Sabtu, 24 April 2010

Baitul Muslim (2)

Nabi Ibrahim a.s. berkahwin dengan Siti Sarah. Setelah tiada zuriat begitu lama, Siti Sarah mencadangkan suaminya berkahwin dengan Siti Hajar. Baginda pun mendapat anak pertama dengan Siti Hajar yang dinamakan (Nabi) Ismail. Namun sifat cemburu mula mengganggu Siti Sarah. Akhirnya Nabi Ibrahim mendapat perintah dari Allah, supaya membawa Siti Hajar dan anaknya, Ismail ke Mekah. Ini adalah satu ujian kepada Nabi Ibrahim. Cintanya kepada anak, dikorbankan demi cinta kepada Allah.

13 tahun berselang, malaikat turun bertamu ke rumah Nabi Ibrahim di Palestin. Misi mereka ialah memusnahkan kampung Nabi Luth di Sodom. Di samping itu, tujuan mereka bertamu ialah untuk membawa khabar ajaib, Siti Sarah yang sudah tua akan mengandung. Nama anaknya akan bernama Ishak. Dan cucunya akan bernama Yaakub.

Itu saja 2 isteri Nabi Ibrahim a.s. yang dikhabarkan dalam al-Quran. Mengikut sumber lain (antaranya tersebut dalam Bible), baginda ada isteri ke-3 yang bernama Qothurah (Keturah). Wallahu a'lam.

Kisah yang masyhur lagi ialah ziarah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya Ismail yang sudah berkahwin. Kali pertama baginda ke Mekah, Nabi Ismail tiada di rumah. Hanya ada isterinya. Apabila ditanya keadaan rumahtangga mereka, isterinya mengadu kesempitan hidup. Ibrahim as pun meninggal pesan kepada menantunya: "Beritahu Ismail bila dia balik nanti, suruh dia tukar bendol rumahnya."

Ibrahim pun berangkat pulang ke Palestin (dikatakan, Ibrahim naik Buraq (wallahu a'lam). Bila Ismail balik, isterinya beritahu pesanan mertuanya. Ismail faham maksud sebenar kata-kata ayahnya itu. Dia pun menceraikan isterinya.

Setelah sekian lama, Ismail pun kahwin dengan perempuan yang lain. Sekali lagi, Ibrahim datang menziarahinya. Pendek cerita: Ibrahim mengatakan: Bagus sekali bendol baru.. Sebab isteri barunya itu cakap yang elok-elok je.

Tambahan: Nabi Luth adalah anak saudara Nabi Ibrahim yang beriman dengan dakwah Tauhid. Mereka berhijrah dari Ur di Iraq ke Palestin selepas peristiwa pembakaran yang penuh mukjizat itu. Bila sampai di sana, mereka berpecah. Ibrahim ke Quds dan Luth ke Sodom. Semasa Sodom dibinasakan, bandar jirannya yang bernama Gomorrah juga dibinasakan. Kedua-duanya diterbalikkan dan tapak kedua-dua bandar itu menjadi Laut Mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan