Jumaat, 9 Julai 2010

Taufan Dan Bahtera Nuh

(Petikan dari Di Bawah Bendera Islam karya Najib Al-Kailani)

Tajuk: Sheikhku berdialog denganku tentang Taufan Dan Bahtera Nuh

Aku berjalan di jalan umum tanpa menghiraukan orang ramai. Di dalam hatiku, ada pesta yang meriah, dengan dengan sukaria. Kegembiraan mmenuhi rohku dan menggoncang seluruh badanku. Aku tidak lagi merasa lapar atau dahaga, meskipun aku belum makan dan minum berjam-jam lamanya. Sewaktu ku berjalan dalam kesibukan orang ramai yang bersesak-sesak ini, aku berhenti beberapa kali. Kemudian aku memegang majalah dan membukanya pada muka surat yang sama.. Aku menumpukan perhatianku kepada namaku yang tercetak dengan huruf besar yang berwarna hitam.. kemudian aku mula membaca artikel yang ku tulis itu untuk kali ke-20.. Sedang orang ramai mundar-mandir menempuh bahuku. Oh Tuhan!! Alangkah menakjubkan artikel yang tercetak itu!
Aku merasa amat terhibur mengingatkan kawan-kawanku yang seangkatan denganku sedang membaca artikelku.. Inilah kali pertama penulisanku tersiar di dalam majalah..
Lalu aku pergi menemui Sheikhku yang dihormati..Sedang aku mengagumi diriku..Keyakinan diriku tidak terbatas lagi.. Aku menghulurkan kepada Sheikhku hasil penulisanku.. Dia memerhati gerak-geriku dengan perasaan sayang dan mesra.. Lalu dia mula membaca diam-diam.. Hatiku berdebar, sedang aku duduk menunggu keputusannya..Apabila Sheikhku mengeluarkan keputusannya, aku selalu menerima dengan lapang dada dan redha.. Aku belum pernah lihat keputusannya condong kepada hawa nafsu, atau terseleweng dari arah yang tepat..Berlalu masa diam yang lama bercampur dengan keresahan.. Tidak lama kemudian, Sheikhku pun mengangkat kepalanya dan berkata: "Pada mulanya, ia adalah satu kalimah.."
Aku bertanya dengan bernafsu: "Adakah kalimah-kalimahku menarik hatimu??"
Dengan suara yang lembut dan berkesan, dia berkata: "Hai anakku! Kalimah bukan sekadar huruf-huruf yang tertulis di atas kertas.. Ia adalah objek yang hidup.. dari daging, darah dan roh.. Alangkah banyaknya kalimah yang dilahirkan mati!! Engkau membaca dan mendengar kalimah itu, namun engkau tak rasa di dalamnya ada sinar kehidupan dan hangat kerinduan. Di sana pula, ada kalimah yang meluncur seperti anak panah, atau membakar seperti api, atau mengalir selepas ubat penawar, atau membangkitkan cita-cita yang terpendam di dalam jiwa..Hai anakku! Tanyalah dirimu.. dari jenis yang mana, engkau berada?? Apa tujuan penulisanmu?? Kepada siapa, kamu tujukan kalimahmu?? Setiap kalimah sentiasa ada roh yang membangkitkan kehidupan.. Roh kalimah ialah Perbuatan.. Antara kata-kata dengan perbuatan terdapat perjalanan yang jauh dan memerlukan jihad yang pahit..Maka di manakah kedudukanmu, hai anak muda, di dalam perjalanan yang bergelumang dengan airmata, keringat dan tidak pernah lena itu?"
Sejak mula lagi, aku sudah berjanji kepada Sheikh untuk berlaku jujur dan jelas, kerana aku mengenalinya sifatnya. Dia tidak suka penipuan dan memarahi kepura-puraan. Dia tidak membuka pintunya kepada orang yang suka berhelah, kerana berkata benar adalah syarat tunggal yang diletakkan untuk berhubung dengannya. Dia selalu menyebut hadis Nabi s.a.w. :"Tidak akan masuk syurga seorang yang suka menipu."
Oleh itu, aku menjawab dengan berani:
"Sheikhku yang dihormati.. Aku tidak akan menyembunyikan hakikat sebenar diriku.. Semasa aku menulis artikelku itu, tidak terlintas langsung dalam fikiranku apa yang tuan sebutkan tadi.. Semasa aku menulis, aku cuma memikirkan tentang fasohah (kelancaran) kalimah, balaghoh (sastera) ibarat (ungkapan) dan ketinggian nilai uslub (gaya bahasa)... Aku cuma inginkan kemasyhuran dikenali ramai.. seperti orang ramai memujiku dengan kata-kata: "Dia seorang penulis yang tinggi sasteranya", atau "Dia seorang sasterawan yang mendalam". Aku impikan suatu hari, aku dapat melihat namaku disiarkan dalam akhbar-akhbar.. apa saja akhbar.. Kerananya, aku mula memperelokkan artikel, menyusun cerpen, menggubah puisi, dan aku kirimkan karyaku ke sana sini.. tanpa mengira misi akhbar itu.. aliran pemikiran dan ideologinya.. Itulah hakikat diriku.. Aku telah menghafal banyak puisi dan prosa..Maka suatu hari, aku mesti mula berkarya.. Dan itulah aku telah lakukan ini.."
Sheikhku pun senyum penuh makna, dan berkata: "Tidak mengapa, hai anakku.. Aku pun semasa kecil selalu meniru penceramah dan pelakon. Aku meniru pemain muzik lelaki dan perempuan di zamanku. Aku menggali lubang di tanah lalu mencurahkan air ke dalamnya, seperti yang dilakukan oleh ayahku semasa bertani.. Aku meniru askar yang berperang, bermain polis dan pencuri.. Aku bersukaria dan bermain.. Aku menganggap ia sebagai senaman dan hiburan ringan.."
Aku merkata dengan muka kemerahan akibat malu: "Allah memaafkanmu, hai Sheikh yang dihormati.. Aku sudah bukan kanak-kanak lagi.."
Sheikhku ketawa dari hatinya hingga giginya yang putih kelihatan di celah dua bibirnya yang terbuka. Kemudian dia menyapu kepalaku dengan belaian kasih sayang, dan berkata:
"Kalimah wahai anakku adalah berakar umbi yang dalam.. Ia menjalar amat jauh.. di dalam aliran akal dan perasaan. Oleh itu, pepatah berkata: Kalimah yang keluar dari hati, akan pergi ke hati.. Di dunia kita sekarang ada berjuta-juta mesin pencetak, dan berjuta-juta pembesar suara.. Kalimah-kalimah seperti ombak dan gelombang yang menghempas..Mata dan telinga kita tenggelam di dalam lautan kalimah-kalimah besar.. begitulah berlaku campur-aduk antara baik dan buruk.. orang berkata benar dan penipu.. orang jahat dan orang soleh.. Hinggakan sekiranya engkau mencari Kalimah yang baik, maka seperti mencari sebatang jarum yang kecil di dalam bukit pasir yang besar.. Mungkin umurmu habis dalam mencari jarum itu, namun engkau hampa.. Tapi ketahuilah, hai anakku.. Kalimah yang benar mempunyai daya tarikan yang pelik.. ia mempunyai keistimewaan dan kesan khas.. Ia bersinar-sinar di tengah-tengah berjuta-juta kalimah yang lain.. Ia menampakkan dirinya dengan sendirinya.. Namun engkau tak akan mengenalinya kecuali apabila engkau bersungguh-sungguh ingin mencari dan mendapatkannya... Keajaiban pada Kalimah ialah terletak pada kebenarannya.. Sebab itulah keajaiban (mukjizat) Nabi Muhammad s.a.w. yang terbesar ialah Al-Quran.. Firman Allah.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan