Jumaat, 9 Julai 2010

Taufan Dan Bahtera Nuh

(Petikan dari Di Bawah Bendera Islam karya Najib Al-Kailani)

Tajuk: Sheikhku berdialog denganku tentang Taufan Dan Bahtera Nuh

Aku berjalan di jalan umum tanpa menghiraukan orang ramai. Di dalam hatiku, ada pesta yang meriah, dengan dengan sukaria. Kegembiraan mmenuhi rohku dan menggoncang seluruh badanku. Aku tidak lagi merasa lapar atau dahaga, meskipun aku belum makan dan minum berjam-jam lamanya. Sewaktu ku berjalan dalam kesibukan orang ramai yang bersesak-sesak ini, aku berhenti beberapa kali. Kemudian aku memegang majalah dan membukanya pada muka surat yang sama.. Aku menumpukan perhatianku kepada namaku yang tercetak dengan huruf besar yang berwarna hitam.. kemudian aku mula membaca artikel yang ku tulis itu untuk kali ke-20.. Sedang orang ramai mundar-mandir menempuh bahuku. Oh Tuhan!! Alangkah menakjubkan artikel yang tercetak itu!
Aku merasa amat terhibur mengingatkan kawan-kawanku yang seangkatan denganku sedang membaca artikelku.. Inilah kali pertama penulisanku tersiar di dalam majalah..
Lalu aku pergi menemui Sheikhku yang dihormati..Sedang aku mengagumi diriku..Keyakinan diriku tidak terbatas lagi.. Aku menghulurkan kepada Sheikhku hasil penulisanku.. Dia memerhati gerak-geriku dengan perasaan sayang dan mesra.. Lalu dia mula membaca diam-diam.. Hatiku berdebar, sedang aku duduk menunggu keputusannya..Apabila Sheikhku mengeluarkan keputusannya, aku selalu menerima dengan lapang dada dan redha.. Aku belum pernah lihat keputusannya condong kepada hawa nafsu, atau terseleweng dari arah yang tepat..Berlalu masa diam yang lama bercampur dengan keresahan.. Tidak lama kemudian, Sheikhku pun mengangkat kepalanya dan berkata: "Pada mulanya, ia adalah satu kalimah.."
Aku bertanya dengan bernafsu: "Adakah kalimah-kalimahku menarik hatimu??"
Dengan suara yang lembut dan berkesan, dia berkata: "Hai anakku! Kalimah bukan sekadar huruf-huruf yang tertulis di atas kertas.. Ia adalah objek yang hidup.. dari daging, darah dan roh.. Alangkah banyaknya kalimah yang dilahirkan mati!! Engkau membaca dan mendengar kalimah itu, namun engkau tak rasa di dalamnya ada sinar kehidupan dan hangat kerinduan. Di sana pula, ada kalimah yang meluncur seperti anak panah, atau membakar seperti api, atau mengalir selepas ubat penawar, atau membangkitkan cita-cita yang terpendam di dalam jiwa..Hai anakku! Tanyalah dirimu.. dari jenis yang mana, engkau berada?? Apa tujuan penulisanmu?? Kepada siapa, kamu tujukan kalimahmu?? Setiap kalimah sentiasa ada roh yang membangkitkan kehidupan.. Roh kalimah ialah Perbuatan.. Antara kata-kata dengan perbuatan terdapat perjalanan yang jauh dan memerlukan jihad yang pahit..Maka di manakah kedudukanmu, hai anak muda, di dalam perjalanan yang bergelumang dengan airmata, keringat dan tidak pernah lena itu?"
Sejak mula lagi, aku sudah berjanji kepada Sheikh untuk berlaku jujur dan jelas, kerana aku mengenalinya sifatnya. Dia tidak suka penipuan dan memarahi kepura-puraan. Dia tidak membuka pintunya kepada orang yang suka berhelah, kerana berkata benar adalah syarat tunggal yang diletakkan untuk berhubung dengannya. Dia selalu menyebut hadis Nabi s.a.w. :"Tidak akan masuk syurga seorang yang suka menipu."
Oleh itu, aku menjawab dengan berani:
"Sheikhku yang dihormati.. Aku tidak akan menyembunyikan hakikat sebenar diriku.. Semasa aku menulis artikelku itu, tidak terlintas langsung dalam fikiranku apa yang tuan sebutkan tadi.. Semasa aku menulis, aku cuma memikirkan tentang fasohah (kelancaran) kalimah, balaghoh (sastera) ibarat (ungkapan) dan ketinggian nilai uslub (gaya bahasa)... Aku cuma inginkan kemasyhuran dikenali ramai.. seperti orang ramai memujiku dengan kata-kata: "Dia seorang penulis yang tinggi sasteranya", atau "Dia seorang sasterawan yang mendalam". Aku impikan suatu hari, aku dapat melihat namaku disiarkan dalam akhbar-akhbar.. apa saja akhbar.. Kerananya, aku mula memperelokkan artikel, menyusun cerpen, menggubah puisi, dan aku kirimkan karyaku ke sana sini.. tanpa mengira misi akhbar itu.. aliran pemikiran dan ideologinya.. Itulah hakikat diriku.. Aku telah menghafal banyak puisi dan prosa..Maka suatu hari, aku mesti mula berkarya.. Dan itulah aku telah lakukan ini.."
Sheikhku pun senyum penuh makna, dan berkata: "Tidak mengapa, hai anakku.. Aku pun semasa kecil selalu meniru penceramah dan pelakon. Aku meniru pemain muzik lelaki dan perempuan di zamanku. Aku menggali lubang di tanah lalu mencurahkan air ke dalamnya, seperti yang dilakukan oleh ayahku semasa bertani.. Aku meniru askar yang berperang, bermain polis dan pencuri.. Aku bersukaria dan bermain.. Aku menganggap ia sebagai senaman dan hiburan ringan.."
Aku merkata dengan muka kemerahan akibat malu: "Allah memaafkanmu, hai Sheikh yang dihormati.. Aku sudah bukan kanak-kanak lagi.."
Sheikhku ketawa dari hatinya hingga giginya yang putih kelihatan di celah dua bibirnya yang terbuka. Kemudian dia menyapu kepalaku dengan belaian kasih sayang, dan berkata:
"Kalimah wahai anakku adalah berakar umbi yang dalam.. Ia menjalar amat jauh.. di dalam aliran akal dan perasaan. Oleh itu, pepatah berkata: Kalimah yang keluar dari hati, akan pergi ke hati.. Di dunia kita sekarang ada berjuta-juta mesin pencetak, dan berjuta-juta pembesar suara.. Kalimah-kalimah seperti ombak dan gelombang yang menghempas..Mata dan telinga kita tenggelam di dalam lautan kalimah-kalimah besar.. begitulah berlaku campur-aduk antara baik dan buruk.. orang berkata benar dan penipu.. orang jahat dan orang soleh.. Hinggakan sekiranya engkau mencari Kalimah yang baik, maka seperti mencari sebatang jarum yang kecil di dalam bukit pasir yang besar.. Mungkin umurmu habis dalam mencari jarum itu, namun engkau hampa.. Tapi ketahuilah, hai anakku.. Kalimah yang benar mempunyai daya tarikan yang pelik.. ia mempunyai keistimewaan dan kesan khas.. Ia bersinar-sinar di tengah-tengah berjuta-juta kalimah yang lain.. Ia menampakkan dirinya dengan sendirinya.. Namun engkau tak akan mengenalinya kecuali apabila engkau bersungguh-sungguh ingin mencari dan mendapatkannya... Keajaiban pada Kalimah ialah terletak pada kebenarannya.. Sebab itulah keajaiban (mukjizat) Nabi Muhammad s.a.w. yang terbesar ialah Al-Quran.. Firman Allah.."

Sasterawan Islam Najib Al-Kailani

Najib Al-Kailani adalah salah seorang pendakwah aktivis Gerakan Islam di Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin. Dia adalah seorang Sasterawan. Berikut adalah senarai karya penulisannya. Saya petik dari Bukunya - Tahta royatil Islam - Di Bawah Bendera Islam - cetakan ke-4, tahun 1987.

A)Novel:

1-At-Toriq At-Towil - Jalan Yang Panjang
2-Fi Az-Zolam - Di Dalam Kegelapan
3-'Azra al-Qaryah - Gadis-Gadis Desa
4-Al-Yaum Al-Mau'ud - Hari Yang Dijanjikan
5-Ro'su As-Syaiton - Kepala Syaitan
6-As-Robi' Al-'Ashif - Musim Bunga Yang Bertaufan
7-An-Nida' Al-Kholid - Seruan Abadi
8-Allazina Yahtariqun - Mereka Yang Terbakar
9-Ardhul Anbiya' - Bumi Para Nabi
10-Tola'i Al-Fajri - Tanda-tanda Fajar Menyingsing
11-Lail Al-Khotoya - Malam Bernoda
12-Lail Al-'Abid - Malam Para Hamba
13-Ibtisamah Fi Qalbi Syaiton - Senyuman Di Hati Syaitan
14-Al-Ka'su Al-Farighoh - Gelas Kosong
15-Nur Allah - Cahaya Allah (2 siri)
16-Qotil Hamzah - Pembunuh Hamzah
17-Mawakib Al-Ahror - Rombongan Pejuang Kemerdekaan
18-Az-Zhillu Al-Aswad - Bayangan Hitam
19-Ar-Royat As-Sauda' - Bendera-Bendera Hitam

B)Koleksi Cerpen

20-Mau'iduna Ghodan - Janji Kita Esok
21-Dumu' Al-Amir - Air Mata Ketua (Rijal Allah - Pemuda-Pemuda Allah)
22-Al-'Alam Ad-Doyyiq - Dunia Yang Sempit
23-'Inda A-Rohil - Di Saat Pemergian

C)Kajian

24-Iqbal As-Sya'ir As-Tsa'ir - Iqbal Penyair Revolusi
25-Syauqi Fi Rokbi Al-Kholidin - Syauqi Di Dalam Kelompok Tokoh Abadi
26-Al-Islamiyah Wa Al-Mazahib Al-Adabiyah - Ciri-Ciri Islam Dan Aliran Sastera
27-At-Toriq Ila Ittihad Islami - Jalan Ke Arah Penyatuan Islam
28-Al-Mujtama' Al-Maridh - Masyarakat Yang Sakit
29-A'da' Al-Islamiyah - Musuh Islam

D)Syair

30-Aghani Al-Ghuroba' - Lagu Perantau
31-'Ashru As-Syuhada' - Zaman Para Syuhada'

E)Teater

32-'Ala Aswar Dimasyqi - Di Atas Tembok Kota Damsyik

(Tambahan: 33-Lamahat Min Hayati - Imbasan Dalam Hidupku (Biografi Hidup Najib) dalam 2 siri)

Sariyah Usamah bin Zaid

Sariyah Usamah bin Zaid adalah tugas terakhir yang Nabi s.a.w. lakukan sebelum baginda wafat. Sempena malam Israk ini, saya ingin menekankan maksud tersirat di sebalik Sariyah ini.
Sariyah bermakna peperangan yang tidak disertai oleh Nabi s.a.w.
Kenapa Sariyah ini begitu penting? Sebab Nabi s.a.w. tahu tugasnya untuk menguasai Baitul Maqdis yang merupakan tempat Israk Mikraj belum mampu diselesaikan semasa hidupnya.
Oleh itu, baginda memberi pelajaran penting ini kepada para sahabat baginda dengan mempersiapkan angkatan perang Usamah ini.
Pelajaran ini difahami oleh para sahabat.
Di zaman Umar, Baitul Maqdis berjaya dikuasai oleh Islam.
Itulah pengajaran dari Israk Mikraj.
Namun selepas 14 abad, nampaknya umat Israk Mikraj tidak faham isu ini.
Bumi Israk Mikraj sudah terlepas ke tangan Non Muslim sejak 1919 (perjanjian Balfour).
Ini bukan kali pertama bumi Israk Mikraj terlepas. Gelombang perang Salib dulu dan serangan Tartar pernah menawannya. Namun Allah membangkitkan Salahuddin Ayyubi, Muzaffar Qutuz, Zohir Bybers dan Mansur Qolawun untuk menguasainya kembali.
Siapakah pula yang akan dibangkitkan untuk menguasainya semula di zaman moden ini?

Bahaya Tiada Sheikh

Biasa kita dengar ungkapan: "Sesiapa yang tiada Sheikh, maka Syaitanlah Sheikhnya."
Kita akan jadi seperti layang-layang terputus tali jika kita hidup tanpa memilih satu dari 2 pilihan. Samada nak jadi murid kepada Sheikh atau nak jadi Sheikh kepada murid.
Walaupun begitu, tidak bermakna kita tidak boleh menukar Sheikh. Sheikh tidak boleh halang muridnya dari tergerak hati nak menukar Sheikh dengan Sheikh yang lain. Hinggalah muridnya sudah layak menjadi Sheikh.
Mungkin kita tidak perlu fobia dengan istilah Sheikh ini. Kita boleh menukarnya dengan istilah Imam atau Ulamak atau Mursyid atau Naqib atau Mas'ul dan sebagainya.
Yang penting, hidup kita akan ada tujuan.
Dalam sirah, semasa Umar (sebelum memeluk islam) hendak memarahi adiknya yang memeluk islam, di rumah adiknya sedang ada usrah.. seorang Naqib sedang mengajar adik Umar bersama suaminya. Dakwah di peringkat Mekah dilakukan diam-diam di rumah Arqam bin Abi Arqam.
Dunia ini tidak Kiamat selagi ada Rabbaniyyin di dalamnya. Walaupun ada seorang Rabbani, sudah cukup untuk menghalang jam Dunia dari terhenti.
Surah Ali Imran ayat 79: "Tidak ada jalan untuk seseorang individu setelah dia diberi oleh Allah akan Kitab, Hukum dan Nubuwwah, kemudian dia berkata kepada umat manusia: Kamu semua mesti menjadi hamba-hamba kepadaku selain dari Allah". Tetapi hendaklah dia berkata: "Kamu semua mesti menjadi Rabbaniyyin dengan ilmu yang kamu pelajari dari Kitab dan yang kamu kaji."

Rabu, 7 Julai 2010

Menangis Didengki Syaitan

Syaitan benci melihat manusia menangis. Sebab Syaitan tak pernah menangis. Orang yang tidak pernah menangis tidak tahu betapa nikmatnya dirasakan oleh hati selepas menangis. Orang yang banyak menangis semasa hidupnya, maka selepas kematiannya, akan diberi keseronokan. Orang yang banyak berseronok semasa hidupnya, maka selepas kematiannya, akan menangis sebanyak-banyaknya.
Apakah yang menyebabkan kita menangis? Kerinduan kepada kampung halaman tempat asal kita... iaitu sebelum kita diusir dari Syurga.. Kita menangis ingin kembali ke sana.. Dunia ini dikuasai syaitan.. Yang lemah dijadikan kuli.. Yang bodoh dijadikan bola..

Selasa, 6 Julai 2010

Muqaddimah Tarbiah Anak

Buku Tarbiah Anak Dalam Islam karya Abdullah Naseh Ulwan sudah lama saya beli terjemahan Melayunya. Baru kini saya miliki teks asal Arabnya.

Rupa-rupanya Muqaddimahnya tidak diterjemah.

Inilah terjemah Muqaddimahnya:

Segala puji kepada Allah yang menjelaskan kepada para hambaNya manhaj (method) Tarbiah (pendidikan) yang lurus di dalam Al-Quran Nya yang agung, dan Dia menerangkan kepada seluruh alam prinsip-prinsip kebaikan, hidayah dan islah (perbaikan) di dalam hukum-hakam syariatNya yang hanif (murni).

Selawat dan salam ke atas Saidina Nabi Muhammad yang dibangkitkan Allah sebagai pendidik kepada kemanusiaan, dan Dia menurunkan kepada NabiNya satu syariat yang menyempurnakan kepada kemanusiaan setinggi-tinggi tanda keagungan dan kemuliaan kemanusiaan, dan matlamat terbesar pemikiran dan kedudukannya, ketinggian dan kemantapannya...

Dan ke atas seluruh ahli keluarga dan para sahabat baginda, yang baik dan suci, yang memberi kepada generasi demi generasi contoh-contoh yang unik berkenaan pentarbiahan (pendidikan) anak-anak dan pembentukan ummah...

Dan ke atas setiap orang yang melalui jalan yang sama dengan jalan mereka, dan menjejaki langkah mereka dengan ehsan (sebaik-baiknya) hingga Hari Kiamat..

Amma ba'du...

(Tamat Muqaddimah)

Ahad, 4 Julai 2010

Azan bergema

(petikan Fiqh Sirah - Muhammad Al-Ghazali)

Kalimat-kalimat agung yang membelah angkasa ini menyebarkan perasaan takut di hati "syaitan-syaitan" sehingga terpaksa lari menjauhkan diri, atau pulang kembali sebagai orang-orang beriman.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar)
Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Suara kebenaran yang mengingatkan manusia kepada tujuan utama hidupnya, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat kelak setelah dia mati. Betapa banyak manusia disesatkan oleh tujuan-tujuan kecil hingga dia hidup merangkak di muka bumi bagaikan binatang buas. Mereka menumpahkan seluruh perhatiannya kepada soal-soal keduniaan dan membenamkan diri dalam usaha mengejarnya, sehingga seluruh fikiran dan perasaannya dikuasai olehnya. Orang-orang seperti itu akan mati dibunuh oleh kesedihan bila tak berhasil meraih dunia, dan akan mati dibunuh oleh kegembiraannya bila dapat meraih sebanyak-banyaknya. Orang yang demikian itu tidak merasa rugi dan tidak merasa hina menghabiskan hidupnya untuk soal-soal yang fana dan tidak berharga...

Suara kebenaran yang mengumandangkan di angkasa ini mengeluarkan manusia dari timbunan kegelapan dan menyebarkan perasaan takut kepada sesuatu yang selama ini dilupakan, iaitu Pencipta segala yang ada, Penguasa alam semesta.

Asyhadu an laa ilaaha illa Allah!.. Asyhadu an laa ilaaha illa Allah!
(Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah... Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah)

Hancurlah segala yang dianggap sebagai sekutu Allah oleh manusia yang selama ini tunduk kepada angan-angannya sendiri dan membangga-banggakan sesuatu yang tidak ada ertinya sama sekali, mengimpikan kebaikan dari sesuatu yang tidak dapat mendatangkan manfaat apa pun jua bagi dirinya sendiri, dan menanti-nantikan pertolongan dari sesuatu yang tidak dapat membela dirinya sendiri walaupun hanya dari serangan seekor lalat!

Apa guna menenggelamkan diri di dalam soal-soal yang sia-sia itu? Selama ini, kaum musyrikin mempersekutukan Allah dengan beberapa jenis ciptaanNya, malah ada pula yang memandang ciptaan Allah sebagai tuhan-tuhan yang harus disembah. Lain halnya dengan kaum muslimin, mereka tidak mengenal Tuhan selain Allah dan tidak memandang ada pelindung selain Allah.

Tauhid yang mutlak adalah cara satu-satunya untuk mencapai tujuan yang diingini manusia...

Akan tetapi siapakah yang patut dijadikan teladan? Siapakah pemimpin yang membimbing manusia ke jalan yang benar itu? Siapakah perintis yang menunjukkan jalan ke arah itu? Muazzin (Bilal) menyebutkan jawapan atas semua pertanyaan tersebut, iaitu:-

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah..! Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah..!
(Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.. Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah..)

Peri kehidupan manusia yang mulia ini merupakan teladan paling sempurna bagi setiap manusia yang menghendaki kehidupan yang benar. Muhammad s.a.w. adalah manusia, jalan hidup yang ditempuhnya mencerminkan akhlak luhur seorang yang hidup menghayati kebenaran untuk kebenaran.

Muazzin (Bilal) mengingatkan setiap manusia yang berfikir sihat supaya dengan gembira menerima kebajikan, supaya giat berusaha memperoleh keredhaan Allah yang mengatur semua urusan hidupnya dan melimpahkan kurnia nikmat kepadanya. Oleh itu, muazzin (Bilal) pertama-tama mendorong manusia supaya menunaikan ibadah yang paling mudah dan paling ringan, iaitu:-

Hayya 'alash solah! .. Hayya 'alash solah..!
(Tegakkanlah solat.. Tengakkanlah solat)

Pada saat orang menunaikan solat, dia berada dalam keheningan, meninggalkan hiruk-pikuk keduniaan. Pada saat-saat itulah manusia yang telah berbuat kekeliruan dan kesalahan kembali kepada kebenaran. Pada detik-detik itulah manusia sepenuhnya tunduk berserah diri kepada Allah, sebagaimana yang harus dilakukan setiap dia menghadapi ronrongan nafsu (hasutan nafsu)... detik-detik di mana dia hanya memikirkan urusan dirinya sendiri di hadapan Allah s.w.t. Singkatnya (secara ringkas)ialah detik-detik di mana manusia mengharapkan pertolongan dan petunjuk dari Allah, Tuhannya.

Betapa butuhnya (perlunya) manusia kepada petunjuk Allah agar dia tidak menjadi manusia congkak (sombong), dan betapa pula butuhnya (perlunya) dia kepada pertolongan Allah, agar dirinya tidak menjadi lemah dan tak berdaya. Pada akhirnya, dia sanggup memberi dorongan kepada orang lain agar jangan sampai mengalami kegagalan dan kekecewaan dalam semua urusan yang dihadapinya.

Kekecewaan akan terjadi bila orang merasa bahawa jerih payah usahanya hilang sia-sia disebabkan oleh suatu tindakan yang keliru, baik keliru dalam hal pelaksanaannya maupun keliru dalam hal maksud dan tujuannya.. Untuk mencegah terjadinya kekecewaan, muazzin (Bilal) memperingatkan manusia dengan seruannya:

Hayya 'alal falaah..! Hayya 'alal falaah!
(Tegakkanlah kejayaan.. Tegakkanlah kejayaan)

Orang yang melakukan pekerjaan dengan cara yang benar dan disertai niat yang benar pula, dia telah berhasil dan berjaya dalam pekerjaannya itu, walaupun hanya mengenai soal keduniaan belaka. Tidakkah Allah telah mengajar NabiNya supaya mengerjakan urusan hidupnya berdasarkan niat ikhlas semata-mata tertuju kepada Allah, sebagaimana dia melakukan ibadah dan solat?!

Firman Allah dalam Surah Al-An'am ayat 162-163: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, semata-mata hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama yang berserah diri kepada Allah."

Tidak ada jalan ke arah itu selain harus memandang kecil semua tujuan yang bukan Allah, dan harus tetap meyakini keesaan (Tauhid Allah selama-lamanya).

Setelah itu muazzin (Bilal) mengulang kembali tujuan yang diserukan, iaitu:

Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar..)
La ilaaha illa Allah! (Tiada Tuhan selain Allah..)

Kalimat-kalimat yang dikumandangkan dalam azan mencerminkan tujuan yang sangat jelas dan paling menonjol dari Risalah Agung yang menghendaki kebaikan dan perbaikan.