Rabu, 12 September 2018

Umatku berpecah 73 firqah

Hamka menulis: Memang ada Hadis Sahih, Nabi saw bersabda bahawa umatku akan terpecah belah menjadi 73 pecahan. Yang benar hanya satu. Di hujung Hadis itu tersebut: "Ma ana 'alaihi wa ashabi" Yang benar ialah yang aku pegang bersama sahabat-sahabatku. Ulama-ulama lama, seperti Syahrastani dalam "Al-Milal wan Nihal", demikian juga yang lain, mengatakan bahawa Muktazilah terdiri dari sekian banyak firqah, Syiah sekian pula, Khawarij sekian pula dan seterusnya, sehingga kemudian dijumlahkan, cukup jadi 73 firqah. Padahal kemudian ada firqah itu yang bertambah dan ada pula yang telah habis musnah. Maka penyelidikan terakhir atas hadis itu bukan lagi demikian. Memakai angka 73 bukanlah menunjuk persis sekian jumlahnya. Menurut pemakaian bahasa Arab, kalau puluhan dipakai tujuh puluh. Jadi dapatlah dikatakan bahawa fikiran-fikiran umat Nabi Muhammad itu akan beraneka-warna macamnya, sampai berpuluh. Dan tidaklah layak ditentukan bahawa yang dimaksud ialah kaum yang sesat itu jalan Muktazilah, kaum Syiah dan sebagainya dengan segala cabang-cabangnya itu. Kerana terbukti bahawa di setiap golongan itu ada juga yang benar dan ada juga yang salah. Misalnya dalam soal kenegaraan. Kaum Khawarij berpendapat bahawa Kepala Negara hendaklah dipilih oleh orang ramai. Sedang kaum Ahli Sunnah pada zaman lampau berpendirian hendaklah Kepala Negara (Khalifah) dari Quraisy. Dan pada zaman sekarang yang disebut Ahli Sunnah di mana-mana telah condong kepada kaum Khawarij itu. Kalau kita turuti pembahagian-pembahagian yang klasik dari As-Syahrastani itu, akan timbullah suatu bahaya besar sesama Islam. Iaitu tiap-tiap mazhab atau firqah mendakwakan bahawa golongan merekalah yang benar, dan golongan yang lain salah semuanya. Bahkan sampai sekarang terbawa-bawalah cara yang demikian. Sehingga ada golongan dalam Islam yang mendabik dada mengatakan bahawa hanya merekalah yang Ahlus Sunnah wal Jamaah, sedang yang lain adalah Khawarij, Muktazilah, Wahabi dan lain-lain. Dan ada pula yang membela diri mengatakan bahawa golongan kamilah yang sejati penganut Mazhab Salaf, yang lain tukang bidaah semuanya. Lantaran mengemukakan fahaman dan erti yang salah dari hadis ini, kita umat Islam sendirilah yang menimbulkan Sektarisme dalam Islam. Padahal kita adalah Ummatan Wahidatan umat yang satu. Maka yang lebih tepat erti hadis ini ialah, bahawasanya buah fikiran dan pendapat Umat Muhammad itu akan berbagai ragam. Akan terdapat pembagian ragam itu baik pada orang seorang, ataupun pada satu kelompok, dipengaruhi oleh ruang dan waktunya. Dalam hadis itu sendiri, Rasulullah saw mengakui juga bahawa sekalian golongan itu adalah Ummati: semuanya Umatku. Dari hujung hadis, "yang benar ialah apa yang aku pegang dan sahabat-sahabatku"- dapatlah difahamkan bahawa Rasulullah saw tidaklah menyuruh teruskan perpecahan, melainkan kembali ke pangkalan. Jika buah fikiran berbagai ragam bukanlah itu satu kesalahan. Umat Muhammad disuruh berfikir dan berijtihad. Dan segala hasil ijtihad tidaklah ada yang mutlak benar. Hasil ijtihad adalah zhanni atau kemungkinan atau kecenderungan. Maka dalam fikiran yang sebanyak itu, bersimpang siur, hanya satu yang benar, iaitu yang sesuai dengan pedoman yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw dan sebab itu sahabat beliau yang melanjutkan perjuangan itu. Oleh sebab itu maka sekalian Umat Muhammad saw yang mempunyai jalan fikiran yang bersimpang siur sampai 73 atau lebih itu hendaklah berusaha membawa fikirannya kepada batu-ujian asli, iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Moga-moga tercapailah kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan