahu, dia tidak beri salam dan duduk pada setiap 2 rakaat kepada 3, 5 dan 7. Walaupun dia tidak duduk melainkan pada rakaat genapnya yang terakhir, kemudian dia bangun mendirikan 1 rakaat. Jika dia mahu, dia tidak duduk melainkan pada akhir rakaat yang ganjil dan dia mengakhirkan beri salam pada semua keadaan tadi hingga rakaat yang ganjil.

Apa iktibar (hikmah) pada hukum di atas?
Memandangkan ibadat ini dibina di atas pilihan, maka pilihan juga pada kadar yang demikian tanpa ditetapkan waktu. Tiada sebarang larangan pada yang demikian. Tiada juga perintah dengan suatu bilangan rakaat yang berlaku dari perbuatan Nabi s.a.w. Sedangkan mengikuti sunnah adalah lebih utama dan lebih berhak. Walaupun kami membolehkan demikian kepada sesiapa yang berpegang kepada sunnah yang diterimanya. Maka kami lebih cenderong kepada mengikuti dan mengamalkan sunnah dari mengamalkan "bidaah". Jika ia satu kebaikan, maka kelebihan terdapat pada mengikuti sunnah. Ia adalah lebih layak bagi seorang hamba dan lebih berhak dengan martabatnya, daripada melakukan "bidaah" dari dirinya sendiri. Kerana pada perbuatan "bidaah" dan melakukan amalan baru (sunnah baru) terdapat sejenis sifat ketua dan pemimpin. Sekiranya Nabi s.a.w. tidak ditugaskan untuk melakukan sunnah, maka baginda tidak akan membuat sunnah sendiri. Baginda s.a.w. bersabda: "Tinggalkan aku pada perkara yang aku tinggalkan kamu."
Baginda tidak suka kepada banyak soalan dan menganggapnya suatu yang 'aib. Tidak diwajibkan kepada selain baginda untuk membuat sunnah baru. Sekiranya setiap orang menyibukkan dirinya dengan melakukan perkara sunnah dan fardhu, nescaya seluruh masanya sudah dipenuhi.

Rabu, 12 Mei 2010

Hikmah Ka'abah

Allah jadikan Baitullah (Ka'abah) yang merupakan tempat zikir nama Allah di atas 4 rukun (penjuru). Begitu juga Allah jadikan hati manusia di atas 4 tabi'at yang menanggungnya dan di atasnya berdiri kebangkitannya. Seperti berdirinya Baitullah pada hari ini di atas 4 rukun seperti berdirinya 'Arasy di atas 4 orang penanggung pada hari ini. Begitu yang disebut dalam hadis. Bahawa mereka pada hari ini 4 orang, dan esok jumlahnya 8 orang. Kerana Akhirat padanya berlaku hukum dunia dan Akhirat. Maka esok ia menjadi 8 orang. Maka zahir pada Akhirat, hukum kuasa 4 orang yang lain. Begitu juga hati.

(Tambahan: Diolah sendiri oleh penulis blog)

Yang dimaksudkan dengan 4 rukun hati ialah:
1-Lintasan Ilahi
2-Lintasan Malaikat
3-Lintasan Jiwa (Nafsi)
4-Lintasan Syaitan (Para Nabi tak ada lintasan ini)

Yang dimaksudkan dengan 4 penanggung tambahan bagi Hati di Akhirat ialah:
1-Ilmu
2-Kudrat
3-Iradat
4-Kalam

Khamis, 6 Mei 2010

Hikmah Waktu Haram Solat

Ibnu Arabi berkata: Waktu haram solat secara sepakat dan khilaf ada 5: 1-waktu matahari terbit 2-waktu matahari terbenam 3-waktu matahari betul-betul tegak (istiwa') 4-selepas solat subuh 5-selepas solat asar.
Iktibar batin (hikmah) dari hukum ini ialah: Allah berfirman: Dan kepunyaan Allah perumpamaan yang tertinggi. (surah an-nahl: ayat 60).
Matahari adalah Al-Haqqu (Allah) (ingat! ini perumpamaan sahaja). Solat adalah munajat kepada Allah. Apabila Al-Haqqu bertajalli, maka berlakulah diam dan fana'. Maka tidak boleh bercakap dan munajat. Maqam Ilahi ini memberi kesan apabila Dia memperlihatkan (syuhud) kepadamu, maka Dia tidak mempercakapkanmu (munajat). Apabila Dia mempercakapkanmu, maka Dia tidak memperlihatkan kepadamu. Kecuali tajalli itu dalam rupa (shurah), maka ketika itu, ia akan menghimpunkan antara munajat (berkata-kata) dengan musyahadah (melihat). Apabila orang yang melihat hilang dari dirinya, maka tidak boleh munajat, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, maka Dia melihat kamu." tanpa syak lagi.
Kamu pun tahu bahawa si hamba itu hilang ketika syuhud (melihat) kerana yang dilihatnya menguasainya, maka tidak berlaku munajat (bercakap).
Pada waktu matahari istiwa' (betul-betul tegak), bayangmu hilang darimu ke dalammu. Bayangmu adalah hakikatmu. Cahaya telah berbaris denganmu dari semua arah dan mengelilingimu. Maka tidak ditentukan bagimu sesuatu yang boleh kamu sujud kepadanya melainkan 'ainnya berada di belakangmu, sebagaimana ia berada di depanmu, dan berada di kananmu, kirimu dan atasmu. Maka ia tidak menarikmu dari semua arahmu kerana engkau adalah cahaya dari semua arahmu. Sedangkan solat adalah cahaya. Maka cahaya-cahaya itu naik sedikit demi sedikit dalam cahaya-cahaya. Sedangkan solat tidak disolati baginya.
Adapun selepas subuh hingga matahari terbit, maka ia adalah waktu engkau keluar dari alam barzakh ke alam syahadah. Sedangkan solat tidak difardhukan waktunya melainkan dalam sesuatu yang disentuh (oleh pancaindera), bukan dalam barzakh.
Begitu juga selepas solat Asar, kerana peringkat bawah dengan pelukan kekasih tidak berhajat kepada percakapan (munajat) memandangkan kelazatan telah dirasai dalam pelukan itu.

Selasa, 4 Mei 2010

Rezeki tak cukup

Biasanya kita bekerja untuk mencari rezeki. Allah sudah janjikan setiap makhlukNya ada rezeki masing-masing. Namun kenapa timbul kata-kata rezeki saya tak cukup?

Apa yang Allah janjikan ialah rezeki yang memastikannya untuk dapat hidup hingga tiba ajalnya. Adapun keinginannya untuk memiliki harta seperti rumah, kereta, barang kemas, tanah dan sebagainya, maka itu tidak termasuk dalam janji Allah. Malah ia termasuk dalam panjang angan-angan yang sering melalaikan manusia dari melakukan ibadat yang banyak dalam hidup mereka.