Khamis, 29 Julai 2010

Suatu Masa Di Mesir

Kenangan di Mesir ingin ku rakamkan. Persaingan antara Jemaah Islam. PMRAM dan PPMM. Begitulah pengalaman orang baru belajar nak kenal Islam. Ingat dah pandai.. rupa-rupanya begitu cetek ilmu. Masjid Ridhwan di Hayyu Sabi' menjadi masjid pilihan untuk solat Jumaat dan solat Raya. Mula-mula tiba di sana pada tahun 1991, aku sewa rumah di Hayyu Sabi' area Masjid Musa Al-Kazim, dekat dengan Rumah Keluarga Penuntut Terengganu (KPT). Aku tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 6. Satu rumah ada 6 pelajar. Zahari, Azmi, Khairul Afandi, Baharudin, Syukri dan aku. Aku jarang bercakap dengan tuan rumah. Ada apa-apa masalah, aku lapor kepada Bawwab. Aku panggil Ya 'Amm (wahai pak cik).. (Namanya dah tak ingat). Bawwab makna asalnya ialah penjaga pintu. Tapi di sana, dia melakukan semua perintah tuan rumah.
Setiap rumah kat sana ada Sakhonah (Pemanas air) dengan bahan api gas. Gas di sana disalurkan melalui paip seperti paip air. Musim Sejuk baru Sakhonah digunakan. Musim sejuk, aku mandi seminggu sekali pada Hari Jumaat sebelum pergi solat Jumaat. Selepas mandi atau setiap kali lepas wuduk, kena lap kering-kering supaya tidak mendapat penyakit Romatizem (ejaan sebenar tak tahu). Iaitu penyakit sendi tulang.
Kemudian aku berpindah ke Hayyu Tsamin. Dekat cawangan Arqam. Aku tinggal di tingkat 2. Pelajar Banat Arqam duduk di tingkat 4. Tuan rumah di situ agak rapat dengan saya. Namanya Dr. Abdul Aziz, pensyarah subjek Bahasa Arab. Pernah mengajar di Arab Saudi. Anak lelakinya, Aiman agak rapat denganku. Semasa gempa bumi melanda Kaherah, aku duduk di rumah itu. Kami serumah bergilir-gilir menunggu panggilan dari Safarah (Kedutaan Malaysia di Kaherah) untuk mengetahui perkembangan terbaru. 700 orang mati akibat gempa bumi di Kaherah itu.
Ahli rumah di sana, yang saya ingat ialah Nizam (Negeri Sembilan), Yahya (Pahang), Solahudin (Terengganu), Abu Bakar (Pattani), Azimi (Pattani)... 2 orang lagi dah tak ingat namanya. Seorang Negeri Sembilan dan seorang Pattani. (Alhamdulillah.. sekarang dah ingat.. Ustaz Nafis dari Negeri Sembilan dan Hamidi dari Pattani -edit 1-8-2010).
Kemudian saya berpindah ke Mahattah 80, di hujung Hayyu Tsamin. Di sini, saya tinggal di Asrama Ighosah. Ighosah ialah Pertubuhan Antarabangsa yang membantu pelajar dari seluruh dunia. Di sini, ramai penghuni dari Russia, Comoros (Juzur Al-Qamar), Xinjiang (China), Indonesia, Malaysia dan Thailand. Penyelianya bernama Ustaz Ibrahim. Duduk kat sini percuma. Makan-minum ditanggung.
Urusan yang paling sulit semasa di Mesir ialah untuk memperbaharui visa pelajar setahun sekali. Tempatnya di Bu'uts. Banyak ijra'at (syarat) yang perlu dilakukan. Setiap syarat itu kena beratur bersesak-sesak. Kadang-kadang nak marah kat pegawai pendaftar tu. Tapi kesian jugak mereka. Setiap rekod dengan menulis tangan. Takde komputer. Namun, budaya Mesir ini terbawa-bawa ke Safarah (Kedutaan Malaysia). Kena beratur panjang untuk sesuatu urusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan