Selasa, 21 Disember 2010

Ekonomi sekarang

Sesudah menutup bisnes cybercafe saya, saya sekarang jadi penceramah agama di surau.
pendapatan saya sekarang dari 3 sumber.
1-saguhati mengajar di surau
2-rumah sewa tapak kedai cybercafe dulu
3-rumah sewa kediaman
alhamdulillah, pendapatan ini sudah cukup untuk dapat hidup secara sederhana.
pinjaman belajar tajaan Yayasan Terengganu dulu masih belum habis dibayar.

Selasa, 26 Oktober 2010

The Spirit of Islam - Syed Ameer Ali

Tajuk asal: The Spirit of Islam
Tajuk BM: Sejarah Evolusi dan Keunggulan Islam
Pengarang: Syed Ameer Ali , ulamak India

Terjemahan asal bahasa Indonesia: H.B. Jassin dengan tajuk: Api Islam.
Diubahsuai ke bahasa Melayu: Mohamad Saleeh Rahamad.

ms 633.

Kandungan

Epigraf
Pengantar
Pendahuluan

Bahagian 1
Sirah Rasulullah dan Kebaktiannya

Bab 1 Muhammad Rasulullah
B 2 Hijrah
B 3 Rasulullah di Madinah
B 4 Permusuhan antara orang Quraisy dan orang Yahudi
B 5 Penyerbuan Madinah oleh Kaum Quraisy
B 6 Kemurahan Hati Rasulullah
B 7 Penyebaran Agama Islam
B 8 Tahun Perutusan
B 9 Terlaksananya Tugas Muhammad s.a.w.
B 10 Penggantian Rasulullah

Bahagian 2
Semangat Perjuangan Islam

Bab 1 Cita-cita Islam
B 2 Semangat Keagamaan Islam
B 3 Gagasan Hidup Di Akhirat dalam Islam
B 4 Semangat Militan Agama Islam
B 5 Kedudukan Wanita dalam Islam
B 6 Perhambaan
B 7 Semangat Politik Islam
B 8 Perpecahan Politik dan Agama dalam Islam
B 9 Semangat Sastera dan Ilmu dalam Islam
B 10 Semangat Rasionalis dan Falsafah Islam
B 11 Semangat Mistik dan Idealisme dalam Islam

Lampiran
Indeks Umum
Indeks Bibliografi 631

Buku ini dimulakan dengan satu sajak:

Tidaklah penting apakah kata-kata yang kau ucapkan dalam sembahyang bahasa Ibrani atau Syria,
Atau apakah tempat kau mencari Tuhan di Jabalka atau Jabalsa.

SANAI

(rasanya bahasa asalnya adalah bahasa URDU)

Pengantar

Dalam halaman2 berikut, saya (penulis) cuba menerangkan sejarah perkembangan Islam sebagai suatu agama dunia;
tentang penyebarannya yang cepat dan pengaruh menyolok (mata) yang dirakamkannya atas batin dan fikiran berjuta-juta orang dalam waktu yang singkat.
Ini telah menggerakkan kemajuan akal budi umat manusia dan telah umum diakui orang.
Akan tetapi jasa Islam yang besar dalam mengangkat perikemanusiaan itu tidak diakui atau dihargai;
demikian pula alasan adanya cita-cita dan hasrat Islam belum difahami dengan wajar.

Inilah yang menjadi tujuan usaha saya (penulis) menyelidiki, untuk menerangkan tempatnya yang sebenar dalam sejarah agama2.

Pandangan tentang adanya dan cita-cita Islam, bagaimana lemahnya, mungkin dapat menolong orang yang mencari keyakinan konstruktif, untuk menenangkan fikiran manusia, setelah ketegangan pergolakan dewasa ini.
Juga diharapkan agar orang yang memeluk agama islam dengan ini hendaknya mendapat bantuan dalam memahami dan menerangkan dasar2 keyakinannya.

Pendahuluan

Kesinambungan kemajuan agama di antara umat manusia merupakan suatu hal yang amat menarik hati penyelidik kemanusiaan.
Pembangunan bertingkat2 fikiran manusia untuk mengenal suatu peribadi, suatu kehendak luhur yang menaungi alam semesta,
pekerjaan berat yang dilalui oleh perseorangan dan bangsa2 sebelum mereka sampai kepada pengertian jiwa semesta yang menyusup,
mengatur dan menuntun semua makhluk, memberikan pelajaran yang sangat dalam ertinya.

Kumpulan2 manusia dan orang perseorangan telah terlepas daripada arus kemajuan, telah mendengarkan suara keinginan mereka sendiri, atau telah menurut kata hatinya masing2.

Mereka telah kembali menjadi penyembah hawa nafsu mereka, terlambang dalam berhala masa kecilnya.

Meskipun tidak terdengar, suara Tuhan tetap memanggil manusia kepada kebenaran dan ketika telah tiba masanya pesuruh2Nya bangkit memperingatkan kewajipan2 manusia terhadap dirinya sendiri dan terhadap penciptaNya.

Orang2 ini memang "utusan2 syurga" sejati.

Mereka datang ke tengah2 bangsanya sebagai putera zamannya.

Mereka mewakili hasrat jiwa manusia yang bernyala2 mencari kebenaran, kesucian dan keadilan.

Masing2 merupakan penjelmaan keperluan rohani zamannya. Masing2 datang untuk menyucikan, membaharui, mengangkat bangsa yang telah jatuh, negara yang runtuh.

Setengah2nya datang sebagai pengajar dalam lingkungan kebudayaan sederhana untuk mempengaruhi lingkungan yang sederhana, yang lain datang dengan amanat seluas dunia - amanat yang tidak terbatas kepada suatu kaum atau sesuatu bangsa tetapi dimaksudkan untuk umat manusia.

Demikianlah Nabi Muhammad SAW, kerasulannya bukanlah untuk bangsa Arab sahaja. Beliau diutuskan Allah bukan untuk sesuatu zaman atau daerah, tetapi "untuk segenap manusia sampai ke akhir zaman".

Kedatangan pemimpin besar ini yang hidupnya sejak saat kebaktiannya merupakan bukti nyata, bukanlah suatu kebetulan sahaja, suatu babak yang tidak berhubung dalam sejarah dunia.

Sebab2 yang serupa, kejahatan2 menyolok yang sama, tuntutan sungguh2 yang sama pula akan sesuatu "kepercayaan yang meyakinkan", kepada suatu kekuasaan yang menyusupi segala, yang pada zaman Kaisar Agustus telah menyebabkan munculnya seorang nabi di pantai Galilea, yang hidupnya merupakan suatu tragedi, berlaku dengan lebih hebat pada abad ketujuh perhitungan tahun Masihi.

Permulaan abad ketujuh, seperti dikatakan dengan tepat, merupakan suatu kurun kehancuran kebangsaan, sosial dan keagamaan.

Gejala2 seperti selalu terjadi, membawa bentuk segar agama yang tegas, untuk memanggil kembali mereka yang sesat kepada jalan evolusi rohani yang tidak dapat dielakkan, "ke arah integrasi pemujaan perseorangan".

Semuanya menunjukkan betapa perlu wahyu Tuhan yang lebih tersusun daripada yang diperolehi oleh agama Yahudi atau Kristian.

Api suci yang dinyalakan oleh Zoroaster, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS telah dipadamkan dalam darah manusia.

Segolongan penganut Zoroaster yang keji berabad2 bergaul dengan pengikut Kristian yang lebih keji, telah mencekik suara kemanusiaan dan telah mengubah beberapa bahagian bumi yang amat bahagia, menjadi kancah pertumpahan darah yang sungguh2.

Peperangan yang tiada hentinya untuk kekuasaan, perkelahian saling memusnahkan yang terus-menerus, ditambah pula dengan perbalahan tentang kepercayaan dan perbalahan antara mazhab yang tiada akhirnya, telah menghisap kering darah kehidupan daripada jantung bangsa2.

Penduduk dunia, diinjak2 di bawah telapak besi semangat pendeta yang tidak berperasaan, meratap kepada tuhan kerana kekejaman para tuannya.

Belum pernah dalam sejarah dunia ada keperluan sebesar itu, waktu sematang itu, untuk munculnya seorang pembebas.

Oleh sebab itu, untuk menghargainya sepenuhnya usaha2 yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dunia rohani, perlulah dilakukan penyelidikan selayang pandang tentang keadaan agama dan sosial bangsa2 di dunia sebelum dan kira2 pada permulaan penyebaran Islam.

Selasa, 19 Oktober 2010

Rendahnya nilai diri ini

Itulah kata seorang kawan seperjuangan saya beberapa hari lepas. "KITA INI TIADA NILAI", katanya. Dia kata begitu bila saya sebut jawatannya dulu sebagai guru sebuah sekolah swasta, sekarang cuba meniaga pula. Dia kata saya letak jawatan sebagai guru, akan diganti dengan guru yang lain pula. Tak ada apa-apa kesan. Patah tumbuh hilang berganti.

Ini komen dari saya.

Siapa kata kita tiada NILAI.
Kalau bukan sebab saya, Nabi Muhammad saw tidak diutuskan kepada umatnya termasuk saya. Kan penting saya ni.. betul tak?

Saya rasa diri saya amat bernilai kewujudannya.
Tiada harga untuk menilai harga kewujudan saya ini.
Saya tidak ingin menetapkan harganya dengan berpihak kepada salah satu dari pihak-pihak yang mencari pengikut dulu. Biarlah mereka menipu orang lain, tidak saya.

Selasa, 12 Oktober 2010

Tanpa rujukan

Sekarang saya seorang lone ranger... tiada bawa buku apa-apa kat cc ni. Jadi coretan ini 100% dari mindaku yang sepi.

Jadilah pakar rujuk. Tak perlu berpihak kepada pihak A, B atau C. Zaman berpihak sudah lapuk. Orang bodoh je yang masih suka mengekalkan suasana tegang ini.

Kamu nak jadi orang A, B atau C, silakan. Tapi saya tak pilih mana-mana. Tidak barat, utara, timur mau pun selatan. Agar keputusanku ini tepat buatku. Biar hina di mata orang lain.

Zaman sekarang ada banyak pihak. Kalau tulis kat sini, apa salahnya kan?
1-Ahli Sunnah saja
2-Ahli Sunnah Wal Jamaah
3-Ahli Quran saja (Tolak Sunnah)
4-Syiah (Ali saja)
5-Syiah Zaidiyah
6-Syiah Imamiyah 12 Imam
7-Syiah Imamiyah Ismailiah
8-Khawarij
9-Muktazilah
10-Qadariah
11-Jabariah
12-Ikhwan Muslimin
13-PAS
14-UMNO
15-Keadilan
16-Jamaah An-Nur (Turki)
17-Jamaah Tabligh (India)
18-Wahabi (Saudi)
19-Rasyad Khalifa - Kod 19 (USA)
20-Tarikat Sufi
a-Ahmadiah (Ahmad Badawi - Mesir)
b-Naqsyabandiah
c-Qadiriah (Abdul Qadir Jailani)
21-JIM
22-ISMA
23-HALUAN
24-MIRC (USA)
25-IRC (UK)

Rabu, 6 Oktober 2010

Masnawi Said Nursi

Ingin ku bermadah pujangga, sori buat teman yang tak suka madah.
Madah ini dari buku Masnawi Arabi Nuri (Nursi Badiuzzaman Said)

Bunga
dari taman Al-Quran
karya Said An-Nursi

Setiap yang bernyawa di dunia ini
seumpama askar yang bertugas
dia bekerja untuk si Raja
dan dengan nama Raja itu
Oleh itu, sesiapa yang sangka dia adalah Raja, maka dia akan binasa

Peraturan ini dan neraca ini yang disaksikan adalah 2 tajuk kepada 2
genggaman Tuhan dan 2 pintu dari Al-Quran dan dari Kitab yang berupa
alam buana.

Al-Quran adalah penterjemah kepada 2 kitab itu dan index kepada 2 pintu dan fazlakah (tak tahu maknanya) 2 genggaman itu.

Kalimat - Nursi

Pada kali ini saya terjemah sedikit petikan dari Buku Al-Kalimaat tulisan Badi'uzzaman Said Nursi.

Dengan nama Allah.. Bismillah
Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad, keluarga serta sahabat baginda sekalian..

wahai saudaraku,
kau meminta nasihat dariku, maka inilah nasihatku. Terdiri dari 8 kisah pendek. Dengarlah kisahku ini. Betapa perlunya engkau kepada nasihat ini.

Kisahku tentang askar, sebab kerjamu ialah askar.

8 KALIMAT dari 8 ayat Al-Quran. Sesiapa yang ingin sertai rehlah ini silakan.

(tamat ms 5)

Rabu, 29 September 2010

Puisi Qardhawi

Muslimun Qadimun (umat islam sedang mara ke depan)

ms 5

BuatMu wahai imamku tercinta
wahai guruku tersayang
wahai pembawa lampu di zaman yang gelita!

wahai mursyid kepada dunia ke arah manhaj pendekatan Nabi Muhammad
wahai hembusan dari generasi Darul Arqam!

Muka surat 6
tidurlah engkau di samping pemimpinmu yang memberi petunjuk
sedangkan bangunan yang engkau dirikan wahai Al-Banna tidak akan runtuh!
ia akan terus menjadi kekasihMu di dalam hati yang bertulis
dan cahayaMu di dalam otak dan namaMu di bibir kami!

Sabtu, 28 Ogos 2010

Malaysia Corak Amerika

Syed Qutb menulis dalam bukunya bertajuk: Ke Arah Masyarakat Islam (Nahwa Mujtama' Islami) pada muka surat 8:

Tetapi aku tahu bagaimana kehidupan di Amerika, negara pengeluar yang besar, kemewahan melampau dan keseronokan tanpa sempadan.. Aku saksikan rakyatnya, di mana kegelisahan mental memakan hidup mereka meskipun kelihatan amat mewah, penuh nikmat dan segala alat kesenangan. Keseronokan mereka adalah mengobarkan nafsu dan kehaiwanan. Engkau boleh bayangkan bahawa mereka sentiasa lari dari hantu yang mengejar mereka. Mereka adalah alat-alat yang bergerak secara gila, cepat dan berkobar, yang tidak pernah berhenti. Seringkali engkau boleh bayangkan bahawa rakyatnya berada dalam satu mesin yang berpusing tidak henti-henti siang malam, pagi petang. Mesin itu mengisar mereka dan mereka juga mengisar, tidak berhenti sesaat pun. Mereka tidak merasa tenang kepada diri mereka dan kepada kehidupan di sekeliling mereka, itu pun jika mereka merasa kewujudan sekeliling mereka. Tidak ada di sana sesaat pun untuk merenung, hinggakan untuk merasai kehidupan itu sendiri yang sedang berjalan. Hingga semasa mereka melalui waktu-waktu berehat, bersukan, di tempat makan angin, di taman, di tepi pantai, tasik.. kau lihat mereka masih juga berada dalam SIBUK, seperti kesibukan semasa waktu kerja. Yang berbeza cuma mereka berpindah tempat dan berpindah kerja. Tapi tiada kerehatan, kedamaian, renungan dan ketenangan.

Mereka banyak mengeluarkan. Tidak dinafikan. Mereka dapat banyak keuntungan. Ini pun tidak dinafikan. Tapi kepada siapa mereka mengeluarkan dan mereka menguntungkan siapa? Semata-mata kepada keuntungan itu sendiri dan semata-mata kepada pengeluaran itu sendiri. Unsur kemanusiaan tiada wujud di situ. Perhatikan keuntungan itu dan pengeluaran itu. Perhatikan perasaan yang mendorongnya, dan kesannya pada pemikiran yang hidup dan hati yang hidup. Dapatkah engkau bezakan di sana antara perasaan manusia dengan fungsi mesin?... Semua ini tidak engkau lihat pada kerut muka mereka dan tidak dibayangkan oleh percakapan mereka!

Yang ada ialah satu mesin yang bergerak siang malam: mengisar dan menyelerakkan objek yang dikisar. Dan kemudian sekali lagi ia mengumpulkannya untuk dikisar semula! Manakala manusia, objek, masa dan tempat.. semuanya berpusing dalam mesin bergerak itu yang tidak pernah rasa letih dan jemu, dan tidak berhenti sesaatpun dari berpusing..

Ia adalah pemutaran!!!

Selasa, 24 Ogos 2010

Zikir tanpa Lafaz

Mengingat Allah sentiasa.. Ma'iyyatullah.. Kebersamaan dengan Allah...
Jika hambaKu mengingatiku di dalam dirinya, maka Aku mengingatinya di dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu di dalam satu kelompok manusia, Aku akan menyebut namanya di dalam satu kelompok yang lebih baik.
Setengah kaum sufi menganggap mengingat Allah dengan mengingat namaNya masih dikira ingatan (zikir) yang masih rendah. Mereka mengatakan: Nama "Allah" masih di peringkat ketiga. Peringkat kedua ialah HU. Dan peringkat pertama (zikir first class) ialah tanpa nama apa-apa.
Bagi orang awam, ajaran sebegini dianggap satu fitnah.
Untuk itu, ilmu ini perlu hati-hati sebelum disebarkan.

Rabu, 11 Ogos 2010

Batu Bersurat Terengganu

Bertarikh 702 Hijrah bersamaan 1303 Masehi. Dijumpai di Sungai Teresat, Kuala Berang, Terengganu. Sekarang diabadikan di Muzium Terengganu, di Bukit Losong, Kuala Terengganu. Saya tergerak nak tulis tentang Batu Bersurat Terengganu ini setelah menonton program Syahadah 1 Lafaz Berbeza Resam di TV1 semalam.

Muka pertama

1-Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka
(Rasulullah bersama dengan roh-roh para sahabat)

2-Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam
(Mereka mentauhidkan Allah. Allah memberi kepada saya amanah untuk meneguhkan Agama Islam)

3-Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
(Dengan ajaran mereka yang benar yang diajarkan kepada semua hamba Allah)

4-Di Benuaku ini penentu agama Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama Raja
(di negeriku ini yang menjadi pusat kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.)

5-Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
(Raja Mandalika mengajar ajaran yang benar di sisi Allah)

6-Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda
(di negeri pusat Islam ini yang mesti dituruti oleh sekalian rakyat baginda)

7-Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
(kerana baginda mengajar ajaran yang benar menurut perintah Allah)

8-Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka
(Ajaran yang memberi kebajikan kepada negeri pusat Islam ini)

9-Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada
(Seri Paduka Tuhan yang mewakilkan Raja Mandalika sebagai pemerintah di negeri ini memerintahkan agar Batu Bersurat ini diletakkan di negeri Terengganu pada hari bertarikh)

10-Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
(hari Jumaat, 1 Rejab, tahun buruj Ketam, pada zaman)

11-Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua.
(setelah Rasulullah wafat 702 tahun)

Ulang semula:

(Rasulullah bersama dengan roh-roh para sahabat)
(Mereka mentauhidkan Allah. Allah memberi kepada saya amanah untuk meneguhkan Agama Islam)
(Dengan ajaran mereka yang benar yang diajarkan kepada semua hamba Allah)
(di negeri saya ini yang menjadi pusat kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.)
(Raja Mandalika mengajar ajaran yang benar di sisi Allah)
(di negeri pusat Islam ini yang mesti dituruti oleh sekalian rakyat baginda)
(kerana baginda mengajar ajaran yang benar menurut perintah Allah)
(Ajaran yang memberi kebajikan kepada negeri pusat Islam ini)
(Seri Paduka Tuhan yang mewakilkan Raja Mandalika sebagai pemerintah di negeri ini memerintahkan agar Batu Bersurat ini diletakkan di negeri Terengganu pada hari bertarikh)
(hari Jumaat, 1 Rejab, tahun buruj Ketam, pada zaman)
(setelah Rasulullah wafat 702 tahun)

Siapakah Seri Paduka Tuhan?
Beliau adalah seorang pembesar kepada Sultan Kerajaan Islam yang berpusat di Aceh. Sultan Aceh telah berperanan menyebarkan agama Islam di zaman itu. Lalu pembesarnya itu melantik Raja Mandalika sebagai wakilnya di negeri Terengganu untuk mendaulatkan Islam.

Kenapa dinamakan Tuhan?
Mengikut istilah Melayu Lama, Tuhan bermakna Tuan. Namun istilah ini telah berubah mengikut perkembangan zaman. Contohnya: Percahaya menjadi percaya. Dalam bahasa Arab pun, Rabb asalnya bermakna Tuan. Tapi telah digunakan untuk makna Tuhan.

Muka kedua

Keluarga di Benua jauh kan
Datang berikan.keempat orang berpiutang.
Jangan mengambil....(a)mbilhilangkanemas.
Kelima derma barang orang....(mar)dika.
Jangan mengmbil tugas buat temasnya.
Jika ia ambil hilangkan emas.Keenam derma barang.
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah.
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.
Seratus ratun jika merdeka beristeri.
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan.
Pinggang dihambalang dengan batu matikan.
Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak mandalika.....




Muka ketiga
Bujang dandanya sepuluh tengan tiga jika ia.........
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil....
Tujuh tahil sepaha masuk bandara, jika O (rang).....
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuaan hendaak..........
Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara..............

Muka keempat
..........tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.
..........Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya.
..........Ke sepuluh derma jika anakku, atawa pemaainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.
..........tamra ini segala isi tamra barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia raya.
...........di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Komentar saya:
Hukum zina kepada penzina belum kahwin adalah 100 kali rotan merupakan hukum hudud dalam Islam.

Ini hukum hudud itu:

Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan setitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus ratun

Maknanya:
Hukum keenam: Barangsiapa yang melakukan jenayah zina, mengikut hukum Allah, jika mereka masih bujang, maka hendaklah dipukul sebanyak 100 kali rotan.

Selasa, 10 Ogos 2010

Kembara Seorang Hamba

Tajuk buku terakhir Shahnon Ahmad, cetakan 1 tahun 2010. Harga RM15.00. Setebal 320 muka surat.

Saya petik dari buku itu:

(dari muka surat 47)

BUKAN! Bukan begitu cara memperindah dan mencantikkan aku (Al-Quran). Aku bukan gadis pingitan yang boleh dibedaki dan disoleki mengikut seleramu. Indah memang indah. Cantik memang cantik. Malah, DIA (Allah) menciptakan aku pun memang indah dan cantik. DIA pun sukakan pada kecantikan dan keindahan.

Tetapi, keindahan dan kecantikan yang ada padaku bukan sekadar pada cara hidangan, bukan juga pada kaedah pembentangan khazanah yang seluas lebih tujuh lautan itu. Memang cara 'menghidang' khazanah-NYA adalah unik dan paling kaya dengan estetika. Ini kerana aku datang bukan sekali gus begitu saja, tapi kedatanganku secara beransur dan sedikit-sedikit supaya manusia yang lemah dan tidak berupaya itu sedia menerima kedatanganku. Selama 23 tahun proses hidangan secara sedikit-sedikit itu berjalan dengan penuh kesabaran dan menempuh pelbagai halangan.

Ada yang tiba sewaktu perutusan terakhir-NYA sedang berada di atas unta di padang pasir yang serba tandus. Ada yang tiba ketika baginda bersama para sahabat. Ada yang datang melalui mimpi. Yang indahnya ialah banyak yang tersirat, namun siratannya amat mudah ditanggapi maksudnya. Tidak kurang pula tersirat di sebalik pelbagai personifikasi, peribahasa, kiasan, perbandingan, alegori, metafora serta gaya bahasa yang figuratif yang indah.

Khamis, 5 Ogos 2010

Pemuda-pemudi dan Puasa

Artikel oleh Umar At-Tilmisani

Wahai pemuda-pemudi Islam.. Jalan kamu sukar, laut kamu bergelombang, puasa bagi kamu adalah perisai dan bekalan. Tidak mampu melalui jalan itu selain orang yang kuat dan beramanah, berhati-hati dan waspada, bersungguh-sungguh, tetap teguh, sanggup berkorban, yang hatinya cair kerana ketakutan sekiranya Allah melihat dalam dirinya sesuatu yang Dia tidak suka dan tidak redha, bagi hambaNya yang didekati, pemilik ruh dan raihan (wangian) dan ahli syurga yang penuh nikmat. Jagalah lidah kami kerana kebanyakan manusia tersungkur ke dalam neraka hasil dari lidah mereka. Jangan mengumpat dan jaga pandangan kamu dari memandang secara mengikut bisikan syaitan.

Tidakkah kamu ketahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa berpuasa, maka hendaklah berpuasa pendengaran dan penglihatannya."

Maka hendaklah kata-kata kamu merupakan dakwah kepada Allah, hendaklah pendengaran kamu merupakan memasukkan zikrullah, nescaya akan berhimpun kepada kamu kemegahan dunia bersama kebahagiaan Akhirat.

Kadang-kala setengah para pemuda-pemudi mengejek kamu.. Itu adalah hasad kepada sifat keberanian kamu dan itu adalah marah kepada kesucian kamu, dan satu perasaan terhadap sifat mereka yang tiada nilai dan kehinaan mereka. Mereka berharap sekiranya mereka berada di tempat kamu. Juga kerana mereka lemah tidak berdaya. Semua milik mereka yang menyembunyikan kelakuan tidak bermoral mereka adalah satu topeng yang menipu, kata-kata yang berbelit-belit, kebanggaan yang kosong tiada makna, mereka tidak mampu bersabar sekalipun dari siulan burung.. Kamulah kamulah sebenar-benarnya lelaki.. kamulah kamulah orang yang bersih.. Lakukan ujian angkatan lelaki.. tidakkah kamu suka untuk menyertai mereka di sana?

Puasa zahir berakhir dengan berlalunya siang, dengan terbenam matahari, lalu orang yang berpuasa kembali kepada kedudukannya dalam hidup dengan kegembiraannya semasa berbuka puasa, dan ini sama-rata di dalam majoriti jumlah orang yang berpuasa. Adapun puasa orang yang ikhlas dan bertakwa, maka puasa tidak pernah berhenti, tidak berakhir dengan terbenam matahari, dan tidak bermula dengan terbit matahari. Puasa mereka tidak dikira masanya dengan jam demi jam dan tidak dibataskan dengan beberapa waktu sahaja. Kamu adalah pemegang amanah terhadap dirimu dan saudara-saudarimu yang lain. Ini adalah satu amanah!! Bagaimana keadaan kamu apabila kamu lalai terhadap amanah ini, lalu ia terlepas keluar dari hati kamu di tengah-tengah segala godaan dan pemesongan?? Adakah kamu benarkan ia pergi, secara bersembunyi dari milikmu?? Tidakkah kamu risau kepentingan janji yang kamu lakukan kepada Allah agar Dia memberi ganjaran yang besar kepada kamu?? Itulah amanah puasa yang sebenar kepada Tuhan Semesta Alam.

Wahai pemuda-pemudi yang beramal untuk Islam! Kita berpuasa apabila kita melihat awal bulan. Tapi saya ingin kamu wahai pemuda-pemudi untuk meningkat dari tahap ini sedikit atau banyak jika kamu mampu, dan tentunya kamu mampu apabila kamu memohon bantuan dari Tuhan yang memberi segala kemampuan, Dia yang memberi apa saja kepada siapa saja.. saya mahu daripada kamu sebelum kamu melihat anak bulan Ramadhan, supaya terlebih dahulu kamu melihat Tuhan kepada anak bulan dan Pencipta anak bulan itu. Alangkah tingginya tahap ini. Ramai yang cuba mendaki ke tahap ini dengan susah payah. Namun akhirnya mereka sampai jua ke sana dengan kurnia dari Allah. Saya kira kamu tidaklah lebih rendah dari mereka dari segi keberanian, sekiranya kamu berazam dan bertawakal.

"Daripada golongan orang yang beriman, ada beberapa lelaki".

Kamu wahai pemuda-pemudi, apabila kamu berpuasa kerana melihat anak bulan Ramadhan, bermakna kamu sudah mendapat pahala. Keadaan kamu di dalam hal ini, sama seperti keadaan setiap orang yang berpuasa. Tetapi.. apakah yang kamu telah sediakan diri kamu untuk beramal pada jalan Allah, pada menyebarkan risalahNya, pada memikul dakwahNya, pada jihad yang tinggi dan mulia, maka saya suka untuk menemani kamu naik ke atas lebih tinggi dari tahap ini, sehinggalah menjadi mudah kepada kamu semua perkara pada jalan Allah, dan sehingga kamu merasa amat senang berhadapan dengan setiap kesusahan kerananya, dan sehingga Allah melihat kamu pada safNya seperti bata-bata tersusun yang membentuk satu bangunan, sebagai seorang pemuda-pemudi bergandingan dengan seorang pemuda-pemudi yang lain, tidak kira usia, status perkahwinan dan lain-lain.

Artikel Ramadhan (Ramadhaniyyat)

Saya petik artikel-artikel Ramadhan dari sebuah Majalah Islam di Mesir bertajuk: Liwa' Al-Islam (Bendera Islam) yang menjadi suara rasmi Ikhwan Muslimin.

1-Marhaban bi syahrillah - Selamat datang Bulan Allah - oleh Abu 'Abid
2-Min Khowathir Syahri Ramadhan - Dari lintasan bulan Ramadhan - oleh Hasan Al-Banna
3-Ramadhan wa bina' al-afrad wal mujtama'at - Ramadhan dan pembinaan peribadi dan masyarakat - oleh Mustafa Masyhur
4-Ruh Ramadhan wat taghallubu 'alal 'azmah al-iqtisodiyah - Ruh Ramadhan dan mengatasi krisis ekonomi - oleh Muhammad Abdul Quddus
5-Al-Bahs Al-'Ilmi yu'akkidu Fawa'idas Shiyami 'alal jismi - Kajian Sains membuktikan faedah-faedah puasa kepada tubuh - oleh Ahmad 'Izzuddin
6-Iqtisodiyyatus Shiyami min manzhurin islami - Keekonomian Puasa dari kaca mata Islam - oleh Dr. Husain Syahatah
7-Al-Mu'amarah 'ala Ramadhan mustamirrah - Rancangan jahat ke atas Ramadhan berterusan - oleh Solah Abdul Maqsud

(Bilangan 1 - Ramadhan 1407 / Mei 1987)

8-Fiqhus Shaum - Fiqh Puasa - oleh Solah Syadi
9-Adhwa' 'ala Ahkamis Shaum - Penerangan ke atas hukum-hakam Puasa - oleh Hasan Al-Hudhoibi
10-Hal nash-hu qobla an yudhi'a Ramadhan? - Adakah kita sedar sebelum disia-siakan Ramadhan? - oleh Muhammad Abdullah Al-Khothib
11-As-Syababu was Shiyam - Pemuda-pemudi dan Puasa - oleh Umar At-Tilmisani
12-As-Shaum wa mas'uliyyah al-muslimin - Puasa dan tanggungjawab umat Islam - oleh Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili
13-Al-Bait Al-Muslim fi Ramadhan - Rumahtangga Islam dalam Ramadhan - oleh Hana' Muhammad
14-Iqtisodiyyat Al-Usrah Al-Muslimah fi Ramadhan - Keekonomian Keluarga Islam di bulan Ramadhan - oleh Asma' Al-Husaini Al-Ghobbasyi
15-Syakwa ila Ramadhan - Rintihan kepada Ramadhan - oleh Penyair Yaman, Hasan Az-Zari
16-Marhaban Ramadhan - Selamat datang Ramadhan - oleh Penyair Izzuddin Farhat

(Bilangan 1 - Ramadhan 1408, 17 April 1988)

Khamis, 29 Julai 2010

Suatu Masa Di Mesir

Kenangan di Mesir ingin ku rakamkan. Persaingan antara Jemaah Islam. PMRAM dan PPMM. Begitulah pengalaman orang baru belajar nak kenal Islam. Ingat dah pandai.. rupa-rupanya begitu cetek ilmu. Masjid Ridhwan di Hayyu Sabi' menjadi masjid pilihan untuk solat Jumaat dan solat Raya. Mula-mula tiba di sana pada tahun 1991, aku sewa rumah di Hayyu Sabi' area Masjid Musa Al-Kazim, dekat dengan Rumah Keluarga Penuntut Terengganu (KPT). Aku tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 6. Satu rumah ada 6 pelajar. Zahari, Azmi, Khairul Afandi, Baharudin, Syukri dan aku. Aku jarang bercakap dengan tuan rumah. Ada apa-apa masalah, aku lapor kepada Bawwab. Aku panggil Ya 'Amm (wahai pak cik).. (Namanya dah tak ingat). Bawwab makna asalnya ialah penjaga pintu. Tapi di sana, dia melakukan semua perintah tuan rumah.
Setiap rumah kat sana ada Sakhonah (Pemanas air) dengan bahan api gas. Gas di sana disalurkan melalui paip seperti paip air. Musim Sejuk baru Sakhonah digunakan. Musim sejuk, aku mandi seminggu sekali pada Hari Jumaat sebelum pergi solat Jumaat. Selepas mandi atau setiap kali lepas wuduk, kena lap kering-kering supaya tidak mendapat penyakit Romatizem (ejaan sebenar tak tahu). Iaitu penyakit sendi tulang.
Kemudian aku berpindah ke Hayyu Tsamin. Dekat cawangan Arqam. Aku tinggal di tingkat 2. Pelajar Banat Arqam duduk di tingkat 4. Tuan rumah di situ agak rapat dengan saya. Namanya Dr. Abdul Aziz, pensyarah subjek Bahasa Arab. Pernah mengajar di Arab Saudi. Anak lelakinya, Aiman agak rapat denganku. Semasa gempa bumi melanda Kaherah, aku duduk di rumah itu. Kami serumah bergilir-gilir menunggu panggilan dari Safarah (Kedutaan Malaysia di Kaherah) untuk mengetahui perkembangan terbaru. 700 orang mati akibat gempa bumi di Kaherah itu.
Ahli rumah di sana, yang saya ingat ialah Nizam (Negeri Sembilan), Yahya (Pahang), Solahudin (Terengganu), Abu Bakar (Pattani), Azimi (Pattani)... 2 orang lagi dah tak ingat namanya. Seorang Negeri Sembilan dan seorang Pattani. (Alhamdulillah.. sekarang dah ingat.. Ustaz Nafis dari Negeri Sembilan dan Hamidi dari Pattani -edit 1-8-2010).
Kemudian saya berpindah ke Mahattah 80, di hujung Hayyu Tsamin. Di sini, saya tinggal di Asrama Ighosah. Ighosah ialah Pertubuhan Antarabangsa yang membantu pelajar dari seluruh dunia. Di sini, ramai penghuni dari Russia, Comoros (Juzur Al-Qamar), Xinjiang (China), Indonesia, Malaysia dan Thailand. Penyelianya bernama Ustaz Ibrahim. Duduk kat sini percuma. Makan-minum ditanggung.
Urusan yang paling sulit semasa di Mesir ialah untuk memperbaharui visa pelajar setahun sekali. Tempatnya di Bu'uts. Banyak ijra'at (syarat) yang perlu dilakukan. Setiap syarat itu kena beratur bersesak-sesak. Kadang-kadang nak marah kat pegawai pendaftar tu. Tapi kesian jugak mereka. Setiap rekod dengan menulis tangan. Takde komputer. Namun, budaya Mesir ini terbawa-bawa ke Safarah (Kedutaan Malaysia). Kena beratur panjang untuk sesuatu urusan.

Cerita diri sendiri

Aku dilahirkan di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu pada 2 Disember 1971. Ayahku bernama Cikgu Hashim, manakala ibuku bernama Bahruni. Walaupun tak bekerja secara rasmi, ibuku berniaga kecil-kecilan. Masa aku masih kecil, beberapa kali aku dibawa menemani ibubapaku ke Singapura untuk membeli barang jualan. Kadang-kadang dengan kereta sendiri, kadang-kadang naik bas.
Bapaku seorang peminat tasauf. Sejak kecil, dia selalu bawa saya ke masjid. Dia suka catit semua masjid yang dia pergi. Saya lihat hari tu (dah lama.. terlupa) sudah hampir 100 masjid yang dia ziarah.
Dulu semasa pergi ke Singapura, dia suka beli kaset-kaset ceramah Habib Sheikh Ali Al-Jufri. Doa yang dia suka dari Habib itu berbunyi (saya tak ingat turutannya):
La ilaha illallah.. Al-Mazkuru fi kulli lisan (Tiada Tuhan selain Allah, yang disebut pada setiap lidah)
La ilaha illallah.. Al-Ma'budu fi kulli makan (Tiada Tuhan selain Allah, yang disembah pada setiap tempat)
La ilaha illallah.. Al-Ma'rufu Bil Ihsan (Tiada Tuhan selain Allah, yang dikenali bersifat Ihsan (Kasihan Belas))
La ilaha illallah.. Kulla yaumin huwa fi syan (Tiada Tuhan selain Allah, setiap hari Dia dalam satu urusan)
La ilaha illallah.. Al-Aman Al-Aman min zawalil Iman (Tiada Tuhan selain Allah, yang sejahtera, yang sejahtera dari kehilangan iman)
wa min fitnatisy syaiton (dan dari fitnah syaitan)
Ya Qadimal Ihsan (wahai pemberi Ihsan (kasihan belas))
Ihsanukal Qadim (IhsanMu itu dari azali lagi)
Kam laka 'alaina min ihsan (Alangkah banyaknya ihsanMu kepada kami)
Ya Hannan Ya Mannan (wahai Yang memberi kasih sayang, wahai Yang memberi kenikmatan)

Di Singapura, kami menumpang di sebuah rumah seorang Melayu yang menjadi tempat persinggahan musafir. Kami duduk di tingkat atas. Di tingkat bawah adalah kedai membuat persiapan jenazah seperti keranda, batu nisan dan lain-lain. Untuk solat Jumaat, kami berjalan kaki ke Masjid Raja (Sultan). Dari rumah itu, kami menaiki beca ke Geylang untuk membeli-belah.

Pernah sekali surat saman dari Singapura sampai ke rumah kami di Terengganu kerana salah parking kereta. Dari tempat penginapan kami, saya pergi ke Bangunan HILTON. Di situ, ada tempat permainan mesin untuk kanak-kanak. Yang letak 50 sen tu, baru boleh main. Selalu minta nak pergi sana. Seronok bermain. Ole-ole pun saya minta belikan mesin Games yang sebesar tapak tangan tu. Antaranya games bomba selamatkan mangsa kebakaran. Mangsa tu terjun dari bangunan, bomba tu pun tadah dengan tilam penyelamat.. melambung2.. sampai ke sebelah kiri dan dapat mata. So, mata tu la yang selalu nak dicari agar makin lama makin banyak. Last sekali 99999.. (Berapa banyak 9 saya dah lupa) Rasanya tak pernah dapat mata tu.

Sabtu, 24 Julai 2010

Nisfu Syaaban

Hari ini 13 Syaaban.. Lusa dah 15 Syaaban.. sambutan Nisfu Syaaban..
Pada malam nisfu Syaaban, buku amalan setahun lalu ditutup dan buku amalan setahun baru akan dibuka.. Walaupun segala takdir Allah sudah termaktub di dalam Lauh Mahfuz, tapi pada malam Nisfu Syaaban, kita memohon agar Allah memadam takdir buruk dan menggantikannya dengan takdir yang baik.
Surah Ar-Ra'du, ayat 39 berbunyi: "Allah memadam apa saja yang dikehendakiNya dan menetapkan. Dan di sisiNyalah Ibu segala suratan (Lauh Mahfuz)."
Membaca Surah Yasin sebanyak 3 kali pada malam itu antara Maghrib dan Isyak diikuti 3 bentuk doa setiap kali lepas sekali habis.. adalah satu amalan untuk menghayati makna TAKDIR ini. Ia adalah salah satu dari rukun iman iaitu percaya kepada Qadha dan Qadar.

Khamis, 15 Julai 2010

Hitler Bukan Pejuang Islam

Terkejut saya baca Artikel yang diterjemah dari surat bahasa Arab dari Arab Saudi.
Tajuknya tentang Hitler. Sebagai musuh Yahudi yang memerangi Yahudi. Apa sebenarnya yang diajar kat Arab Saudi? Saya pelik memikirkannya. Dalam buku Bidak-Bidak Di Papan Catur Iblis, penulis buku itu mendedahkan rahsia Nazi dan Komunis dirancang oleh Illuminiti.
Buku ini diterjemah ke dalam bahasa Arab dengan tajuk: Ahjar 'ala Roq'ah Syatoronj.
Penulis asalnya bernama William Guy Carr dengan tajuk: The Pawns in the Game. Manakala penterjemah Arabnya ialah Sa'id Jaza'irili.
Yayasan Terengganu menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu dengan tajuk Bidak-Bidak tadi.
Saya percaya kepada rumusan Imran Hossein dalam bukunya Jerusalem Di Dalam Al-Quran bahawa musuh Islam meletakkan Israel dan Arab Saudi sebagai kem Barat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sudah banyak fitnah yang terjadi bersumber dari 2 kem ini.

Sabtu, 10 Julai 2010

Umur 40 Tahun

Apabila umurnya mencapai 40 tahun, maka dia berdoa: "Ya Allah! Aku bersyukur dengan nikmatMu yang Kau limpahkan kepadaku dan ibubapaku.. Hidayahkan ku untuk beramal soleh agar Engkau redha kepadaku.. Jadikan zuriatku sebagai anak-anak yang soleh dan solehah.. Aku bertaubat kepadamu.. Aku islamkan diriku kepadamu.."
(Surah Al-Ahqaf ayat 15)

Itulah antara keutamaan umur 40 tahun yang dirakamkan dalam Al-Quran. Satu umur yang cukup matang untuk memahami erti hidup di dunia.
Insya Allah, pada 14 Syawal 1431 tahun ini (bersamaan 23 September 2010), saya akan menyambut umur ke-40 mengikut kalendar Islam. Kalau ikut kalendar Masehi pula, pada 2 Disember 2011.

Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Nabi semasa usia baginda 40 tahun. Tentu ada hikmahnya..

Jumaat, 9 Julai 2010

Taufan Dan Bahtera Nuh

(Petikan dari Di Bawah Bendera Islam karya Najib Al-Kailani)

Tajuk: Sheikhku berdialog denganku tentang Taufan Dan Bahtera Nuh

Aku berjalan di jalan umum tanpa menghiraukan orang ramai. Di dalam hatiku, ada pesta yang meriah, dengan dengan sukaria. Kegembiraan mmenuhi rohku dan menggoncang seluruh badanku. Aku tidak lagi merasa lapar atau dahaga, meskipun aku belum makan dan minum berjam-jam lamanya. Sewaktu ku berjalan dalam kesibukan orang ramai yang bersesak-sesak ini, aku berhenti beberapa kali. Kemudian aku memegang majalah dan membukanya pada muka surat yang sama.. Aku menumpukan perhatianku kepada namaku yang tercetak dengan huruf besar yang berwarna hitam.. kemudian aku mula membaca artikel yang ku tulis itu untuk kali ke-20.. Sedang orang ramai mundar-mandir menempuh bahuku. Oh Tuhan!! Alangkah menakjubkan artikel yang tercetak itu!
Aku merasa amat terhibur mengingatkan kawan-kawanku yang seangkatan denganku sedang membaca artikelku.. Inilah kali pertama penulisanku tersiar di dalam majalah..
Lalu aku pergi menemui Sheikhku yang dihormati..Sedang aku mengagumi diriku..Keyakinan diriku tidak terbatas lagi.. Aku menghulurkan kepada Sheikhku hasil penulisanku.. Dia memerhati gerak-geriku dengan perasaan sayang dan mesra.. Lalu dia mula membaca diam-diam.. Hatiku berdebar, sedang aku duduk menunggu keputusannya..Apabila Sheikhku mengeluarkan keputusannya, aku selalu menerima dengan lapang dada dan redha.. Aku belum pernah lihat keputusannya condong kepada hawa nafsu, atau terseleweng dari arah yang tepat..Berlalu masa diam yang lama bercampur dengan keresahan.. Tidak lama kemudian, Sheikhku pun mengangkat kepalanya dan berkata: "Pada mulanya, ia adalah satu kalimah.."
Aku bertanya dengan bernafsu: "Adakah kalimah-kalimahku menarik hatimu??"
Dengan suara yang lembut dan berkesan, dia berkata: "Hai anakku! Kalimah bukan sekadar huruf-huruf yang tertulis di atas kertas.. Ia adalah objek yang hidup.. dari daging, darah dan roh.. Alangkah banyaknya kalimah yang dilahirkan mati!! Engkau membaca dan mendengar kalimah itu, namun engkau tak rasa di dalamnya ada sinar kehidupan dan hangat kerinduan. Di sana pula, ada kalimah yang meluncur seperti anak panah, atau membakar seperti api, atau mengalir selepas ubat penawar, atau membangkitkan cita-cita yang terpendam di dalam jiwa..Hai anakku! Tanyalah dirimu.. dari jenis yang mana, engkau berada?? Apa tujuan penulisanmu?? Kepada siapa, kamu tujukan kalimahmu?? Setiap kalimah sentiasa ada roh yang membangkitkan kehidupan.. Roh kalimah ialah Perbuatan.. Antara kata-kata dengan perbuatan terdapat perjalanan yang jauh dan memerlukan jihad yang pahit..Maka di manakah kedudukanmu, hai anak muda, di dalam perjalanan yang bergelumang dengan airmata, keringat dan tidak pernah lena itu?"
Sejak mula lagi, aku sudah berjanji kepada Sheikh untuk berlaku jujur dan jelas, kerana aku mengenalinya sifatnya. Dia tidak suka penipuan dan memarahi kepura-puraan. Dia tidak membuka pintunya kepada orang yang suka berhelah, kerana berkata benar adalah syarat tunggal yang diletakkan untuk berhubung dengannya. Dia selalu menyebut hadis Nabi s.a.w. :"Tidak akan masuk syurga seorang yang suka menipu."
Oleh itu, aku menjawab dengan berani:
"Sheikhku yang dihormati.. Aku tidak akan menyembunyikan hakikat sebenar diriku.. Semasa aku menulis artikelku itu, tidak terlintas langsung dalam fikiranku apa yang tuan sebutkan tadi.. Semasa aku menulis, aku cuma memikirkan tentang fasohah (kelancaran) kalimah, balaghoh (sastera) ibarat (ungkapan) dan ketinggian nilai uslub (gaya bahasa)... Aku cuma inginkan kemasyhuran dikenali ramai.. seperti orang ramai memujiku dengan kata-kata: "Dia seorang penulis yang tinggi sasteranya", atau "Dia seorang sasterawan yang mendalam". Aku impikan suatu hari, aku dapat melihat namaku disiarkan dalam akhbar-akhbar.. apa saja akhbar.. Kerananya, aku mula memperelokkan artikel, menyusun cerpen, menggubah puisi, dan aku kirimkan karyaku ke sana sini.. tanpa mengira misi akhbar itu.. aliran pemikiran dan ideologinya.. Itulah hakikat diriku.. Aku telah menghafal banyak puisi dan prosa..Maka suatu hari, aku mesti mula berkarya.. Dan itulah aku telah lakukan ini.."
Sheikhku pun senyum penuh makna, dan berkata: "Tidak mengapa, hai anakku.. Aku pun semasa kecil selalu meniru penceramah dan pelakon. Aku meniru pemain muzik lelaki dan perempuan di zamanku. Aku menggali lubang di tanah lalu mencurahkan air ke dalamnya, seperti yang dilakukan oleh ayahku semasa bertani.. Aku meniru askar yang berperang, bermain polis dan pencuri.. Aku bersukaria dan bermain.. Aku menganggap ia sebagai senaman dan hiburan ringan.."
Aku merkata dengan muka kemerahan akibat malu: "Allah memaafkanmu, hai Sheikh yang dihormati.. Aku sudah bukan kanak-kanak lagi.."
Sheikhku ketawa dari hatinya hingga giginya yang putih kelihatan di celah dua bibirnya yang terbuka. Kemudian dia menyapu kepalaku dengan belaian kasih sayang, dan berkata:
"Kalimah wahai anakku adalah berakar umbi yang dalam.. Ia menjalar amat jauh.. di dalam aliran akal dan perasaan. Oleh itu, pepatah berkata: Kalimah yang keluar dari hati, akan pergi ke hati.. Di dunia kita sekarang ada berjuta-juta mesin pencetak, dan berjuta-juta pembesar suara.. Kalimah-kalimah seperti ombak dan gelombang yang menghempas..Mata dan telinga kita tenggelam di dalam lautan kalimah-kalimah besar.. begitulah berlaku campur-aduk antara baik dan buruk.. orang berkata benar dan penipu.. orang jahat dan orang soleh.. Hinggakan sekiranya engkau mencari Kalimah yang baik, maka seperti mencari sebatang jarum yang kecil di dalam bukit pasir yang besar.. Mungkin umurmu habis dalam mencari jarum itu, namun engkau hampa.. Tapi ketahuilah, hai anakku.. Kalimah yang benar mempunyai daya tarikan yang pelik.. ia mempunyai keistimewaan dan kesan khas.. Ia bersinar-sinar di tengah-tengah berjuta-juta kalimah yang lain.. Ia menampakkan dirinya dengan sendirinya.. Namun engkau tak akan mengenalinya kecuali apabila engkau bersungguh-sungguh ingin mencari dan mendapatkannya... Keajaiban pada Kalimah ialah terletak pada kebenarannya.. Sebab itulah keajaiban (mukjizat) Nabi Muhammad s.a.w. yang terbesar ialah Al-Quran.. Firman Allah.."

Sasterawan Islam Najib Al-Kailani

Najib Al-Kailani adalah salah seorang pendakwah aktivis Gerakan Islam di Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin. Dia adalah seorang Sasterawan. Berikut adalah senarai karya penulisannya. Saya petik dari Bukunya - Tahta royatil Islam - Di Bawah Bendera Islam - cetakan ke-4, tahun 1987.

A)Novel:

1-At-Toriq At-Towil - Jalan Yang Panjang
2-Fi Az-Zolam - Di Dalam Kegelapan
3-'Azra al-Qaryah - Gadis-Gadis Desa
4-Al-Yaum Al-Mau'ud - Hari Yang Dijanjikan
5-Ro'su As-Syaiton - Kepala Syaitan
6-As-Robi' Al-'Ashif - Musim Bunga Yang Bertaufan
7-An-Nida' Al-Kholid - Seruan Abadi
8-Allazina Yahtariqun - Mereka Yang Terbakar
9-Ardhul Anbiya' - Bumi Para Nabi
10-Tola'i Al-Fajri - Tanda-tanda Fajar Menyingsing
11-Lail Al-Khotoya - Malam Bernoda
12-Lail Al-'Abid - Malam Para Hamba
13-Ibtisamah Fi Qalbi Syaiton - Senyuman Di Hati Syaitan
14-Al-Ka'su Al-Farighoh - Gelas Kosong
15-Nur Allah - Cahaya Allah (2 siri)
16-Qotil Hamzah - Pembunuh Hamzah
17-Mawakib Al-Ahror - Rombongan Pejuang Kemerdekaan
18-Az-Zhillu Al-Aswad - Bayangan Hitam
19-Ar-Royat As-Sauda' - Bendera-Bendera Hitam

B)Koleksi Cerpen

20-Mau'iduna Ghodan - Janji Kita Esok
21-Dumu' Al-Amir - Air Mata Ketua (Rijal Allah - Pemuda-Pemuda Allah)
22-Al-'Alam Ad-Doyyiq - Dunia Yang Sempit
23-'Inda A-Rohil - Di Saat Pemergian

C)Kajian

24-Iqbal As-Sya'ir As-Tsa'ir - Iqbal Penyair Revolusi
25-Syauqi Fi Rokbi Al-Kholidin - Syauqi Di Dalam Kelompok Tokoh Abadi
26-Al-Islamiyah Wa Al-Mazahib Al-Adabiyah - Ciri-Ciri Islam Dan Aliran Sastera
27-At-Toriq Ila Ittihad Islami - Jalan Ke Arah Penyatuan Islam
28-Al-Mujtama' Al-Maridh - Masyarakat Yang Sakit
29-A'da' Al-Islamiyah - Musuh Islam

D)Syair

30-Aghani Al-Ghuroba' - Lagu Perantau
31-'Ashru As-Syuhada' - Zaman Para Syuhada'

E)Teater

32-'Ala Aswar Dimasyqi - Di Atas Tembok Kota Damsyik

(Tambahan: 33-Lamahat Min Hayati - Imbasan Dalam Hidupku (Biografi Hidup Najib) dalam 2 siri)

Sariyah Usamah bin Zaid

Sariyah Usamah bin Zaid adalah tugas terakhir yang Nabi s.a.w. lakukan sebelum baginda wafat. Sempena malam Israk ini, saya ingin menekankan maksud tersirat di sebalik Sariyah ini.
Sariyah bermakna peperangan yang tidak disertai oleh Nabi s.a.w.
Kenapa Sariyah ini begitu penting? Sebab Nabi s.a.w. tahu tugasnya untuk menguasai Baitul Maqdis yang merupakan tempat Israk Mikraj belum mampu diselesaikan semasa hidupnya.
Oleh itu, baginda memberi pelajaran penting ini kepada para sahabat baginda dengan mempersiapkan angkatan perang Usamah ini.
Pelajaran ini difahami oleh para sahabat.
Di zaman Umar, Baitul Maqdis berjaya dikuasai oleh Islam.
Itulah pengajaran dari Israk Mikraj.
Namun selepas 14 abad, nampaknya umat Israk Mikraj tidak faham isu ini.
Bumi Israk Mikraj sudah terlepas ke tangan Non Muslim sejak 1919 (perjanjian Balfour).
Ini bukan kali pertama bumi Israk Mikraj terlepas. Gelombang perang Salib dulu dan serangan Tartar pernah menawannya. Namun Allah membangkitkan Salahuddin Ayyubi, Muzaffar Qutuz, Zohir Bybers dan Mansur Qolawun untuk menguasainya kembali.
Siapakah pula yang akan dibangkitkan untuk menguasainya semula di zaman moden ini?

Bahaya Tiada Sheikh

Biasa kita dengar ungkapan: "Sesiapa yang tiada Sheikh, maka Syaitanlah Sheikhnya."
Kita akan jadi seperti layang-layang terputus tali jika kita hidup tanpa memilih satu dari 2 pilihan. Samada nak jadi murid kepada Sheikh atau nak jadi Sheikh kepada murid.
Walaupun begitu, tidak bermakna kita tidak boleh menukar Sheikh. Sheikh tidak boleh halang muridnya dari tergerak hati nak menukar Sheikh dengan Sheikh yang lain. Hinggalah muridnya sudah layak menjadi Sheikh.
Mungkin kita tidak perlu fobia dengan istilah Sheikh ini. Kita boleh menukarnya dengan istilah Imam atau Ulamak atau Mursyid atau Naqib atau Mas'ul dan sebagainya.
Yang penting, hidup kita akan ada tujuan.
Dalam sirah, semasa Umar (sebelum memeluk islam) hendak memarahi adiknya yang memeluk islam, di rumah adiknya sedang ada usrah.. seorang Naqib sedang mengajar adik Umar bersama suaminya. Dakwah di peringkat Mekah dilakukan diam-diam di rumah Arqam bin Abi Arqam.
Dunia ini tidak Kiamat selagi ada Rabbaniyyin di dalamnya. Walaupun ada seorang Rabbani, sudah cukup untuk menghalang jam Dunia dari terhenti.
Surah Ali Imran ayat 79: "Tidak ada jalan untuk seseorang individu setelah dia diberi oleh Allah akan Kitab, Hukum dan Nubuwwah, kemudian dia berkata kepada umat manusia: Kamu semua mesti menjadi hamba-hamba kepadaku selain dari Allah". Tetapi hendaklah dia berkata: "Kamu semua mesti menjadi Rabbaniyyin dengan ilmu yang kamu pelajari dari Kitab dan yang kamu kaji."

Rabu, 7 Julai 2010

Menangis Didengki Syaitan

Syaitan benci melihat manusia menangis. Sebab Syaitan tak pernah menangis. Orang yang tidak pernah menangis tidak tahu betapa nikmatnya dirasakan oleh hati selepas menangis. Orang yang banyak menangis semasa hidupnya, maka selepas kematiannya, akan diberi keseronokan. Orang yang banyak berseronok semasa hidupnya, maka selepas kematiannya, akan menangis sebanyak-banyaknya.
Apakah yang menyebabkan kita menangis? Kerinduan kepada kampung halaman tempat asal kita... iaitu sebelum kita diusir dari Syurga.. Kita menangis ingin kembali ke sana.. Dunia ini dikuasai syaitan.. Yang lemah dijadikan kuli.. Yang bodoh dijadikan bola..

Selasa, 6 Julai 2010

Muqaddimah Tarbiah Anak

Buku Tarbiah Anak Dalam Islam karya Abdullah Naseh Ulwan sudah lama saya beli terjemahan Melayunya. Baru kini saya miliki teks asal Arabnya.

Rupa-rupanya Muqaddimahnya tidak diterjemah.

Inilah terjemah Muqaddimahnya:

Segala puji kepada Allah yang menjelaskan kepada para hambaNya manhaj (method) Tarbiah (pendidikan) yang lurus di dalam Al-Quran Nya yang agung, dan Dia menerangkan kepada seluruh alam prinsip-prinsip kebaikan, hidayah dan islah (perbaikan) di dalam hukum-hakam syariatNya yang hanif (murni).

Selawat dan salam ke atas Saidina Nabi Muhammad yang dibangkitkan Allah sebagai pendidik kepada kemanusiaan, dan Dia menurunkan kepada NabiNya satu syariat yang menyempurnakan kepada kemanusiaan setinggi-tinggi tanda keagungan dan kemuliaan kemanusiaan, dan matlamat terbesar pemikiran dan kedudukannya, ketinggian dan kemantapannya...

Dan ke atas seluruh ahli keluarga dan para sahabat baginda, yang baik dan suci, yang memberi kepada generasi demi generasi contoh-contoh yang unik berkenaan pentarbiahan (pendidikan) anak-anak dan pembentukan ummah...

Dan ke atas setiap orang yang melalui jalan yang sama dengan jalan mereka, dan menjejaki langkah mereka dengan ehsan (sebaik-baiknya) hingga Hari Kiamat..

Amma ba'du...

(Tamat Muqaddimah)

Ahad, 4 Julai 2010

Azan bergema

(petikan Fiqh Sirah - Muhammad Al-Ghazali)

Kalimat-kalimat agung yang membelah angkasa ini menyebarkan perasaan takut di hati "syaitan-syaitan" sehingga terpaksa lari menjauhkan diri, atau pulang kembali sebagai orang-orang beriman.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar)
Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Suara kebenaran yang mengingatkan manusia kepada tujuan utama hidupnya, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat kelak setelah dia mati. Betapa banyak manusia disesatkan oleh tujuan-tujuan kecil hingga dia hidup merangkak di muka bumi bagaikan binatang buas. Mereka menumpahkan seluruh perhatiannya kepada soal-soal keduniaan dan membenamkan diri dalam usaha mengejarnya, sehingga seluruh fikiran dan perasaannya dikuasai olehnya. Orang-orang seperti itu akan mati dibunuh oleh kesedihan bila tak berhasil meraih dunia, dan akan mati dibunuh oleh kegembiraannya bila dapat meraih sebanyak-banyaknya. Orang yang demikian itu tidak merasa rugi dan tidak merasa hina menghabiskan hidupnya untuk soal-soal yang fana dan tidak berharga...

Suara kebenaran yang mengumandangkan di angkasa ini mengeluarkan manusia dari timbunan kegelapan dan menyebarkan perasaan takut kepada sesuatu yang selama ini dilupakan, iaitu Pencipta segala yang ada, Penguasa alam semesta.

Asyhadu an laa ilaaha illa Allah!.. Asyhadu an laa ilaaha illa Allah!
(Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah... Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah)

Hancurlah segala yang dianggap sebagai sekutu Allah oleh manusia yang selama ini tunduk kepada angan-angannya sendiri dan membangga-banggakan sesuatu yang tidak ada ertinya sama sekali, mengimpikan kebaikan dari sesuatu yang tidak dapat mendatangkan manfaat apa pun jua bagi dirinya sendiri, dan menanti-nantikan pertolongan dari sesuatu yang tidak dapat membela dirinya sendiri walaupun hanya dari serangan seekor lalat!

Apa guna menenggelamkan diri di dalam soal-soal yang sia-sia itu? Selama ini, kaum musyrikin mempersekutukan Allah dengan beberapa jenis ciptaanNya, malah ada pula yang memandang ciptaan Allah sebagai tuhan-tuhan yang harus disembah. Lain halnya dengan kaum muslimin, mereka tidak mengenal Tuhan selain Allah dan tidak memandang ada pelindung selain Allah.

Tauhid yang mutlak adalah cara satu-satunya untuk mencapai tujuan yang diingini manusia...

Akan tetapi siapakah yang patut dijadikan teladan? Siapakah pemimpin yang membimbing manusia ke jalan yang benar itu? Siapakah perintis yang menunjukkan jalan ke arah itu? Muazzin (Bilal) menyebutkan jawapan atas semua pertanyaan tersebut, iaitu:-

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah..! Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah..!
(Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.. Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah..)

Peri kehidupan manusia yang mulia ini merupakan teladan paling sempurna bagi setiap manusia yang menghendaki kehidupan yang benar. Muhammad s.a.w. adalah manusia, jalan hidup yang ditempuhnya mencerminkan akhlak luhur seorang yang hidup menghayati kebenaran untuk kebenaran.

Muazzin (Bilal) mengingatkan setiap manusia yang berfikir sihat supaya dengan gembira menerima kebajikan, supaya giat berusaha memperoleh keredhaan Allah yang mengatur semua urusan hidupnya dan melimpahkan kurnia nikmat kepadanya. Oleh itu, muazzin (Bilal) pertama-tama mendorong manusia supaya menunaikan ibadah yang paling mudah dan paling ringan, iaitu:-

Hayya 'alash solah! .. Hayya 'alash solah..!
(Tegakkanlah solat.. Tengakkanlah solat)

Pada saat orang menunaikan solat, dia berada dalam keheningan, meninggalkan hiruk-pikuk keduniaan. Pada saat-saat itulah manusia yang telah berbuat kekeliruan dan kesalahan kembali kepada kebenaran. Pada detik-detik itulah manusia sepenuhnya tunduk berserah diri kepada Allah, sebagaimana yang harus dilakukan setiap dia menghadapi ronrongan nafsu (hasutan nafsu)... detik-detik di mana dia hanya memikirkan urusan dirinya sendiri di hadapan Allah s.w.t. Singkatnya (secara ringkas)ialah detik-detik di mana manusia mengharapkan pertolongan dan petunjuk dari Allah, Tuhannya.

Betapa butuhnya (perlunya) manusia kepada petunjuk Allah agar dia tidak menjadi manusia congkak (sombong), dan betapa pula butuhnya (perlunya) dia kepada pertolongan Allah, agar dirinya tidak menjadi lemah dan tak berdaya. Pada akhirnya, dia sanggup memberi dorongan kepada orang lain agar jangan sampai mengalami kegagalan dan kekecewaan dalam semua urusan yang dihadapinya.

Kekecewaan akan terjadi bila orang merasa bahawa jerih payah usahanya hilang sia-sia disebabkan oleh suatu tindakan yang keliru, baik keliru dalam hal pelaksanaannya maupun keliru dalam hal maksud dan tujuannya.. Untuk mencegah terjadinya kekecewaan, muazzin (Bilal) memperingatkan manusia dengan seruannya:

Hayya 'alal falaah..! Hayya 'alal falaah!
(Tegakkanlah kejayaan.. Tegakkanlah kejayaan)

Orang yang melakukan pekerjaan dengan cara yang benar dan disertai niat yang benar pula, dia telah berhasil dan berjaya dalam pekerjaannya itu, walaupun hanya mengenai soal keduniaan belaka. Tidakkah Allah telah mengajar NabiNya supaya mengerjakan urusan hidupnya berdasarkan niat ikhlas semata-mata tertuju kepada Allah, sebagaimana dia melakukan ibadah dan solat?!

Firman Allah dalam Surah Al-An'am ayat 162-163: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, semata-mata hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama yang berserah diri kepada Allah."

Tidak ada jalan ke arah itu selain harus memandang kecil semua tujuan yang bukan Allah, dan harus tetap meyakini keesaan (Tauhid Allah selama-lamanya).

Setelah itu muazzin (Bilal) mengulang kembali tujuan yang diserukan, iaitu:

Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar..)
La ilaaha illa Allah! (Tiada Tuhan selain Allah..)

Kalimat-kalimat yang dikumandangkan dalam azan mencerminkan tujuan yang sangat jelas dan paling menonjol dari Risalah Agung yang menghendaki kebaikan dan perbaikan.

Tabsyir - Khabar Gembira

Tabsyir maknanya khabar gembira. Mubasy-syir maknanya pembawa khabar gembira. Dalam bahasa Arab, Tabsyir membawa makna yang sama dengan Tanshir yang bermakna me-nasrani-kan. Kenapa ia sama? Apakah yang menjadi khabar gembira kepada nasrani (kristian)?
Ada dua kemungkinan:
1-Nabi Isa a.s. membawa khabar gembira bahawa selepas kenaikannya ke langit, akan datang seorang Nabi yang akan menyempurnakan agama yang dibawanya. Itulah yang disebut dalam surah As-Soff ayat 6. ".. Dan sebagai pembawa khabar gembira tentang kedatangan seorang Rasul selepasku yang namanya Ahmad.." Maknanya khabar gembira itu ialah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.
2-Kedatangan semula Nabi Isa a.s. di akhir zaman. Kita umat Islam percaya Nabi Isa a.s. akan turun semula di akhir zaman. Baginda akan membunuh dajjal. Dan semasa baginda turun, Imam Mahdi sedang menjadi imam solat lalu baginda menjadi makmumnya.
Oleh itu, kita jangan terpedaya dengan khabar gembira versi Nasrani. Kita sudah ada versi Islam.

Rabu, 23 Jun 2010

Peranan Muslimah

1-Khadijah binti Khuwailid ialah isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w. Dia menjadi wanita pertama yang memeluk islam. Seluruh hartanya dikorbankan demi dakwah yang dibawa oleh suaminya.
2-Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa a.s. Dipilih sebagai anak dara yang mengandung dengan penuh keajaiban.
3-Asiah binti Muzahim, isteri Firaun yang memelihara Nabi Musa a.s. sejak kecil. Firaun menghukum bunuh ke atasnya kerana beriman dengan dakwah Musa.
4-Fatimah binti Muhammad s.a.w., puteri Nabi yang bongsu. Dari beliau, keturunan Nabi berkembang hingga sekarang.
5-Hawa, perempuan pertama diciptakan sebagai isteri kepada Nabi Adam a.s. Mereka berdua hidup di dalam syurga.. tapi diperdaya oleh iblis. Lalu dikeluarkan dari syurga.
6-Sarah, isteri pertama kepada Nabi Ibrahim a.s. yang melahirkan Nabi Ishak a.s.
7-Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim, yang melahirkan anak sulung, Nabi Ismail a.s.

Rabu, 9 Jun 2010

Pengajaran Sirah

Secebis dari Sirah.. Kisah Nabi mula menerima wahyu..Pulang ke rumah.. Berselimut ketakutan.. Esoknya pergi ke rumah bapa saudara isterinya, Waraqah bin Naufal, seorang yang alim tentang kitab suci terdahulu.. lalu diberikan khabar gembira.. Engkau didatangi oleh Malaikat yang sama yang mendatangi Nabi Musa.. Engkau dilantik menjadi Nabi.. lalu diterangkan ramalannya.. Engkau akan diusir keluar oleh kaummu sendiri.. Itu sudah menjadi sunnah para Nabi..

Pengajaran:
1-Dakwah yang benar akan ditentang oleh pemelihara adat resam.
2-Kedatangan Nabi Muhammad sudah diramalkan dalam kitab suci terdahulu.
3-Peranan muslimah untuk mendokong perjuangan daie.

Ahad, 6 Jun 2010

Hukum Puasa 3 Hari Tasyriq

Ulamak berselisih pendapat hukum puasa pada 3 hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
1-Harus.
2-Harus cuma kepada para haji yang buat haji tamattu'.
3-Makruh.
4-Haram.
Hari-hari Tasyriq ialah 3 hari selepas Hari Raya Korban yang merupakan hari-hari untuk makan, minum dan mengingati Allah.
Imam Muslim menyebut dalam Kitab Sahihnya daripada Nabisyah Al-Hazali daripada Nabi s.a.w. yang bersabda demikian. Dan ini adalah sifat ahli syurga.

Hikmahnya: Apabila didapati sifat ini maka hilanglah bersamanya setiap amalan pada keadaan hukumnya melainkan ibadat. Kerana ia adalah hakikat yang tidak hilang dari manusia sama ada di dunia maupun di Akhirat. Sedangkan puasa adalah perbuatan meninggalkan dan ibadat. Maka sesiapa yang memperhatikan ibadat padanya, maka dia mengharuskan puasa padanya. Manakala sesiapa yang memperhatikan tarjih (cenderung) syarak yang menekankan ia adalah hari-hari untuk makan, minum dan mengingati Allah.... maka dia akan mewajibkan berbuka padanya sebagai satu ibadat yang wajib diamalkan. Barangsiapa yang berpuasa pada hari-hari itu, maka dia telah tarjih (cenderung) perhatiannya melebihi khabar Allah yang sepatutnya diamalkan.. yang mendedahkan dirinya kepada kebinasaan. Kerana puasa itu adalah milik Allah, manakala berbuka itu milikmu. Orang yang ijtihad membolehkan puasa padanya itu hanya untuk sesiapa yang tidak mendapat hidayah. Itulah yang dikatakan oleh Imam Bukhari daripada Aisyah dan Ibnu Umar.

Khamis, 3 Jun 2010

Hikmah Hari Dilarang Puasa

Antaranya ialah Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.
Kedua-dua hari ini diharam berpuasa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Sa'id. Hadis Abu Sa'id berbunyi: Aku mendengar dari Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sah berpuasa pada 2 hari: Hari Raya Aidil Fitri selepas Ramadhan dan Hari Raya Korban."

Hadis ini dijadikan hujah oleh pihak yang berpendapat dibolehkan berpuasa pada Hari Tasyriq (3 hari selepas Hari Raya Korban). Kerana dalil ini mengandungi maksud bahawa selain dari 2 hari ini, maka sah berpuasa padanya. Jika tidak, dinyatakan bilangan (2 hari) itu tidak ada makna lagi.

Adapun hadis riwayat Abu Hurairah pula yang disahkan oleh Imam Muslim, berbunyi: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang dari berpuasa pada 2 hari: Hari Raya Aidil Adha dan Hari Raya Aidil Fitri."

Hari Aidil Fitri ialah hari di mana muslimin berbuka dari puasa dan Hari Aidil Adha ialah hari di mana muslimin melakukan korban. Begitulah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. menurut Imam Tirmizi dari Aisyah dari Rasulullah s.a.w. lalu menyatakan: Ini hadis Hasan Sahih.

Hikmahnya: Sebab dilarang berpuasa pada 2 hari ini kerana dengan Berbuka (Fitri) dan Berkorban (Adha) maka sahlah untuk membezakan antaranya (manusia) dengan Tuhannya. Maka diketahui apa miliknya (manusia) dan apa di sisiNya. Maka diharamkan memakai pakaian puasa pada 2 hari ini yang menjadi 2 dalil kepada ilmu tentang Pemisah (Fariq) dan Perbezaan (Tamyiz). Maka tidak akan berlaku demikian jika manusia memakai pakaian puasa pada hari itu. Kerana puasa adalah milik Allah, di mana sifat Puasa adalah sifat yang Somad (Ketuhanan) yang menyucikan sesiapa yang bersifat demikian dari makanan dan minuman.

Sekiranya manusia memakai pakaian puasa sambil melihat wajah dalil ini, maka ia tidak menjadi jujur pada perkhabarannya tentang dirinya, iaitu dia berada pada maqam ini. Oleh itu, berbuka pada 2 hari ini menjadi satu ibadat dan suruhan yang disyarakkan untuk menghimpunkan 2 keadaan ini. Maka kasyaf (pendedahan rahsia) memberi kepada manusia sebagai ibadat dari perbuatan (berbuka) ini seperti yang kami sebutkan tadi. Suruhan syarak pula memberi ganjaran (pahala) pada perbuatan itu, kerana manusia itu beramal dengan hukumnya apabila dilarang oleh Nabi s.a.w. dari berpuasa pada 2 hari itu.

Oleh itu, kami katakan pada melihat anak bulan Hari Raya Aidil Fitri bahawa ia adalah masa depan (penerima) ibadat, seperti yang diberi sebab ('illah) oleh sebahagian para ulamak pada melihat anak bulan satu Ramadhan. Dan ia ghaib (tidak kelihatan) pada pengharaman puasa pada anak bulan Hari Raya Aidil Fitri, maka diwajibkan pada melihatnya 2 orang saksi.

Rabu, 2 Jun 2010

Hikmah Nama Puasa

Puasa (Saum) bermakna Imsak (Menahan diri) dan Ketinggian. Dalam bahasa Arab, disebut: Siang sudah Saum, maknanya sudah meninggi. Penyair Imru'ul Qais berkata: Apabila siang sudah Saum (meninggi) dan meninggalkan..

Apabila Puasa berada di kedudukan (darjat) yang lebih tinggi dari segala rupa ibadat yang lain maka ia dinamakan Saum. Allah s.w.t. meninggikan Puasa dengan menafikan adanya KESAMAAN puasa dengan ibadat yang lain. Allah "merampas" Puasa dari para hambaNya walaupun mereka yang beribadat dengan puasa itu, lalu Dia menjadikan Puasa itu sebagai MilikNya. Ganjaran orang berpuasa dinaikkan darjat menyamaiNya iaitu dinafikan KESAMAAN.

Puasa pada hakikatnya ialah meninggalkan, bukan melakukan. Menafikan KESAMAAN ialah sifat yang SALBI (tidak ada), lalu dikuatkan kaitan antara orang yang berpuasa dengan Allah.

Allah berfirman menyifatkan diriNya: "Tidak ada yang SAMA denganNya sesuatu pun" (Surah As-Syura: 11). Allah menafikan KESAMAAN bagiNya. Oleh itu, Allah tidak ada KESAMAAN bagiNya dengan dalil AKAL dan dalil SYARAK.

Imam An-Nasa'i meriwayatkan satu hadis dari Abu Umamah, yang berkata: Aku mendatangi Nabi s.a.w. lalu aku berkata: "Wahai Nabi! Suruhlah aku melakukan satu perkara yang aku ambil darimu." Nabi menjawab: Hendaklah awak berpuasa. Kerana ia tidak SAMA dengan sesuatu yang lain."

Baginda menafikan sebarang KESAMAAN dengan segala bentuk ibadat yang lain yang ditetapkan oleh Allah kepada para hambaNya.

Sesiapa yang tahu bahawa puasa adalah suatu sifat SALBI (tidak ada) kerana ia adalah meninggalkan perbuatan yang membatalkan puasa, maka dia akan tahu dengan yakin bahawa puasa itu tiada KESAMAAN baginya. Kerana puasa tidak mempunyai sebarang KEWUJUDAN yang boleh difikirkan. Sebab itulah, Allah berkata: Puasa itu milik bagiKu. Maka puasa itu pada hakikatnya ialah Bukan Ibadat dan Bukan Amalan. Puasa dinamakan satu amalan sebagai satu kiasan sahaja. Sebagaimana kata kita bahawa Allah itu MAUJUD yang boleh difikirkan di sisi kami ia adalah satu kiasan, kerana Allah yang wujudNya adalah 'Ain ZatNya itu tidak menyamai nisbah Wujud kepadaNya seperti nisbah Wujud kepada kita, kerana Allah itu "Tidak menyamai denganNya sesuatu pun".

Selasa, 1 Jun 2010

Bingkisan Buat Pemuda

Dari buku Risalati ilas Syabab oleh Dr. Ahmad Al-Malth.

Wahai pemuda! Jangan menoleh ke belakang!

Pemuda sentiasa menjadi tonggak setiap kemajuan dan tiang seri kepada setiap bangsa yang cuba menuju ke arah hidup yang lebih baik. Kata-kata ini selalu diulang sehingga ibarat sudah basi. Oleh itu, pemuda sudah memahami kewajipannya dan merasai tanggungjawabnya terhadap masa depan tanahairnya dan survival ummah. Yang perlu sekarang ialah dia bertindak dan memilih pendapat terbaik. Hasilnya pemuda mula menyapu longgokan sampah kejahilan yang berkarat di muka Umat Islam berdekad2 lamanya. Munculnya ufuk masa depan yang tersenyum dengan jelas. Sedangkan bangsa lain sudah jauh maju ke depan. Dulu dia khayal dengan mimpi di siang hari. Bersukaria kerana menyangka sudah menamatkan perjalanan dan tiada apa yang tertinggal selepas berpenat lelah!!

Pemuda adalah alat penyelam yang kita sediakan untuk menyelami dasar lautan zaman moden dan masa depan. Kita sediakan mereka untuk membina generasi baru yang mempunyai cita-cita yang amat tinggi dan tahan lasak menghadapi cabaran Hadhari (Kemajuan) yang sudah dapat dijangkakan. Seperti kemuncak gunung. Hanya puncaknya yang tidak ditutupi salji. Adapun cabaran yang tersembunyi di dasar laut, maka ia lebih banyak. Sekiranya tidak diterokai, maka ia amat berbahaya. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya.

CABARAN PERTAMA ialah Kejahilan Berlapis-lapis terhadap segala yang berlaku di sekeliling kita. Dan butahuruf sepenuhnya terhadap dunia dan akhirat semuanya. Seluruh dunia sudah terjaga dari tidur dan tahu apa yang perlu dilakukan semasa permulaan abad ke 20 dulu.

1-Eropah sudah sedar keperluan melakukan Pakatan Ekonomi Gergasi dan tiada tempat untuk pakatan kecil pada masa depan. Lalu mereka menubuhkan Pasaran Eropah Bersekutu yang akan mula beroperasi pada awal dekad ini. Dekad 90-an. Disertai oleh lebih 20 negara Eropah. Semuanya mengutamakan Penyertaan dan Sepakat pada proses Pengeluaran, Pemasaran dan Penggunaan.

2-Eropah Timur juga sedar yang selama ini dicengkam oleh pemerintahan diktator yang dikuasai blok Rusia dan meletakkan pagar besi untuk menghalang keluar masuk mana-mana Ideologi. Negara-negara Eropah Timur pun keluar dari pengasingannya seumpama raksasa yang keluar dari kepompong lalu mencantas pemimpin mereka yang dulunya melakukan sesuka hati tanpa dibicarakan. Rakyat mereka kini melaungkan kebebasan yang sudah lebih 70 tahun mereka mencarinya. Lalu Eropah Timur dimasuki ideologi Demokrasi dengan sambutan hangat. Bermulalah pilihanraya buat kali pertama pada abad ini. Ditubuhkan berbagai parti dan pertubuhan politik yang menyeru kepada sistem berbilang parti dan dialog. Mereka mencampakkan Pendapat Presiden dan Satu Parti Pemerintah. Sebaliknya berpegang kepada Demokrasi.

3-Eropah Barat dan Amerika menghulurkan bantuan kepada negara-negara Eropah Timur untuk membantu mereka mengatasi masalah ekonomi yang dipusakai dari sistem diktator dulu. Berbilion-bilion dolar diberikan dengan sukarela kepada Eropah Barat yang miskin hingga mereka dapat melompat dengan ekonominya ke arah ekonomi Barat dan menjadi sebahagian darinya.

4-Akibatnya bantuan Eropah Barat kepada negara-negara miskin atau negara-negara ketiga yang dinamakan secara sopan sebagai negara-negara membangun menjadi semakin kurang, iaitu bantuan kewangan, ilmu dan teknologi. Amat malang sekali, kita di Mesir ini adalah satu sebuah negara itu. Sama saja faktornya. Sama ada kerana Barat membezakan kita dengan Eropah Timur kerana ia lebih berdekatan dengannya menyebabkan ia lebih berhak untuk diberi ihsan dan bantuan. Atau kerana faktor sifat dengki yang terpendam terhadap semua yang bergelar Islam. Kerana Perang Salib Moden ini menghimpunkan Eropah Barat dan Timur untuk menyerang umat Islam hingga ke lubang kematian selepas kelihatan tanda-tanda kebangkitan Islam dengan jelas menyebabkan ketakutan meresap ke dalam hati tentera Salib itu terhadap Gergasi Islam yang mula bangkit dari tidur dan ditakuti ia akan keluar dari kepompongnya. Seterusnya tamadun Barat akan ditelan oleh tamadun Islam seperti yang berlaku dalam sejarah silam. Sama ada faktor kedua, atau faktor pertama tadi, natijahnya tetap satu. Iaitu bahagian kita negara-negara ketiga ini dari bantuan, saguhati dan derma mereka telah semakin sedikit dan akan terus sedikit sepanjang beberapa tahun terdekat ini.

Tiada alternatif lain bagi kita melainkan kita berharap kepada diri sendiri, selepas berharap kepada Allah. Dan kita perlu mengikat perut dan merasa cukup dengan ekonomi sendiri yang kita miliki. Kita tidak perlu meminta bantuan dari tamadun Barat dan kemewahannya. Usaha membina ekonomi yang bebas ini tidak akan berhasil melainkan dengan kerja keras. Hanya dengan kerja keras. Kerja ini tidak dapat dijayakan melainkan oleh orang yang ada tenaga dan bersedia untuk melakukannya. Di sinilah peranan para pemuda untuk mengharungi medan ini. Adapun orang tua, mereka tidak memiliki melainkan dialog dan perbincangan. Mereka cuma dapat bercakap tentang perkara yang telah dan sedang berlaku di sekeliling mereka. Lalu mereka dapat merumuskan natijah untuk dijadikan iktibar sebagai sejenis perancangan dan taktik yang perlu dilakukan di medan sini atau sana. Sikap ini bukan satu yang ganjil dari mereka. Kerana manusia cuma dapat memberi sekadar kemampuan mereka dengan sepenuhnya..

5-Di saat bahaya ini, saya ingin beri amaran kepada para pemuda, persoalan ini adalah amat serius. Bukan main-main. Ini adalah persoalan sama ada kamu dapat meneruskan hidup kamu atau tidak. Tiada alternatif ketiga lagi. Hanya para pemuda yang sanggup memikul tanggungjawab untuk menterjemahkan setiap perancangan yang digariskan oleh para ulamak, para fuqahak dan para profesional tadi ke dalam bentuk gerak kerja yang dipikul kepada golongan yang bertungkus lumus dari para pemuda generasi ini. Hinggalah kita dapat berkata bahawa di sana ada harapan agar generasi kita atau generasi selepasnya akan dapat menyertai arus Hadhari (kemajuan)secara bebas, memandangkan sekarang kita masih menggunakan cara kuno dalam pertanian.

CABARAN KEDUA ialah serangan Zionis yang keji yang mencabar seluruh negara-negara Arab dan Islam. Mereka menunjukkan kekuatan mereka sambil mempermain-mainkan seluruh Arab dan umat Islam dari Sungai Nil hingga Sungai Euphrates. Mereka berdegil untuk memiliki nuklear dan diberi peluang seluas-luasnya untuk itu. Mereka memiliki peralatan senjata yang paling canggih yang menyamai seluruh senjata yang dimiliki oleh semua negara Arab, bahkan melebihinya. Kemudian mereka mengisytiharkan melalui mulut pemimpin mereka dengan sekata, sama ada dari aliran Merpati dan Helang, tanpa ada perbezaaan antara mereka, mereka mengumumkan dengan keras kepala dan sombong, bahawa mereka sudah hampir untuk mengisytiharkan peta negara Empayar Israel dari sungai Nil hingga sungai Euphrates. Sebelum ini, mereka sekadar menggantungkan peta itu di pintu Dewan Knesset. Sedangkan pada hari ini, mereka berkata kepada seluruh Arab dan seluruh umat Islam di belah Timur dan Barat: Lihatlah! Inilah Empayar Israel!

-Lihatlah! Di sini Kuil Sulaiman. Di tempat Masjid Aqsa dan Kubah Batu. Kami akan membinanya meskipun semua orang mengutuk kami. Sama ada, pemeluk agama Islam maupun agama Kristian. Mereka boleh pergi jahannam!!

-Tangan Israel yang panjang, telah sampai ke Tunisia dan menyerang PLO di tengah-tengah negara Tunisia. Sebagaimana ia menyerang stesen tenaga Iraq di Baghdad. Ia juga mampu dengan tangannya yang panjang itu untuk sampai ke Empangan Mesir di Sadd 'Ali dengan mengumumkan dengan jelas: Ia berupaya menenggelamkan seluruh kawasan negara Mesir dari Aswan hingga Iskandariah.

-Kami menghasilkan bom nuklear. Amat banyak sekali kami memilikinya. Kami juga memiliki segala bentuk senjata yang dapat memusnah secara menyeluruh dan perang kimia. Kami tidak akan benarkan kepada kamu, wahai Arab untuk mendekati bidang ini. Amaran ini bukan saja datang dari Israel, bahkan juga dari Amerika, pelindung Israel yang membekalkan segalanya kepadanya, hinggakan membekalkan nyawanya.

Serangan Salib Moden ini dilindungi oleh tiga paksi Syaitan yang besar, iaitu:-

1-Rusia yang Atheis. Yang membuka pintu untuk penghijrahan 4 juta orang Yahudi berbangsa Rusia ke Israel pada dekad ke-90. Segala kemudahan diberikan kepada program imigrasi ini.

2-Amerika yang sekular. Yang berjalan dalam orbit Zionis Antarabangsa, yang menuruti arahannya dan melaksanakan segala arahan yang Zionis mahu. Amerika membekalkan kepada Israel segala yang menjamin Kelebihan Ketenteraan dan Teknologi ke atas seluruh negara-negara Arab untuk mengekalkan kewujudannya dan membangunkannya, meskipun mengorbankan kepentingan setiap yang berbau Arab dan Islam. Imigrasi orang Yahudi dilakukan dengan penuh tipuhelah untuk menambah penduduk rakyat Israel di bumi yang dulunya pernah dinamakan Palestin, yang dinamakan sekarang Israel dan di sekitarnya dari wilayah Yahuda dan Samira yang ditegaskan oleh Shamir bahawa kedua-dua wilayah itu adalah tanah pusaka bagi Yahudi, dari nenek moyang mereka, mengikut kata kitab Taurat mereka.

3-Israel yang sudah ada taring. Yang mengatasi semua kekuatan yang dimiliki Arab. Israel terus membina kekuatannya dan memperkemaskannya, sementara Arab pula sibuk dengan persiapan mengadakan sidang-sidang kemuncak Perdamaian. Arab menuntut Israel mematuhi resolusi sidang-sidang kemuncak itu untuk mengembalikan keamanan di rantau itu, sedangkan reaksi Israel ialah membuang semuanya dalam tong sampah tanpa membacanya walaupun sekali. Tengok pun tidak. Itulah nasib Arab. Arab dihinakan dan kata-kata mereka tiada makna. Pemimpin mereka tidak dihormati. Israel memandang rendah kepada mereka dengan jijik. Begitulah, kita pun berlari tercungap-cungap. Sekali ke Timur, sekali ke Barat, meminta dan merayu semua pihak supaya memujuk Israel menerima perjanjian Damai yang dicita-citakan. Sedangkan Israel terus membina kawasan perumahan haram dan mengindahkan landskap untuk menyambut kedatangan berjuta-juta para imigran dari Rusia dan negara lain. Selepas kawasan dalam negara Israel sudah penuh dan sesak, maka mereka mula menceroboh kawasan yang kita namakan Tebing Barat dan Segenting Gaza dengan mengusir penduduk asalnya.

Di sini bahaya yang paling besar iaitu:

CABARAN KETIGA ialah jurang Kemajuan yang memisahkan kita dari bangsa-bangsa negara yang maju dengan jarak yang amat luas dan perlukan usaha yang berlipat kali ganda. Selepas Barat melompat dengan lompatan yang hebat ketika mereka berjaya memecahkan nuklear (menghasilkan tenaga nuklear) dan muncul komputer yang membalikkan segala pertimbangan, dan membuka di depan para sarjana berbagai ufuk yang baru, yang menyambungkan mereka untuk meneroka misteri alam di sekitar kita. Lalu mereka meneroka alam angkasa. Mereka memindahkan perlumbaan antara kuasa besar ke ruang angkasa selepas dulunya cuma setakat tentera di bumi. Mereka menggunakan segala kekayaan bumi untuk tujuan itu, dengan mengorbankan pihak yang mundur seperti kita. Mereka mengambil kekayaan kita dengan ilmu mereka dan mereka menenggelamkan kita dengan hutang dan faedahnya supaya kita tidak bangun dari kemabukan hutang itu. Mereka memperdaya pemimpin kita supaya mengimport makanan dari hasil kilang Barat, menyebabkan kita tiada semangat lagi dan kita lebih suka untuk berseronok dan menjadi pengguna. Kita diserang penyakit gemuk dan kita rela menerima keadaan kita yang mundur, miskin dan sakit.

Tiada harapan dan tiada jalan menyelamatkan dari keadaan menyedihkan ini kecuali dengan ilmu, mencari formula baru, bergantung kepada keupayaan diri sendiri, menolak hidup mewah yang palsu yang diimport dari Barat, berhenti dari meniru Barat dari aspek kekejian dan kefasikan mereka.

Itulah satu-satunya jalan untuk mengakhiri jurang Hadhari (kemajuan) yang kita alami sekarang, yang meletakkan kita di tempat terakhir dalam senarai negara-negara mundur.

Peranan para pemuda pada gelanggang ini, saya ulang sekali lagi, para pemuda ialah tenaga penggerak yang semulajadi untuk segala harapan ini, yang dilihat oleh semua orang sebagai mimpi di siang hari, jika tidak diterjemahkan kepada gerak kerja, akan berakhir seolah-olah fatamorgana yang tiada realitinya.

Ahad, 30 Mei 2010

Syariat dan Hakikat

Syariat Musa dan Hakikat Khidir.. dua dunia yang berbeza seumpama air dan minyak. atau seumpama air dan api. Kebenaran itu ada DUA, bukan satu. Berdamailah wahai pemilik ilmu Syariat dan pemilik ilmu Hakikat. Jangan berbalah. Ilmu kamu nampak ilmu pihak satu lagi seolah-olah kesesatan. Tidak. Mereka tidak sesat. Kamu hidup dalam air seumpama ikan, manakala pihak satu lagi hidup di atas daratan seumpama kancil.
Damaikan perasaan, lupakan segala kenangan..
Usah biarkan dirimu mengulangi kesilapan silam..
Ku tahu dirimu rindukan kedamaian dan keharmonian..

Sabtu, 29 Mei 2010

Skop Ibadat Sempit

Ibadat adalah cara, bukan matlamat. Kita solat bukan untuk solat. Kita solat adalah untuk isi minyak dalam perjalanan kita menuju ke matlamat. Begitu juga dengan baca al-quran, berzikir, puasa, umrah dan lain-lain. Matlamat kita ialah untuk naik. Naik dan terus naik. Dari muslim, naik ke mukmin. Dari mukmin naik ke muhsin. Dari muhsin naik ke muttaqi. Dari muttaqi naik lagi ke maqam siddiqin, syuhada' dan solehin. Itulah tujuan ibadat. Sekadar bekalan dalam perjalanan yang panjang.

Apabila sudah tiba ke maqam siddiqin, maka terhentilah perjalanan kita. Setakat itu saja yang mampu kita pergi. Maqam Nabiyyin sudah dikhatam oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w.

Apa itu maqam Siddiqin? Maqam ini ialah maqam membenarkan segala perkhabaran dari Nabi. Kadangkala, banyak rahsia yang didapatinya dari Nabi. Jika diberitahu kepada bukan ahlinya, maka mereka tidak akan membenarkannya.

Tinta ulamak adalah lebih berat timbangannya di neraca dari darah syuhada'. Hayunan pedang di medan jihad lebih berat timbangannya di neraca dari ibadat yang panjang.

Banyak kitab ulamak yang menerangkan perjalanan rohani ini. Di antaranya:
1-Madarij As-Salikin (Anak-anak tangga Para Salik) oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Salik ialah orang yang berjalan dalam jalan rohani ini.
2-Minhajul 'Abidin (Jalan orang yang 'Abid) oleh Imam Al-Ghazali. 'Abid ialah orang yang beribadat.
3-Minhajul Qoshidin (Jalan Orang yang menuju Matlamat) oleh Al-Maqdisi.

Selasa, 25 Mei 2010

Jumud

Jumud adalah antara salah faham terhadap ajaran Islam. Antara ciri tasawur Islam ialah Tsabat. Tsabat bererti nilai-nilai tetap yang tidak akan berubah. Nilai-nilai ini adalah fitrah. Namun antara nilai tetap yang menjadi fitrah manusia ialah berkembang untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Kongkongan dan sekatan terhadap perkembangan inilah yang dinamakan jumud.

Saidina Umar berpesan: Didiklah anak kamu untuk menghadapi hidup di zaman mereka, bukan zaman kamu.

Dunia berkembang. Jadi persiapan untuk menghadapi proses perkembangan perlu disediakan oleh orang tua.

Pertembungan antara Aliran Muda dan Aliran Tua sudah lama berlaku di Malaysia. Biasanya Muda menuduh Tua sebagai Jumud. Manakala Tua akan menuduh Muda sebagai fanatik. Panjang senarai amalan Tua yang dipertikaikan oleh Muda. Antaranya: Solat Terawih 20 rakaat, Tahlil, Baca Yasin, Maulid, Bermazhab Shafie dan lain-lain. Perbahasannya panjang. Kitab-kitab ulamak yang jarang kedengaran oleh Tua dijadikan hujah.

Jumaat, 14 Mei 2010

Hikmah Solat Sunat

Ibnu Arabi menulis: (Futuhat Makkiyah jilid 2 ms 173)
Sunat Sunat, adakah 2, 4 atau 3 rakaat? Atau lebih lagi.
Pendapat yang kata: 2 rakaat, hendaklah diberi salam pada setiap 2 rakaat, waktu siang atau malam.
Pendapat yang kata, diberi pilihan. Jika mahu, dia boleh buat 2, 3, 4, 6, 8 dan berapa saja dia mahu.
Pendapat yang lain kata: Dibezakan antara solat di waktu siang. Katanya: 4 rakaat jika dia mahu. Dan solat di waktu malam, 2 rakaat 2 rakaat.
Pilihan yang aku cenderong ialah selain solat witir, maka dia diberi pilihan antara beri salam pada 2 rakaat, inilah yang lebih utama, terutama pada solat malam, atau pun dia beri salam pada 4 rakaat pada solat siang, jika dia mahu, terutama pada 4 rakaat sebelum fardhu zohor. Jika dia mahu, dia solat 6 rakaat, 8 rakaat dan berapa saja yang dia mahu.
Adapun solat 3,5 dan 7 rakaat, maka itu adalah solat witir. Tiada disyarakkan rakaat ganjil selain solat witir. Tapi diberi pilihan, jika dia mahu, dia tidak beri salam dan duduk pada setiap 2 rakaat kepada 3, 5 dan 7. Walaupun dia tidak duduk melainkan pada rakaat genapnya yang terakhir, kemudian dia bangun mendirikan 1 rakaat. Jika dia mahu, dia tidak duduk melainkan pada akhir rakaat yang ganjil dan dia mengakhirkan beri salam pada semua keadaan tadi hingga rakaat yang ganjil.

Apa iktibar (hikmah) pada hukum di atas?
Memandangkan ibadat ini dibina di atas pilihan, maka pilihan juga pada kadar yang demikian tanpa ditetapkan waktu. Tiada sebarang larangan pada yang demikian. Tiada juga perintah dengan suatu bilangan rakaat yang berlaku dari perbuatan Nabi s.a.w. Sedangkan mengikuti sunnah adalah lebih utama dan lebih berhak. Walaupun kami membolehkan demikian kepada sesiapa yang berpegang kepada sunnah yang diterimanya. Maka kami lebih cenderong kepada mengikuti dan mengamalkan sunnah dari mengamalkan "bidaah". Jika ia satu kebaikan, maka kelebihan terdapat pada mengikuti sunnah. Ia adalah lebih layak bagi seorang hamba dan lebih berhak dengan martabatnya, daripada melakukan "bidaah" dari dirinya sendiri. Kerana pada perbuatan "bidaah" dan melakukan amalan baru (sunnah baru) terdapat sejenis sifat ketua dan pemimpin. Sekiranya Nabi s.a.w. tidak ditugaskan untuk melakukan sunnah, maka baginda tidak akan membuat sunnah sendiri. Baginda s.a.w. bersabda: "Tinggalkan aku pada perkara yang aku tinggalkan kamu."
Baginda tidak suka kepada banyak soalan dan menganggapnya suatu yang 'aib. Tidak diwajibkan kepada selain baginda untuk membuat sunnah baru. Sekiranya setiap orang menyibukkan dirinya dengan melakukan perkara sunnah dan fardhu, nescaya seluruh masanya sudah dipenuhi.

Rabu, 12 Mei 2010

Hikmah Ka'abah

Allah jadikan Baitullah (Ka'abah) yang merupakan tempat zikir nama Allah di atas 4 rukun (penjuru). Begitu juga Allah jadikan hati manusia di atas 4 tabi'at yang menanggungnya dan di atasnya berdiri kebangkitannya. Seperti berdirinya Baitullah pada hari ini di atas 4 rukun seperti berdirinya 'Arasy di atas 4 orang penanggung pada hari ini. Begitu yang disebut dalam hadis. Bahawa mereka pada hari ini 4 orang, dan esok jumlahnya 8 orang. Kerana Akhirat padanya berlaku hukum dunia dan Akhirat. Maka esok ia menjadi 8 orang. Maka zahir pada Akhirat, hukum kuasa 4 orang yang lain. Begitu juga hati.

(Tambahan: Diolah sendiri oleh penulis blog)

Yang dimaksudkan dengan 4 rukun hati ialah:
1-Lintasan Ilahi
2-Lintasan Malaikat
3-Lintasan Jiwa (Nafsi)
4-Lintasan Syaitan (Para Nabi tak ada lintasan ini)

Yang dimaksudkan dengan 4 penanggung tambahan bagi Hati di Akhirat ialah:
1-Ilmu
2-Kudrat
3-Iradat
4-Kalam

Khamis, 6 Mei 2010

Hikmah Waktu Haram Solat

Ibnu Arabi berkata: Waktu haram solat secara sepakat dan khilaf ada 5: 1-waktu matahari terbit 2-waktu matahari terbenam 3-waktu matahari betul-betul tegak (istiwa') 4-selepas solat subuh 5-selepas solat asar.
Iktibar batin (hikmah) dari hukum ini ialah: Allah berfirman: Dan kepunyaan Allah perumpamaan yang tertinggi. (surah an-nahl: ayat 60).
Matahari adalah Al-Haqqu (Allah) (ingat! ini perumpamaan sahaja). Solat adalah munajat kepada Allah. Apabila Al-Haqqu bertajalli, maka berlakulah diam dan fana'. Maka tidak boleh bercakap dan munajat. Maqam Ilahi ini memberi kesan apabila Dia memperlihatkan (syuhud) kepadamu, maka Dia tidak mempercakapkanmu (munajat). Apabila Dia mempercakapkanmu, maka Dia tidak memperlihatkan kepadamu. Kecuali tajalli itu dalam rupa (shurah), maka ketika itu, ia akan menghimpunkan antara munajat (berkata-kata) dengan musyahadah (melihat). Apabila orang yang melihat hilang dari dirinya, maka tidak boleh munajat, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, maka Dia melihat kamu." tanpa syak lagi.
Kamu pun tahu bahawa si hamba itu hilang ketika syuhud (melihat) kerana yang dilihatnya menguasainya, maka tidak berlaku munajat (bercakap).
Pada waktu matahari istiwa' (betul-betul tegak), bayangmu hilang darimu ke dalammu. Bayangmu adalah hakikatmu. Cahaya telah berbaris denganmu dari semua arah dan mengelilingimu. Maka tidak ditentukan bagimu sesuatu yang boleh kamu sujud kepadanya melainkan 'ainnya berada di belakangmu, sebagaimana ia berada di depanmu, dan berada di kananmu, kirimu dan atasmu. Maka ia tidak menarikmu dari semua arahmu kerana engkau adalah cahaya dari semua arahmu. Sedangkan solat adalah cahaya. Maka cahaya-cahaya itu naik sedikit demi sedikit dalam cahaya-cahaya. Sedangkan solat tidak disolati baginya.
Adapun selepas subuh hingga matahari terbit, maka ia adalah waktu engkau keluar dari alam barzakh ke alam syahadah. Sedangkan solat tidak difardhukan waktunya melainkan dalam sesuatu yang disentuh (oleh pancaindera), bukan dalam barzakh.
Begitu juga selepas solat Asar, kerana peringkat bawah dengan pelukan kekasih tidak berhajat kepada percakapan (munajat) memandangkan kelazatan telah dirasai dalam pelukan itu.

Selasa, 4 Mei 2010

Rezeki tak cukup

Biasanya kita bekerja untuk mencari rezeki. Allah sudah janjikan setiap makhlukNya ada rezeki masing-masing. Namun kenapa timbul kata-kata rezeki saya tak cukup?

Apa yang Allah janjikan ialah rezeki yang memastikannya untuk dapat hidup hingga tiba ajalnya. Adapun keinginannya untuk memiliki harta seperti rumah, kereta, barang kemas, tanah dan sebagainya, maka itu tidak termasuk dalam janji Allah. Malah ia termasuk dalam panjang angan-angan yang sering melalaikan manusia dari melakukan ibadat yang banyak dalam hidup mereka.

Rabu, 28 April 2010

Ajal Menjelang

Kali ini saya nak sentuh sedikit kisah kematian 2 orang Khulafaur Rasyidin.. Umar bin Khattab dan Ali bin Abi Thalib.
Umar bin Khattab dibunuh oleh Abu Lu'luah. Manakala Ali bin Abi Thalib dibunuh oleh Ibnu Muljam.
Abu Lu'lu'ah membunuh Umar kerana marah kepadanya. Abu Lu'lu'ah seorang peniaga besar. Untungnya berlipat kali ganda. Oleh itu, Umar mengenakan cukai yang besar. Tidaklah besar mana kalau dibandingkan dengan keuntungan yang diperolehinya.
Bilakah Umar dibunuh? Semasa menjadi Imam solat. Abu Lu'lu'ah berpura-pura jadi makmum. Sedang solat, terus dia menikam Umar dari belakang.
Ibnu Muljam pula seorang Khawarij. Ketua mereka menghantar 3 orang untuk membunuh Ali bin Abi Thalib, Muawiyah dan Amru bin 'As. Khawarij mengatakan 3 orang ini sudah kafir dan patut dibunuh kerana melakukan peristiwa Tahkim (selepas perang Siffin).
Dalam perjalanan ke Masjid Kufah untuk solat Subuh, Ali diserang hendap oleh Ibnu Muljam.

Anak Angkat

Bermula di bumi Palestin..
Yaakub mempunyai 12 orang anak..
Yang kesebelas ialah Yusuf..
Wahyu memberitahunya Yusuf akan menjadi Nabi sepertinya..
Oleh itu, dia amat sayang kepada Yusuf.. melebihi anak-anaknya yang lain..
Menyebabkan mereka dengki kepada Yusuf dan marah kepada ayah mereka..

Akhirnya Yusuf dicampak ke dalam perigi..
Mujurlah datang satu kafilah yang menyelamatkannya..
Tapi kafilah tu menjadikannya seorang hamba untuk dijual..
Dari Palestin.. Yusuf dibawa oleh kafilah itu ke Mesir..
Di sana, Yusuf dijual sebagai hamba..
Dia dibeli oleh seorang menteri Mesir yang bergelar Al-'Aziz..
Bila balik ke rumah, dia berkata kepada isterinya, mari kita jadikannya anak angkat kita..

Kisah kedua juga berlaku di bumi Mesir..
Firaun yang zalim memerintahkan semua bayi Bani Israil dibunuh..
Ibu Musa meletakkan Musa ke dalam sebuah bakul lalu dihanyutkan ke Sungai Nil..
Arus sungai membawa Musa ke istana Firaun..
Isteri Firaun yang baik hati bernama Asiah berkata kepada Firaun, mari kita jadikannya anak angkat kita..

Isnin, 26 April 2010

Tujuan Perkahwinan

Untuk memenuhi naluri manusia. Lelaki perlukan perempuan. Begitu juga perempuan perlukan lelaki. Naluri ini sudah menjadi sebati dalam hidup kedua-dua jantina.
Itulah saja sudah satu nikmat. Dikatakan sepanjang hidup Adam dan Hawa di dalam syurga mereka tidak pernah melihat aurat pasangan mereka.

Namun apabila diturunkan ke dunia, barulah bermula episod baru dalam sejarah perkahwinan. Iaitu Adam ditugaskan memakmurkan bumi sebagai khalifah Allah. Untuk memakmurkan bumi, Adam diperintahkan untuk menurunkan zuriat yang ramai. Dikatakan anak Adam seramai 40 orang kembar. Campur seorang yang tidak berkembar iaitu Nabi Syits.

Di dunia, barulah Adam mendapat zuriat. Hawa dinamakan Hawa (ejaan betulnya ialah Hawwa') yang bermakna ibu segala kehidupan. Dari Hawa, lahirlah umat manusia.

Kembali kepada topik: Tujuan Perkahwinan. Maka kesimpulannya, asal perkahwinan manusia ialah untuk memenuhi naluri ingin kepada teman yang berlainan jantina. Kemudian, jika diizinkan Allah, ingin mendapat zuriat. Jika tiada zuriat, apa kes? Lihat kisah Nabi Ibrahim. Tiada masalah selama bertahun-tahun hidup bersama Siti Sarah tanpa zuriat. Redha dengan takdir Allah. Begitu juga Nabi Zakaria.

Apakah perlu anak angkat? Ibrahim dan Zakaria tidak mengambil anak angkat. Mereka sedar hidup di dunia adalah untuk beribadat. Mendapat zuriat maka ibadat semakin beraneka. Tidak mendapat zuriat, ibadat masih tidak cukup.

Apa masalah jika mandul? Bolehkah berkahwin? Boleh.. isteri Zakaria jelas dikatakan oleh Zakaria: Wa kanatim ra'ati 'AQIRA (ertinya: Sedangkan isteriku MANDUL).

Namun keajaiban dan mukjizat mengatasi segala-galanya. MANDUL boleh beranak.

Ramai yang berpenyakit MATI PUCUK yang berubat secara batin PULIH apabila diajar HAKIKAT TAUHID. Allah yang mematikan pucuk dan Dia yang menghidupkannya.

Sabtu, 24 April 2010

Baitul Muslim (3)

Cinta selepas kahwin atau sebelum?

Apa makna cinta? kalau cinta lawannya benci, maka perkahwinan kerana benci adalah terpaksa.
Banyak kefahaman perkahwinan yang salah disajikan kepada penonton tv sekarang. Kalau orang yang terlibat dalam pembikinan filem, akan tahu banyak skrip filem diadaptasi dari filem luar. Oleh itu, konsep kahwin yang disajikan ialah konsep yang sudah diprogram oleh media antarabangsa yang dikawal oleh musuh islam. Tujuan mereka ialah untuk menjatuhkan institusi perkahwinan tak kira agama, seterusnya merosakkan semua bangsa manusia. (Baca Protokol Zionis)

Oleh itu, kita perlu kembali kepada Al-Quran untuk mendapat gambaran sebenar sebuah perkahwinan. Tiada kahwin paksa dalam islam. Dan tiada paksaan untuk mengekalkan perkahwinan hingga akhir hayat.

Dalam al-Quran, terdapat surah yang khas untuk perceraian iaitu Surah At-Tolaq.

Dalam Islam, cinta hanya untuk Allah dan Rasul. Sebarang cinta yang lain adalah bergantung (bersyarat) kepada penerusan cinta Allah dan Rasul itu.

Keindahan poligami tidak pernah diberi kelulusan siar dalam tv. Semuanya memburuk-burukkan poligami. Seolah-olah agama Islam seperti agama Kristian yang tidak membenarkan poligami.

Baitul Muslim (2)

Nabi Ibrahim a.s. berkahwin dengan Siti Sarah. Setelah tiada zuriat begitu lama, Siti Sarah mencadangkan suaminya berkahwin dengan Siti Hajar. Baginda pun mendapat anak pertama dengan Siti Hajar yang dinamakan (Nabi) Ismail. Namun sifat cemburu mula mengganggu Siti Sarah. Akhirnya Nabi Ibrahim mendapat perintah dari Allah, supaya membawa Siti Hajar dan anaknya, Ismail ke Mekah. Ini adalah satu ujian kepada Nabi Ibrahim. Cintanya kepada anak, dikorbankan demi cinta kepada Allah.

13 tahun berselang, malaikat turun bertamu ke rumah Nabi Ibrahim di Palestin. Misi mereka ialah memusnahkan kampung Nabi Luth di Sodom. Di samping itu, tujuan mereka bertamu ialah untuk membawa khabar ajaib, Siti Sarah yang sudah tua akan mengandung. Nama anaknya akan bernama Ishak. Dan cucunya akan bernama Yaakub.

Itu saja 2 isteri Nabi Ibrahim a.s. yang dikhabarkan dalam al-Quran. Mengikut sumber lain (antaranya tersebut dalam Bible), baginda ada isteri ke-3 yang bernama Qothurah (Keturah). Wallahu a'lam.

Kisah yang masyhur lagi ialah ziarah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya Ismail yang sudah berkahwin. Kali pertama baginda ke Mekah, Nabi Ismail tiada di rumah. Hanya ada isterinya. Apabila ditanya keadaan rumahtangga mereka, isterinya mengadu kesempitan hidup. Ibrahim as pun meninggal pesan kepada menantunya: "Beritahu Ismail bila dia balik nanti, suruh dia tukar bendol rumahnya."

Ibrahim pun berangkat pulang ke Palestin (dikatakan, Ibrahim naik Buraq (wallahu a'lam). Bila Ismail balik, isterinya beritahu pesanan mertuanya. Ismail faham maksud sebenar kata-kata ayahnya itu. Dia pun menceraikan isterinya.

Setelah sekian lama, Ismail pun kahwin dengan perempuan yang lain. Sekali lagi, Ibrahim datang menziarahinya. Pendek cerita: Ibrahim mengatakan: Bagus sekali bendol baru.. Sebab isteri barunya itu cakap yang elok-elok je.

Tambahan: Nabi Luth adalah anak saudara Nabi Ibrahim yang beriman dengan dakwah Tauhid. Mereka berhijrah dari Ur di Iraq ke Palestin selepas peristiwa pembakaran yang penuh mukjizat itu. Bila sampai di sana, mereka berpecah. Ibrahim ke Quds dan Luth ke Sodom. Semasa Sodom dibinasakan, bandar jirannya yang bernama Gomorrah juga dibinasakan. Kedua-duanya diterbalikkan dan tapak kedua-dua bandar itu menjadi Laut Mati.

Jumaat, 23 April 2010

Baitul Muslim

Sejak dari Nabi Adam a.s. lagi, perkahwinan sudah mula disyarakkan. Hasil dari Baitul Muslim Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa, zuriat mereka berkembang hingga sekarang.

Anak Nabi Adam a.s. lahir berkembar. Setiap anak kembar tidak dibenarkan kahwin dengan kembarnya. Ikut ceritanya, Qabil ingin berkahwin dengan kembarnya. Sebab kembar Qabil cantik manakala kembar Habil tidak cantik. Akhirnya Qabil membunuh adiknya, Habil untuk berkahwin dengan kembarnya sendiri.

Oleh itu, pembunuhan pertama berlaku ialah kerana kahwin. Atas dasar nafsu, inginkan isteri yang cantik, maka Qabil sanggup membunuh.

Seterusnya di zaman Nabi Nuh a.s., isterinya sendiri adalah penentang kuat dakwah Tauhid yang dibawanya. Akhirnya sewaktu banjir besar, isterinya binasa bersama anaknya kerana tidak beriman.

Di zaman Nabi Luth a.s. pula, berlaku satu tradisi yang menghancurkan institusi perkahwinan iaitu homoseks. Lelaki tidak ada selera dengan perempuan. Akhirnya umat yang rosak itu dibinasakan bersama isteri Nabi Luth sendiri.

Redha Allah

Rodhitu billahi Robba
Wa bil Islami Diina
Wa bi Muhammadin Nabiyyan wa Rasula

Ertinya: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan
Dan dengan Islam sebagai agama
Dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul

Wirid ini ada dalam Ma'tsurat. Sudah tentu ada sumber Hadisnya. Sebab wirid dalam Ma'tsurat semuanya bersumber dari hadis.

Sebelum Allah redha kepada kita, kita perlu redha sekurang-kurangnya dengan 3 perkara asas ini. Tuhan kita ialah Allah, agama kita ialah Islam dan Nabi kita ialah Muhammad. Cukupkah setakat itu? Belum..

Kita kena kenal Allah. Kita kena faham Islam. Dan kita kena ikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Dengan itu, kita berharap semoga Allah pun redha kepada kita.

Surah Al-Bayyinah ayat 8: Rodiyallahu 'anhum wa rodhu 'anhu; Ertinya: Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya.

Itulah sifat ahli syurga.

Khamis, 22 April 2010

Hikmah Doa Iftitah

Selepas takbiratul ihram, disunatkan membaca doa iftitah.
Di dalam doa iftitah ada ungkapan wajjahtu wajhiya (Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi..). Ini dinamakan Taujih. Apa hikmah Taujih itu?

Ibnu Arabi berkata: Di sisi ahlillah (Ahli Allah), Taujih dalam satu hal (keadaan) daripada satu hal kepada satu hal daripada Allah dengan Allah kepada Allah bersama Allah di dalam Allah kerana Allah di atas Allah (maksudnya ialah) daripada Allah sebagai permulaan, dengan Allah sebagai pertolongan dan sokongan, kepada Allah sebagao matlamat dan penghabisan, bersama Allah sebagai sahabat dan muraqabah (memerhatikanNya), di dalam Allah sebagai pendekatan (pengorbanan) demiNya, di atas Allah sebagai tawakal (pergantungan) dan sandaran.

Kemudian diambil kira (iktibar) lafaz yang ditetapkan semasa Taujih, sebagaimana lafaz lain yang kami sebutkan yang terkandung dalam doa antara Takbiratul ihram dan baca surah al-Fatihah sebagai air kehidupan. Allah menjadikan dari air segala sesuatu dapat hidup. Maksudnya doa itu menghidupkan hatiku dengan zikirMu dan hidupkan anggotaku dengan ketaatan kepadaMu. Hingga ia tidak bergerak melainkan pada ketaatan semata-mata. Kerana ia akan menjadi saksi yang membenarkan pada Hari Kiamat sama ada saksi yang membela atau saksi yang mendakwa. Sebagaimana yang disebut dalam al-Quran tentang penyaksian anggota badan.

Dikira sejuk dari kesejukan Yakin seperti sejuk hujung jari yang terdapat dalam Hadis Sohih. Maka dia akan mendapat ilmu Yakin lalu merasa sejuk dengannya, sebagaimana yang dirasai oleh Hamba yang Terpilih (Nabi Muhammad s.a.w.) daripada kepanasan rindu kepada martabat-martabat yang tinggi di sisi Tuhan Yang Disucikan daripada ilmu dengan Allah. Salji dari salji hati yang kesukaannya dengan penghormatan Allah kepadanya berupa Tajalli dan SyuhudNya.

Hikmah Khutbah Jumaat

Ibnu Arabi berkata: Disyarakkan beri peringatan (dalam khutbah Jumaat) supaya ahli jemaah mendengar khatib yang menyeru kepada Allah (Al-Haqqu). Mendengar ucapannya untuk melihat apa yang dilalukan Allah di atas lidah hambaNya. Kerana khatib adalah naib (wakil) Al-Haqqu. Seolah-olah Al-Haqqu yang berkhutbah kepada hambaNya. Maka wajiblah mendengar dan diam kecuali apa perkara yang disuruh berkata-kata seperti menjawab salam dan mendoakan orang bersin apabila dia mengatakan: Alhamdulillah.

Barangsiapa yang melihat bahawa Al-Haqqu yang berkata-kata, maka wajiblah dia diam, tapi dengan mendengar, terutamanya semasa membaca Al-Quran dalam khutbah. Jika dia tidak mendengar, hendaklah dia sibukkan diri dengan keadaan yang sama dengan khatib iaitu berzikir kepada Allah, memujiNya, memberi peringatan kepada diri sendiri, mencegah dirinya, mengakui nikmat-nikmat Allah ke atas dirinya dan membaca al-Quran.

Namun semuanya hendaklah mengikut adab yang diajar oleh firman Allah: "Dan khusyuk segala suara kepada al-Rahman, maka tidak didengari kecuali bisikan" (Surah Toha: 108). Dia tidak dapat mendengar khutbah itu kerana duduknya jauh dari khatib atau telinganya pekak. Maka insan itu menjadi pemberi peringatan kepada dirinya sendiri.

Hikmah Bersuci

Ibnu Arabi menulis: Bersuci ada 2 bahagian. Bersuci yang tidak difahami makna iaitu Bersuci dari Hadas. Hadas adalah sifat nafsi (jiwa) kepada hamba. Bagaimana mungkin sesuatu boleh bersuci dari hakikatnya sendiri? Sekiranya ia bersuci dari hakikatnya, maka akan ternafilah 'ainnya. Sekiranya 'ainnya ternafi, maka siapakah yang dimukallaf (ditanggung) untuk beribadat? Tiada di sana selain Allah.

Oleh itu, kami katakan Bersuci dari Hadas adalah tidak difahami makna. Rupa Bersuci dari Hadas di sisi kami ialah apabila Al-Haqq menjadi pendengaranmu, penglihatanmu dan seluruh tubuhmu pada semua ibadatmu.

Maka Dia meng-isbat-kanmu dan me-nafi-kanmu. Maka kamu adalah kamu dari segi zatmu, dan Dia adalah Dia dari segi perbuatanmu dan kefahamanmu.

Maka kamu menjadi mukallaf (menanggung) dari segi wujud 'ainmu, menjadi tempat untuk bercakap (menerima arahan), sedangkan Dia adalah 'amil (pelaku) denganmu, dari segi bahawa tiada sebarang perlakuan bagimu. Kerana Hadas itu tiada kesan baginya pada 'ain kelakuan (perbuatan), tapi baginya hukum pada perbuatan..