Selasa, 11 September 2018

Tali Allah dan Tali Insan

Hamka menulis dalam Tafsir Al-Azhar juzuk 4 ms 75 Surah Ali Imran ayat 112: "Mereka itu ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali (jika mereka berpegang) kepada tali Allah dan tali manusia." Dengan demikian, jalan untuk memperbaiki masih tetap terbuka untuk mereka. Pegang dua tali, tali kepada Allah ke langit, dengan iman yang teguh; tali kepada manusia, ke bumi, dengan menghapuskan perasaan bahawa awak tinggi sebenang dari orang lain, bahawa orang lain hina semua. Memasuki pergaulan Mukmin dan menjadi Muslim sejati. Kalau kedua tali ini tidak dipegang teguh, tentu mereka akan bertambah tenggelam dalam kufur. Dari ayat ini, kita mendapat ilmu falsafah sejarah tentang kenaikan dan keruntuhan suatu kaum atau golongan atau bangsa. Allah menjamin umat Muhammad menjadi khaira ummatin, sebaik-baik umat, ialah tersebab adanya amar makruf nahi mungkar. Sebab itu, walaupun bagaimana mereka diganggu oleh lawan-lawannya, gangguan itu tidak akan membahayakan. Sebab, lawan mengganggu amat lemah, tidak sepadan kekuatannya dengan khaira ummatin tadi. Sebab, yang melawan itu telah jatuh ke dalam kehinaan. Mereka mengakui bertuhan dan mempunyai kitab suci, tetapi tali hubungannya dengan Allah telah putus. Allah hanya tinggal dalam sebutan bibir, tetapi tidak mendaulati hati. Dalam ayat kaedah sekarang disebut bahawa moral mereka telah rosak sehingga ayat Allah itu telah mereka permainkan dengan mudah. Dan tali dengan sesama manusia, hormat-menghormati, meneguhi janji, tidak sebuah juga lagi yang mereka pegang dengan setia, mereka telah berkhianat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan