Selasa, 10 Ogos 2010

Kembara Seorang Hamba

Tajuk buku terakhir Shahnon Ahmad, cetakan 1 tahun 2010. Harga RM15.00. Setebal 320 muka surat.

Saya petik dari buku itu:

(dari muka surat 47)

BUKAN! Bukan begitu cara memperindah dan mencantikkan aku (Al-Quran). Aku bukan gadis pingitan yang boleh dibedaki dan disoleki mengikut seleramu. Indah memang indah. Cantik memang cantik. Malah, DIA (Allah) menciptakan aku pun memang indah dan cantik. DIA pun sukakan pada kecantikan dan keindahan.

Tetapi, keindahan dan kecantikan yang ada padaku bukan sekadar pada cara hidangan, bukan juga pada kaedah pembentangan khazanah yang seluas lebih tujuh lautan itu. Memang cara 'menghidang' khazanah-NYA adalah unik dan paling kaya dengan estetika. Ini kerana aku datang bukan sekali gus begitu saja, tapi kedatanganku secara beransur dan sedikit-sedikit supaya manusia yang lemah dan tidak berupaya itu sedia menerima kedatanganku. Selama 23 tahun proses hidangan secara sedikit-sedikit itu berjalan dengan penuh kesabaran dan menempuh pelbagai halangan.

Ada yang tiba sewaktu perutusan terakhir-NYA sedang berada di atas unta di padang pasir yang serba tandus. Ada yang tiba ketika baginda bersama para sahabat. Ada yang datang melalui mimpi. Yang indahnya ialah banyak yang tersirat, namun siratannya amat mudah ditanggapi maksudnya. Tidak kurang pula tersirat di sebalik pelbagai personifikasi, peribahasa, kiasan, perbandingan, alegori, metafora serta gaya bahasa yang figuratif yang indah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan