Rabu, 2 Jun 2010

Hikmah Nama Puasa

Puasa (Saum) bermakna Imsak (Menahan diri) dan Ketinggian. Dalam bahasa Arab, disebut: Siang sudah Saum, maknanya sudah meninggi. Penyair Imru'ul Qais berkata: Apabila siang sudah Saum (meninggi) dan meninggalkan..

Apabila Puasa berada di kedudukan (darjat) yang lebih tinggi dari segala rupa ibadat yang lain maka ia dinamakan Saum. Allah s.w.t. meninggikan Puasa dengan menafikan adanya KESAMAAN puasa dengan ibadat yang lain. Allah "merampas" Puasa dari para hambaNya walaupun mereka yang beribadat dengan puasa itu, lalu Dia menjadikan Puasa itu sebagai MilikNya. Ganjaran orang berpuasa dinaikkan darjat menyamaiNya iaitu dinafikan KESAMAAN.

Puasa pada hakikatnya ialah meninggalkan, bukan melakukan. Menafikan KESAMAAN ialah sifat yang SALBI (tidak ada), lalu dikuatkan kaitan antara orang yang berpuasa dengan Allah.

Allah berfirman menyifatkan diriNya: "Tidak ada yang SAMA denganNya sesuatu pun" (Surah As-Syura: 11). Allah menafikan KESAMAAN bagiNya. Oleh itu, Allah tidak ada KESAMAAN bagiNya dengan dalil AKAL dan dalil SYARAK.

Imam An-Nasa'i meriwayatkan satu hadis dari Abu Umamah, yang berkata: Aku mendatangi Nabi s.a.w. lalu aku berkata: "Wahai Nabi! Suruhlah aku melakukan satu perkara yang aku ambil darimu." Nabi menjawab: Hendaklah awak berpuasa. Kerana ia tidak SAMA dengan sesuatu yang lain."

Baginda menafikan sebarang KESAMAAN dengan segala bentuk ibadat yang lain yang ditetapkan oleh Allah kepada para hambaNya.

Sesiapa yang tahu bahawa puasa adalah suatu sifat SALBI (tidak ada) kerana ia adalah meninggalkan perbuatan yang membatalkan puasa, maka dia akan tahu dengan yakin bahawa puasa itu tiada KESAMAAN baginya. Kerana puasa tidak mempunyai sebarang KEWUJUDAN yang boleh difikirkan. Sebab itulah, Allah berkata: Puasa itu milik bagiKu. Maka puasa itu pada hakikatnya ialah Bukan Ibadat dan Bukan Amalan. Puasa dinamakan satu amalan sebagai satu kiasan sahaja. Sebagaimana kata kita bahawa Allah itu MAUJUD yang boleh difikirkan di sisi kami ia adalah satu kiasan, kerana Allah yang wujudNya adalah 'Ain ZatNya itu tidak menyamai nisbah Wujud kepadaNya seperti nisbah Wujud kepada kita, kerana Allah itu "Tidak menyamai denganNya sesuatu pun".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan