Rabu, 24 Oktober 2018

Gelanggang Tarian bahagian 2

Dan di sana ada beberapa lelaki yang aku benci melihat penyelewengan mereka dan kezaliman mereka. Tapi aku dalam kebanyakan acara yang bahagia, aku pergi dan aku menggenggam tangan mereka untuk mengucapkan tahniah yang murni yang mengheretku untuk memuji mereka dan menyifatkan mereka dengan kelebihan yang tiada pada mereka, dan aku menamakannya sebagai perbuatan bermanis muka. Selepas menyelidiknya dengan teliti, aku mendapati bahawa perbuatan bermanis muka itu hanyalah sifat munafik yang bertopeng. Banyak kali aku memejamkan mata daripada melihat kejadian yang penuh kebodohan atau tindakan yang berdosa dan aku katakan kepada diriku: "Apa urusanmu dengan perbuatan orang lain.. setiap orang ada kebebasan masing-masing." Dengan demikian, aku mengira aku telah menjadi seorang lelaki yang bertamadun dan moden. Yang terlepas dari sifat jumud, fanatik dan tertutup. Kemudian aku kembali berfikir. AKu dapati diriku seperti syaitan bisu. Aku mereka-reka beberapa istilah dan nama-nama untuk aku bersembunyi di belakangnya. Hingga aku menolak daripada diriku tuduhan bersifat riyak dan munafik. Secara ringkasnya, wahai Sheikhku yang mulia, aku dapati diriku menari bersama orang-orang yang menari. Aku menari mengikut rentak setiap lagu. Aku berpindah-pindah dari tarian Timur ke tarian Barat. Alangkah bodohnya dan tertipunya aku. Lalu aku namakan tarian itu dengan nama tarian Ballet. Aku melihat di sekelilingku, lalu aku dapati orang ramai menari, menyanyi dan memukul gendang. Negara-negara yang kecil menari mengikut petikan gitar yang dilakukan oleh negara-negara yang lebih kuat. Pekerja-pekerja yang berada di pejabat syarikat dan yayasan di serata dunia berlenggang-lenggok kesukaan kepada ketua Majlis Pejabat. Para penulis dan pemikir memperjuangkan berbagai ideologi, kefanatikan dan berpuak-puakan. Orang yang berhajat melakukan perkara yang sama di atas meja orang-orang yang mampu.. Oleh itu, aku katakan kepadamu, wahai Sheikhku yang mulia, aku telah membuka matamu seluasnya, lalu aku dapati kebanyakan manusia sedang menari. Aku juga dapati diriku juga sedang menari tanpa aku sedari. Ini satu bala yang amat dahsyat sekali! Aku tidak tahu, wahai tuan Sheikh, bagaimana aku boleh keluar dari gelanggang tarian itu? Aku masuk ke dalam gelanggang itu tanpa aku sedari. Lalu aku terus menari dan menari hingga aku pengsan." Sheikhku menggerutkan mukanya yang jarang sekali dia lakukan. Kedua bibirnya menandakan hatinya yang sempit dan merungut. Menyebabkan aku berfikir untuk beredar dari situ. Namun dia cepat-cepat memejam matanya, lalu menggerakkan dua bibirnya dengan kata-kata yang samar-samar. Kemudian dia membuka kedua-dua matanya, dan berkata: "Wahai anakku! Kehidupan ini tidaklah berada dalam gambar yang seburuk dan segelap ini." Dia pun menunjukkan tangannya ke langit dengan berkata: "Lihatlah ke arah ufuk yang luas di sana.. Lihatlah itu langit yang biru dan cantik. Sedangkan kelmarin langit itu diselubungi dengan awan hitam. Tapi siapa yang kata bahawa awan hitam itu hodoh dan murung. Bukankah ia melimpahkan kepada kita dengan air hujan.. Kehidupan dan kesuburan. Sistem hidup yang tersusun indah bergerak antara dua kutub negatif dan positif. Dan antara dua kutub itu sebagaimana yang awak pelajari di sekolah ada beberapa pergerakan tarikan dan tolakan. Medan elektrik dan magnet. Kadang-kala manusia sebagaimana yang kau bayangkan sedang menari.. Semoga Allah merahmati penyair falsafah Muhammad Iqbal apabila dia bersajak: Tinggalkan kepada penduduk Barat menari dengan tubuh-tubuh mereka. Sesungguhnya tarian roh dari pukulan Nabi Musa. Maksud pukulan Nabi Musa ialah orang yang bercakap dengan Allah yang memukul dengan tongkatnya akan batu yang keras. Kerana Nabi Musa apabila dia lakukan demikian, maka memancut dari batu itu sebanyak 12 mata air, lalu dapat memberi minum kepada kaumnya. Manakala apabila Nabi Muasa memukul dengan tongkatnya akan laut, jadilah laut itu terbelah dua. Setiap belahan amat tinggi setinggi gunung, lalu dia dapat membuka bagi dirinya dan orang yang bersamanya satu jalan di tengah-tengah laut itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan